Sunday, August 24, 2008

Ulasan Isu

Perihal Najib dan Sumpah Sesumpahnya

(kemaskini) BEGITU terdesak dan tertekan sekali Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Razak dalam isu Altantuya Sharribuu. Kenapa beliau sampai turut terikut-ikut melapazkan sumpah dengan menyebut Walahi, Wabilahi, Watalahi... menafikan beliau kenal dengan Altantuya. Sumpah itu dilaporkan dibuat dalam masjid di Seberang Jaya dalam kawasan pilihan raya Permatang Pauh, Jumaat kelamrin.

Najib mengira dengan berbuat begitu isu mengenai Altantuya akan selesai dan tamat. Kalau itu perhitungan Najib maka ia silap dan telah melakukan kesilapan besar dan mempamerkan dirinya jahil dalam agama dan juga siasah. Kesian... Beliau juga tidak belajar dan membaca apa yang diterima 'si pembacuh kopi' setelah beliau bersumpah laknat ke atas dirinya kini.

Setelah Najib melapazkan sumpah berkenaan apakah persepsi umum mengenai beliau terhadap Altantuya sudah selesai? Apakah selepas ini orang ramai tidak akan mengaitkan namanya lagi dengan kes pembunuhan wanita Mongolia beranak satu itu?

Kalau orang mengait dan menyifatkan sumpah itu sebagai helah dan alasan Najib, maka sumpah itu tidak menjadi apa-apa erti dan makna serta tidak memberi kesan diharapkan. Ia adalah sama dengan sumpah P Ramle dalam filem Madu Tiga? Sumpah yang hanya untuk mengelakkan agar isterinya tidak marah.

Maka itu jadilah sumpah Najib itu tidak lebih daripada sumpah sesumpahnya; yang menukarkan warna kulit mengikut keadaan semasa.

Kenapa Najib begitu terdesak dan sampai sanggup mengheret sumpah dengan menyebut nama Allah dalam menyelesaikan isu politiknya? Apakah beliau tidak tahanan dengan desakan? Kalau Najib mengambil tindakan itu kerana itu, ia adalah silap besar. Dan kalau Najib bersumpah kerana terikut gelagat pembacuh kopi bernama Saiful Bukhari Azlan yang bersumpah memberi tahu dunia yang dia disondol dhubur oleh bekas majikannya, paling silap besar. Kelas Najib lebih kurang sama saja dengan si pembacuh kopi hitam itu.

Bukankah cara demikian mengaibkan bukan saja diri pembacuh kopi itu tetapi diri orang Melayu seluruhnya? Tidak pernah dibuat orang apa yang dibuat oleh si pembacuh kopi itu namun ia berlaku di zaman moden ini. Islam bukan saja melarang kita mendedahkan secara melampau keaiban orang, tetapi juga mengajar supaya menjaga keaiban sendiri.

Apakah kerana ingin mencari kebenaran menyebabkan terpaksa menggunakan nama Tuhan sebegitu sekali? Mengapa semurah itu nama Tuhan (Allah) dijaja dan dipergunakan untuk sesuatu tujuan yang bersifat kepentingan diri?

Berbalik kepada Najib tadi, samada Timbalan Perdana Menteri itu terlibat atau tidak dalam kes pembunuhan Altantuya itu soal Najib dengan dirinya dan Tuhannya. Tuhan tidak boleh membantu Najib membersihkan namanya bagi tujuan politik dengan sumpah itu. Tuhan hanya boleh mengampunkan Najib kalau dia bersalah dan jika Najib memohon maaf dengan penuh keinsafan. Dan kalau Najib tidak melakukannya Tuhan telah tahu terlebih awal daripada orang lain termasuk Najib sendiri.

Tidak payah Najib menggunakan Tuhan sebagai saksi kepada persumpahannya! Najib tidak akan berjaya mengugahkan orang ramai dengan saksinya itu (Tuhan) kerana Tuhan tidak akan tampil secara zahir untuk mengiyakan apa yang Najib lapazkan.

Orang yang menasihati Najib bersumpah adalah penasihat yang jahil mengenai agama dan kesan atau implikasi sumpah itu. Mereka yang menganggap dengan bersumpah akan membersihkan segala-galanya adalah mereka yang naif akal politiknya dan tandus keimanannya. Orang ini samalah sifat dengan mereka yang menganggap setiap orang yang mengerjakan haji dan umrah bersih dari dosanya! Itu dari segi fisafatnya sahaja, namun hakikatnya bukan begitu. Tidak semudah difikirkan apabila bersumpah maka perkara itu selesai.

Saya yakin tidak sampai suku pun dari rakyat Malaysia yakin dengan sumpah Najib itu. Bahkan sumpah itu menyebabkan orang tidak tahu apa yang berlaku disebaliknya akan belajar untuk mengetahuinya.

Makin bersumpah makin menyebabkan orang mengiyakan tuduhan ke atas Najib. Sama seperti dihadapi si pemacuh kopi itu, makin bersumpah makin orang tidak percaya dan menyebabkan orang berfikir bahawa beliau berbuat begitu tentu ada motifnya.


Sepatutnya Najib tidak melapazkan sumpah berkenaan. Apa lagi kalau tujuan bersumpah itu untuk menyatakan beliau bersih. Najib perlu ingat tanggapan buruk terhadap beliau oleh orang ramai bukan saja dalam kes Altantuya itu, tetapi dalam kes-kes lain juga yang belum selesai.

Apakah Najib bercadang untuk bersumpah menafikan serangkaian tuduhan dan persepsi buruk terhadap beliau? Kalau Najib mengambil kaedah itu banyak lagi masjid Najib kena naik dan melapazkan sumpah laknat di situ.

Apakah Najib akan bersumpah menafikan beliau tidak terlibat menerima komisyen pembelian kapal selam dan kapal perang bernilai lebih RM500 juta yang diuruskan Abdul Razak Baginda?

Apakah Najib nak bersumpah beliau tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana artis sekitar awal tahun 90-an dulu?

Apakah Najib akan bersumpah menafikan mengenai penglibatan isterinya dalam kes pembunuhan Altantuya seperti diketahui umum. Sebenarnya mengenai Altantuya yang perlu bersumpah bukan Najib tetapi isterinya, Rosmah Mansor. Kenapa Rosmah tidak melapazkan sumpah?

Apakah Najib sanggup bersumpah sewaktu beliau mengambil Rosmah sebagai isterinya edah perceraian Rosmah dengan bekas suaminya sudah lupus?

Apakah Najib juga akan bersumpah dia tidak sesekali akan menikam Abdullah Ahmad Badawi dari belakang dan tetap akan menunggu peralihan kuasa seperti dijanjikan?

Apakah Najib juga akan bersumpah beliau tidak sesekali menggunakan untuk apa-apa tujuannya wang dari pusat perjudian Genting dimana datuknya menjadi pengerusinya?

Dan banyak lagi perkara yang memerlukan Najib naik ke masjid dan bersumpah sekiranya beliau mahu menjadikan sumpah sebagai mekanisme untuk membersihkan dirinya. Jadi sekarang apabila Najib mula bersumpah maka beliau terus akan bersumpah menafikan segala apa juga tuduhan ke atas dirinya.

Kesimpulannya sumpah Najib itu tidak membawa apa-apa makna dan memberi apa-apa erti melainkan ianya sebagai helah dan sumpah P Ramle dalam filem Madu Tiga bagi mengelakkan di belasah isteri saja. [wm.kl 5:00 pm 24/08/08]

1 comment:

nasru said...

najib bersungguh-sungguh mahukan saiful bersumpah adalah kerana dia juga mahu bersumpah. lepas saiful bersumpah dan setakat ini masih belum ada bala terjadi kat saiful, maka najib pun terfikir, "saiful tak ada apa pun, relek je mamat tu. kira on lah aku bersumpah." lalu bersumpahlah najib selepas rasa yakin allah itu tidak wujud.