Ketua Penerangan Pas Johor Perlu Banyak Belajar!
RASUAH perbuatan haram dan keji dalam Islam. Tanggungjawab mencegahnya milik sesiapa juga yang membencinya. Tetapi dalam membuat teguran ia ada batas dan susilanya. Dalam konteks parti politik (organisasi), sesebuah parti lain tidak wajar kalau ia cuba menegur dan memperbaiki parti lain, termasuk soal-soal rasuah.
Bukan tidak boleh, tetapi ia dilihat tidak beretika. Beretika menurut pengertian harafiahnya ialah tidak ikut peraturan dan kelazimannya. Dalam bahasa keras, tidak beradab dan tahu adab. Biasanya mereka tidak beretika mereka yang belum tamadun!
Apa yang dilakukan oleh Pas Johor yang diketuai oleh Ketua Peneranganya, Mazlan Aliman (foto) membuat laporan kononnya berlaku rasuah dalam mesyuarat Umno Bahagian Kota Tinggi adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan tidak kena pada tempatnya. Ia dilakukan untuk mencari publisiti murahan bersifat semasa.
Kenapa Ketua Penerangan Pas itu menganggu urusan parti orang lain? Apakah Umno Kota Tinggi, khususnya Syed Hamid Albar turut sama menganggui urusan parti Pas. Menganggu urusan rumah tangga orang lain hanya dilakukan oleh mereka yang tidak tahu etika atau tahu adab saja. Semisalnya kambing yang termasuk dalam kandang babi, adalah kambing yang buta ilmu dan jahil tatasusila!
Rasanya masih banyak lagi kalau Mazlan Aliman atau sesiapa orang Pas yang ingin mempopularkan diri. Masih banyak isu dan bukannya mencampuri hal ehwal orang lain secara langsung.
Seharusnya Mazlan mengetahui tata etika ini. Perbuatan beliau itu menampakkan sangat beliau dan Pas Johor sendiri tidak tahu etika atau tatacara berpolitik. Secara tidak langsung apa yang dilakukan oleh Mazlan ia menunjukkan tahap profesional dalam Pas boleh dipertikaikan. Elok kalau Pas Pusat memberi nasihat dan tunjuk ajar sewajarnya kepada orang-orang seperti Mazlan Aliman itu. Kalaupun perlu adakan kursus mengenai tatacara beretika.
Sering berlaku ada pemimpin-pemimpin Pas yang gatal mulut dan tidak cukup isu dengan memcampuri urusan peribadi Umno. Tindakan ini tidak wajar kerana Umno jarang sekali berbuat demikian. Misalnya semasa Umno riuh randah mengadakan mesyuarat, ada pemimpin Pas yang memberi komen agak melampau dan personal dan seolah-olah mereka menjadi pemantau kepada perjalanan mesyuarat Umno pula.
Sikap Mazlan ini tidak aneh sebenarnya kalau orang mengenali dan mengikuti politiknya. Ada sesuatu yang kurang dalam diri anak muda Pas Johor ini. Saya sendiri pernah ada pengalaman dan pernah menegur beliau secara langsung atas sesuatu yang beliau lakukan secara tidak beretika.
Saya membuat teguran itu ikhlas kerana pada awalnya saya melihat (mendengar ceamahnya) budak ini ada bakat dan keberanian untuk menempatkan diri dalam kepimpinan Pas di masa akan datang.
Bagaimana semasa dijemput berucap pada satu majlis mesyuarat Pemuda Pas Kelantan beliau tanpa berselindung menyindir orang baju petak-petak merah yang juga ketika itu ada tercatuk atas pentas. Kritikan beliau itu memberi gambaran akan keberaniannya walaupun ia sudah melanggar adat sopan. Sebagai tetamu Pas Kelantan beliau seharusnya tidak mengkritik secara berdepan begitu.
Apa lagi ketika itu beliau menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda Pas, peluangnya untuk jadi popular cerah baginya. Namun mungkin kerana kelemahan dan kekurangan ilmu tadi menyebabkan peluang itu terlepas begitu saja. Tahu-tahu beliau sudah tidak lagi menjadi Naib Ketua Pemuda Pas. Sepatutnya beliau menganjakkan kedudukan ke jawatan timbalan.
Kegagalan ini menunjukkan bahawsa Mazlan masih belum cukup ilmu politik. Dan apa yang dilakukan semalam melaporkan rasuah dalam politik Umno menjelaskan kedangkalan beliau dalam berorganisasi. Bagi saya daripada membuat laporan rasuah ke atas Umno Kota Tinggi, ia lebih pantas kalau beliau mengorekkan segala macam rasuah yang berlaku dalam kerajaan Johor itu termasuk membongkar apa yang pernah dilakukan bekas MB Johor yang menjual tanah untuk rakyat Singapura. [wm.kl 6:45 am 08/11/08]
2 comments:
Assalamualaikum.
Saudara Sayuti, saya rasa saudara sendiri sedia peka dengan tindakan-tindakan Mazlan yang sering mengangkat isu-isu kebobrokan Kerajaan BN di Johor seperti isu WPI, projek-projek Gajah Putih Kerajaan BN di Johor Bahru dan beberapa isu tanah di Kota Tinggi dan Pontian yang melibatkan pelabur Singapura selama ini.
Maknanya, Mazlan selama ini bukan saja sibuk bercakap pasal rasuah dalam UMNO. Banyak isu yang dia sudah sediakala sentuh sejak dulu lagi yang melibatkan kepentingan negeri, Melayu dan Islam di Johor.
Ramai lagi pemimpin PAS macam Mat Sabu, Mahfuz Omar, Husam Musa, Dr Zulkifli Ahmad dan Kamaruddin Jaafar yang selalu mencampuri urusan UMNO di negeri masing-masing dan tak kurang di negeri-negeri lain menjelang musim pemilihan UMNO dan tak kurang isu-isu lain dalam UMNO di luar musim pemilihan parti reput itu.
Ini lazim dan tak menghairankan untuk dilakukan oleh pemimpin di dalam PAS. Ia juga bukanlah suatu kesalahan atau pun perlanggaran etika politik pada pendapat saya.
Salahkah Mazlan mengangkat isu rasuah pemilihan UMNO di Kota Tinggi atau di Johor? Rasuah tetap rasuah. Tak kira dalam UMNO, PAS, PKR atau parti-parti lain.
Duit yang digunakan untuk rasuah itu antara lainnya datang dari mana apakah saudara tahu? Ada antara wang itu datangnya dari hasil negeri/negara untuk makluman saudara.
Contohnya, banyak hasil negeri/negara yang dikutip dari cukai rakyat disalurkan untuk UMNO melalui pelbagai agensi Kerajaan Pusat atau Negeri.
Ketua-ketua Bahagian/Cawangan dalam UMNO yang menerima peruntukan dari agensi-agnesi ini menggunakan duit yang sepatutnya dibelanjakan untuk pembangunan komuniti setempat di kawasan masing-masing itu untuk merasuah sesama ahli UMNO dan menang dalam pemilihan parti mereka samada di peringkat cawangan, bahagian atau pusat.
Jadi apa yang Mazlan buat itu bukanlah pada pandangan saya satu tindakan mencampuri rumahtangga UMNO. Ia menegur penyelewengan sejumlah wang hasil negeri/negara yang telah diselewengkan dari tujuan asalnya untuk aktiviti korup dalam parti itu.
Kalau UMNO ini korup, apa salah PAS kritik? Kalau nak harap aduan ahli UMNO pada Jawatankuasa Disiplin mereka, tidak ada apa yang akan berlaku.
Semalam sahaja kata Tengku Ahmad Rithaudeen sudah ada lebih kurang 900 aduan rasuah politik pemilihan UMNO yang diterima Jawatankuasa Disiplin. Bila nak siasat? Bila nak diambil tindakan akan aduan-adauan itu?
Tapi kalau ada suara pembangkang menegur, UMNO akan malu dan akan cuba berusaha menyelesaikan aduan-aduan itu sekurang-kurangnya jika tidak sekalipun dapat membenterasnya secara menyeluruh.
Mereka di dalam UMNO sedang lemah bercakaran untuk jawatan dan kekayaan, PAS sebagai musuh politik takkan nak biar saja?
Bertindak bijaklah ambil kesempatan membunuh hayat politik UMNO di dalam keadaan itu. Tak ada salahnya. Itulah politik.
Isu Anwar Ibrahim pun asalnya adalah isu rumahtangga UMNO bilamana ia berpunca setelah Anwar melawan dasar-dasar pentadbiran bobrok Mahathir, tetapi PAS bawah Allahyarham Ustaz Fadzil Noor pantas mengambil peluang isu Anwar itu untuk melonjakkan imej dan hayat politik PAS.
Sayugia, apa yang mahu dihairankan dan dimarahkan dengan tindakan Mazlan? Sekurang-kurangnya kedengaran juga suara PAS di Johor.
Kalau nak diharapkan dua orang Adun PAS di Sg Abong dan Bandar Maharani sekarang, tak tahu apa pun yang mereka buat pun.
Harakah sendiri sebagai lidah rasmi PAS tidak selalu mengwar-warkan apa aktiviti mereka. Kalau ada pun, bermusim dan tidak konsisten ibarat melepas batuk di tangga.
Saudara, biarlah Mazlan mencuba sesuatu di Johor demi menonjolkan nama dan imej PAS di sana. Jangan dicantas dia macam saudara cantas Ibrahim Ali dan Husam Musa. Kelak, nama PAS hanya melukut di tepi gantang saja di negeri Ujong Tanah itu.
Di Kelantan memang mudah mencari pemimpin pelapis untuk PAS atas dinamisme politik di sana. Tapi di Johor, untuk mendapat pemimpin Melayu muda yang berani macam Mazlan itu di dalam PAS bukan mudah. Ini realiti.
Harapan saya pada saudara, yang rapat dengan idealisme perjuangan PAS, berikanlah sedikit ruang untuk pemimpin muda PAS di Johor itu membentuk dinamisme politik mereka. Jangan disekat macam Mahathir menyekat dinamisme politik dalam UMNO.
Walhasil yang diserang Mazlan ialah lawan politik PAS, bukan PAS sendiri atau sekutu-sekutunya dalam Pakatan Rakyat. Harap saudara dapat berlapang dada.
Jika Mazlan pernah silap menegur Husam secara berdepan, maafkanlah dia. Jika itu menyebabkan hayat politiknya malap, ya biarkan. Mungkin rezekinya begitu.
Kami di Johor tidak mengharapkan aktivis-aktivis PAS negeri kami memecah dominasi Pantai Timur dan Utara yang sangat kuat dalam parti itu pun.
Cukup sekadar kami mempunyai pilihan lain selain UMNO dalam politik di negeri ini. Kalau mahu harap PKR entahlah. Asyik sibuk di Selangor dan KL sahaja.
Lagi pun saya rasa di dalam PAS bukanlah jawatan atau pangkat yang diutamakan. Perjuangan untuk agama itu jauh lebih penting. Timbang-timbangkanlah pandangan orang kerdil seperti saya ini saudara sebelum saudara mencincang lumat imej politik Mazlan.
Terima-kasih.
Fadzli Kadir.
Assalamualiakum...
Saya setuju dengan teguran saudara.
PAS Johor memerlukan bukan sahaja pemimpin itu amat berani tetapi adalah lebih penting berilmu dan beramal dengannya.
Banyak tindakan kurang bijak telah dilakukannya yang sebenarnya tidak menguntungkan PAS Johor.
Ahli PAS Johor perlu berilmu jika becita-cita ingin menawan negeri Johor dalam PRU akan datang.
Abu Batrisyia - Ahli PAS Tebrau
Post a Comment