Eh Bukan Toyo, Tapi Khir Toyo
SPEAKER DUN Selangor, Teng Chang Khim hari ini telah mengumumkan mengenai pengesyoran Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor supaya bekas Menteri Besar Selangor, Mohamad Khir Toyo, eh bukan Toyo, tapi Khir Toyo digantung daripada menghadiri sidang dewan selama setahun.
Penggantungan Khir itu ialah kerana kegagalan beliau untuk menghadiri siasatan jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan dan Kebertanggunjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor pada Mac lalu.
Serentak dengan penggantungan itu juga segala kemudahan dan hak keistimewaan Khir sebagai anggota DUN Selangor termasuk juga elaunnya digantung.
Penggantungan itu diperingkat cadangan dan ianya akan dikemukakan pada sidang DUN akan datang.
Memanglah mana-mana anggota Dewan yang gagal atau sengaja enggan memenuhi peraturan digubal Dewan yang mulia untuk kebaikan rakyat patut dikenakan tindakan. Kegagalan Khir itu sebagai satu penghinaan kepada dewan.
Bagaimana pun DUN Selangor harus berhati-hati dengan tindakan itu. Untuk menggantungkan Khir bukannya payah, apabila cadangan itu dibentangkan dan mendapat persetujuan Dewan maka Khir akan tergantung.
Dalam hal ini apa yang perlu difkiri ialah implikasi tindakan itu. Apakah ianya tidak akan ‘memborak’ kepada hal-hal lain yang akan merumitkan kerajaan selepas ini. Bagi Khir selaku ketua pembangkang dan orang yang tidak ada kerja, saya rasa suka dengan tindakan itu kerana ia akan mempopularkannya. Pengantungannya itu akan dijadikan isu untuk dia menghebohkan diri kepada rakyat.
Khir boleh menggunakan tindakan penggantungannya itu sebagai modal dan dia bercakap mengenai politik Selangor. Beliau akan eksploitasikan penggantungan itu sebagai menunjukkan kerajaan takut dengan kehadirannya di Dewan yang kononnya akan mendedahkan banyak keburukan Pakatan Rakyat. Dalam kata lain penggantungan itu menjadikan Khir sebagai seorang hero.
Selain itu sebelum pengesyoran itu dibuat ada baiknya kalau DUN Selangor mengkaji apakah tindakan itu nanti memberi keuntungan atau sebaliknya kepada pihak kerajaan. Dalam hal ini apa yang lebih pentingnya apakah pengesyoran jawatan kuasa berkenaan tidak bercanggah dengan mana-mana peraturan Dewan dan semangat demokrasi.
Jangan pula penggantungan itu dibuat sebagai jalan mudah untuk menyelesaikan masalah Khir atau bagi menutupkan mulutnya daripada membongkar kelemahan dan kepincangan Kerajaan Pakatan Selangor hari ini. Kalau ia dibuat atas niat itu nampak sangat yang kerajaan berniat jahat.
Kenapa saya mengatakan demikian kerana bimbang, jika tidak hati-hati dan mendalami proses penggantungan kelak menyebabkan Khir boleh membawa kes itu ke mahkamah. Bila ianya dibawa ke mahkamah ini menjadikan Khir lebih popular dan secara tidak langsung ia memecahkan satu polimek politik dan perundangan di Selangor dan negara seluruhnya.
Ini kena fikir sematang-matangnya sebelum keputusan itu dimuktamadkan. Mungkin Khir tidak berhak untuk membawanya memandang apa-apa keputusan DUN adalah kebal dan tidak boleh dirujuk kepada mahkamah awam.
Tetapi harus diingat apa yang berlaku ke atas ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo. Beliau digantung dari menghadiri sidang Parlimen selama setahun. Ekoran penggantungan itu beliau telah mengambil tindakan mahkamah. Apakah semangat perundangan itu tidak akan digunakan oleh Khir kelak jika beliau juga digantung?
Jadi sebelum terlanjur lebih jauh fikirlah semasak-masaknya dan carilah mekanisme lain untuk mengenakan tindakan ke atas pemikiran Umno Selangor itu. Jangan hendaknya dengan penggantungan itu membolehkan Khir dikenang semula oleh rakyat Selangor yang kini sudah mula beransur melupuskan bekas calon ketua pemuda itu dari minda mereka. [wm.kl. 22:30 pm 19/05/09]
1 comment:
MSO..soal pengantungan itu adalah hak Dewan..tapi apa yang pasti mengapa Khir Toyo enggan hadir? Kalau dah rasa BERANI KERANA BENAR DAN TAKUT KERANA SALAH..hadir saja ke muka Jawatankuasa tersebut..soal bila dia tidak hadir dan digantung menjadi modal politik Khir Toyo maka samalah seperti sebelum ini rata-rata pemimpin BN mengatakan sedemikian rupa kepada Anwar dan pembangkang..maknanya tindakan mereka betul la..Jadi,nampaknya Khir toyo menjawab semua nya dalam blog...buat pa..berikan segala maklumat dan buktikan yang Khir Toyo bersih sepanjang pemerintahan beliau di Selangor..
Post a Comment