Wednesday, May 20, 2009

Eksklusif Petang

Timbalan Presiden Pas
Selepas Azizan Siapa Pula Akan Tarik Diri?

SOAL siapakah yang akan mencabar kedudukan Nasharudin Mat Isa sebagai timbalan presiden Pas menjadi tanda tanya. Walaupun ada empat nama lain dicalonkan untuk bertanding presiden, namun muktamadnya siapa yang benar-benar layak dan bersedia masih belum tentu.

Menteri Besar Kedah, Azizan Razak yang turut dicalonkan, bagaimana pun semalam telah mengaku kalah awal-awal lagi apabila menarik diri dari bertanding. Azizan hanya bersedia untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa agung Pas saja.

Alasan Azizan kerana beliau ingin menumpukan kepada pentadbiran negeri Kedah selaku MB.

Dengan penarikan diri Azizan itu, kini tiga nama lagi, Timbalan Musyidul Am, Dr Haron Din, Naib Presiden, Mohamad Sabu dan Husam Musa.

Siapakah antara ketiga ini akan meneruskan perjuangan untuk mencabar kedudukan Nasharuddin ataupun kesemuanya akan mengikut langkah Azizan Razak?

Sehingga kini belum ada tanda-tanda atau cula tiga nama yang dicalonkan itu akan menarik diri. Mungkin ketiga sedang membuat kajian terakhir sejauh mana peluang mereka. Salah satu petunjuk yang digunapakai ialah sebanyak mana jumlah pencalonan yang diperolehi tiap daripada mereka. Jumlah pencalonan ini menjadi ukuran apakah seseorang itu merasa layak atau sebaliknya.

Pengerusi jawatankuasa pemilihan, Mustafa Ali tidak mengumumkan jumlah calon yang diperolehi kelima calon timbalan presiden itu. Menurut peraturan jawatankuasa itu hanya memaklumkan jumlah itu kepada calon berkenaan sahaja. Ada alasan dan helah kenapa ianya tidak diumumkan.

Keadaan ini menyebabkan berbagai sumber memberi tahu blog Merah Tinta mengenai jumlah pencalonan itu. Setengah ada yang menghubungi ingin mengetahui kedudukan jumlah pencalonan itu. Jawatan yang menjadi tumpuan ialah timbalan presiden Pas. Namun blog ini tidak ada maklumat mengenai hal itu sehinggalah sekejap tadi.

Timbul juga calon-calon tertentu mendakwa mereka mendapat pencalonan sehingga 70 pencalonan. Kemudian turun pula kepada 50 pencalonan dan akhir sekali turun lagi ke 40 pencalonan.

Kedudukan angka berubah-ubah itu sebagai psywar untuk mempengaruhi perwakilan saja serta menguji pasaran semasa masing-masing. Bagaimana pun maklumat terbaru dan terkini yang blog Merah Tinta perolehi, kedudukan pencalonan terhadap lima calon timbalan presiden seperti berikut:

Azizan Razak mendapat 8 pencalonan, Dr Haron Din mendapat 7 pencalonan, Mohammad Sabu mendapat 26 pencalonan, Husam Musa mendapat 28 (dua puluh lapan saja) pencalonan manakala Nasharuddin Mat Isa mendapat 68 pencalonan. Pencalonan ini dibuat atau pun dihantar oleh 137 kawasan Pas. Perlu diingat masih ada 33 kawasan yang tidak mengemukakan pencalonan ataupun lewat menghantar pencalonan kepada jawatankuasa pemilihan.

Sekiranya kesemua 33 kawasan itu mencalonkan Mat Sabu atau Husam atau Dr Haron Din ini bermakna Nasharudin masih lagi mengungguli ketiga-tiga mereka dengan 68 pencalonan.

Sekiranya calon-calon berkenaan menjadikan jumlah pencalonan itu sebagai petunjuk bagi melihat kekuatan sokongan kepada mereka, ini menyebabkan akan ada calon-calon yang mungkin akan menarik diri mengikut keinsafan Azizan Razak yang awal-awal mengaku kalah.

Manakala tidak mungkin bagi Nasharudin untuk menarik diri memandangkan beliau mendapat pencalonan tertinggi. Sama-samalah kita tunggu sehingga hari akhir penerimaan tawaran bertanding yang akan dilakukan pada 25 Mei depan. Horras! [jln pahang.kl 4:00 pm 20/05/09]

3 comments:

dewa said...

tuan haji, saya rasa jumlah percalonan tak akan menentukan kemenangan.. Tengok saja apa yang berlaku pada Mukhriz... dapat percalonan tertinggi tetapimasa pemilihan dapat yang paling sikit... 'kempen' calon pada saat akhir amat penting juga..

PERSATUAN PENDUDUK said...

tahniah tn.hj..pendedahan yg telus dan berani.seeloknya dlm PAS ni jgnlah ada byk pertandingan kerana ia akan mengakibatkan perebutan kuasa yg akan terdedah kpd gejala rasuah.minta dijauhkan...nauzubillah!

Bang Aji said...

Salam MSO,
Memang lumrah alam dalam setiap pertandingan akan ada calon yang kalah dan calon yang menang. Sebagai pejuang dan pemimpin Islam yang bijak, menawar diri atau menarik diri dari pertandingan adalah merupakan tindakan yang perlu dihormati oleh semua orang samada sahabat, lawan atau pengkritik kerana setiap pemimpin yang dicalonkan sedar akan keupayaan diri masing-masing untuk menabur bakti bagi memimpin gerakan Islam. Ianya bukan sekadar bersandarkan ke'popular'an tetapi perlukan bekalan jati diri, idea bernas yang mampu mencabar dan melangkaui fikiran ahli bawahan malah perlukan kesihatan yang sempurna bagi menggalas bebanan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Itulah kelebihan bila berada dalam gerakan Islam...jawatan bukan matlamat utama. Yang penting adalah sumbangan kecil kita bagi turut serta dalam menegakkan syiar Islam. Kepada pimpinan yang dipilih dalam muktamar nanti ianya akan tetap ditaati kerana ianya adalah suara dari semua pejuang-pejuang gerakan Islam PAS.