Thursday, August 6, 2009

Pandang-pandang Rasa-rasa

Isu Royalti Minyak
Utamakan Rakyat Dari Politik


SELAKU rakyat Kelantan saya ingin mengucapkan terima kasih banyak kepada rombongan ekspedisi mengukur laut untuk memastikan apakah pelantar carigali minyak di kawasan pertindihan antara Malaysia dengan Thailand berada dalam kawasan Kelantan atau sebaliknya. Usaha itu patut dipuji setinggi-tingginya oleh rakyat Kelantan. Usaha itu menunjukkan kegigihan dan kesungguhan pemimpin kerajaan Pas Kelantan berusaha untuk mencari duit bagi membela rakyat.

Khabarnya ramai juga rombongan menyertai ekspedisi itu dengan menaiki empat buah bot yang digunakan oleh nelayan pukat dalam. Mereka terdiri dari ahli politik, pakar ukur laut, wartawan dan juru gambar profesional berbayar.

Hasil ekspedisi itu dan pengukuran yang dibuat oleh pakar menggunakan alat khas, jelas menunjukkan pelantar Cakarwala berada dalam kawasan Kelantan. Jaraknya dari Pengkalan Kubur sejauh 158 km. Selain pelantar itu, tiga lagi pelantar lain, Lawit, Bintang dan Jernih juga didapati berada dalam kawasan perairan Kelanan. Jaraknya dari Tok Bali, Bachok/Pasir Puteh kira-kira 68 batu. Jarak ini katanya lebih dekat daripada kedudukan pelantar minyak di Terengganu.

Bukti fizikal dan saintifik yang diperolehi itu menafikan sama sekali dakwaan pemimpin Umno yang cuba menidakkan hakikat itu. Kini kerajaan Pusat tidak boleh berdolak dalih lagi untuk menghalang Petronas daripada tidak membayar royalti petroleum kepada Kelantan seperti mana sepatutnya. Kelantan menuntut royalti bernilai RM1 billion.

Sebenarnya kalau kerajaan Pusat ikhlas dan jujur serta berpegang kepada semangat federalisme, ekspedisi itu tidak diperlukan. Sebelum ini pun sudah jelas bahawa Kelantan berhak menerima royalti berkenaan. Perjanjian yang ditanda tangani di antara kerajaan pusat, kerajaan negeri dan Petronas menjelaskan perkara itu. Para Exco sebelum ini juga sudah lama mengetahui kedudukan itu cuma mereka tidak hebuh dan berusaha dalam senyap bagaimana memujuk kerajaan Pusat.

Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah sendiri mengesahkan perkara itu. Beliaulah yang menteraikan perjanjian usaha minyak antara Petronas dengan kerajaan Kelantan. Pihak kerajaan Kelantan ditandatangani oleh bekas MB, Allahyarham Muhammad Nasir. Perjanjian itu dibuat tahun 1975. Masakan perjanjian itu tidak pernah diselak oleh sesiapa? [Boleh rujuk: http://razaleigh.com/]

Perjanjian itu masih valid dan menjadi dokumen sejarah yang tidak dapat dilupuskan.

Kepentingan perjanjian itu bila mana Kelantan diistyharkan sebagai sebuah negeri pengusaha minyak maka Kelantan berhak mendapat royalit sebanyak 5% seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu. Kelantan diistyarkan sebagai negeri pengusaha minyak dalam tahun 2004. Bermakna royalti itu perlu dibayar sejak lima tahun lepas lagi.

Ekoran pengesahan pelantar itu berada alam area Kelantan, pihak kerajaan mendesak supaya Petronas membuat bayaran dan tidak perlu berdolak dalih lagi. Sebaik rombongan ekspedisi mengukur laut itu mencecah kaki ke pasir satu kenyataan akhbar dikeluarkan mendesak Petronas membuat pembayaran.

Iya kalau Perdana Menteri benar-benar tulus ikhlas untuk melaksanakan slogannya, Rakyat Didahulukan dan Pencapain Diutamakan, royalti itu perlu dibayar segera. Najib Razak tidak perlu berklu klik lagi. Tetapi apakah ianya segampang itu?

Lantaran itu rakyat Kelantan harus tidak mudah merasa lega dengan desakan itu dan merasakan Najib akan sedia melaksanakannya. Beberapa perkara dan sudut perlu dilihat untuk tidak mengecewakan diri. Jangan pula setelah mendengar bahawa pelantar itu sudah berada dalam kawasan Kelantan, menyebabkan ada antara kita bersikap mencurah air di tempayan kerana mengharap guruh di langit. Belum tentu lagi wang royalti itu dapat dikecapi.

Rasanya semua pihak yang cerdik faham kenapa kerajaan Pusat sengaja berbuat begitu. Saya cukup yakin Najib sendiri tahu benar mengenai kedudukan pelantar-pelantar itu. Sekiranya pelantar itu tidak berada dalam kawasan Kelantan untuk apa perlunya perjanjian antara Petronas, kerajanan negeri dan kerajaan pusat yang ditanda tangani Tengku Razaleigh dan Muhammad Nasir itu.

Tetapi kenapa ia tidak sedia untuk laksanakan kerana motif politik. UBN telah menjadikan wang royalti itu sebagai umpan politik. Saya yakin kalau UBN memeritah Kelantan, wang itu akan dibayar hari ini juga.

Tentu Najib akan bertindak bagaimana dilakukan Tengku Razaleigh tahun 1978, di mana sebaik sahaja keputusan pilihan raya mendapati Umno berkuasa, Tengku Razaleigh terus mengistyharkan tol di jambatan Sultan Yahaya Petra dimansuhkan malam itu juga. Begitu juga kalau UBN menang di Kelantan Najib akan mengistyharkan royalti itu dibayar malam itu juga.

Makanya atas motif politik itu saya tidak percaya Najib sedia akur atau simpati kepada permintaan Kelantan itu. Kalau pun Najib bersetuju tentulah ada syarat-syarat tertentu. Adalah kurang bijak bagi Najib kalau umpan yang dipegang selama ini terlepas begitu saja tanpa mata joran menyangkut diperut kerajaan (Pas) Kelantan. Setidak-tidaknya Najib mahukan situasi win-win.

Sekiranya Petronas diarah membuat pembayaran, tentulah ia bukan menerusi kerajaan negeri. Pembayaran mungkin dibuat menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Apa yang berlaku di Terengganu tahun 2004 semasa negeri itu diperintah Pas mungkin dilakukan. Petronas telah menggantungkan pembayaran royalti yang diberikan sebelum ini tetapi tiba-tiba ditukar dengan wang ehsan apabila kerajaan UBN tumbang. Semua rakyat diagihkan dengan wang esah berkenaan.

Apakah natijah dari tindakan Petronas itu? Hasilnya rakyat teruja dan menerima budi pihak pemberi wang ehsan itu lantas menolak kerajaan Pas dalam pilihan 2004.

Makanya saya tidak nampak angan-angan Pas untuk membahagikan dengan tangan sendiri wang royalti itu kepada rakyat. Tetapi tidak mengapa, kalau wang itu diagihkan walaupun menerusi agensi apa jua, janjinya rakyat Kelantan dapat menerima hasil mahsyul negerinya sendiri. Apapun kerajaan Kelantan tetap juga mendapat pahla kerana berusaha mendapatkan wang berkenaan untuk rakyat.

Harapnya kalau ini terjadi rakyat Kelantan tidak termakan dengan budi baik itu. Ambillah wang royalti itu tetapi jangan pula lupa amanah agung Tok Guru, ambil apa orang beri tetapi undi Pas?

Pada hemat saya perjuangan untuk mendapatkan wang royalti minyak ini masih panjang dan tidak semudah kerja-kerja dilakukan rombongan ekspedisi itu. Ia bukan mudah dipenuhi oleh Najib. Melainkan idea mewujudkan kerajaan perpaduan yang dicandangkan baru-baru ini diterima Pas mungkin ia memudahkan sedikit. Sekiranya kerajaan perpaduan sudah wujud, pasti hari ini pihak kerajaan Kelantan sudah pun duduk semeja dengan Petronas untuk mengira berapa banyakkah pembayaran peringkat pertama perlu di lakukan.

Kalau Pas menerima idea unity goverment tidak ada sebab lagi bagi Najib untuk menolak atau melengah-lengah mengarah Petronas membuat pembayaran. Di sinilah bagi saya sikap yang diambil oleh sesetengah pemimpin Pas Kelantan menolak bulat-bulat unity goverment itu sebagai satu kesilapan dan kurang bijak. Tetapi mungkin juga ada kalangan orang Kelantan yang sanggup terus meleleh air liur daripada menerima ehsan dari kerajaan Pusat.

Apakah kesilapan menolak bulat-bulat kerajaan perpaduan itu sedang diperbetulkan sekarang? Hendaknya pertemuan sengaja atau tidak sengaja antara Tok Guru Nik Aziz dengan Najib Razak sebanyak tiga kali dalam tempoh tidak sampai sebulan akan merintis jalan keluar dari sikap jumud politik kedua pihak yang tidak menguntungkan rakyat dan negara.

Selepas ini pandai-pandailah pemimpin kerajaan Kelantan berpolitik dengan Najib demi mendapatkan hak rakyat. Jaya atau gagal bergantung kepada kebijaksanaan pemain utamanya. Rasanya tidak ada guna Pas mengharap pahlwan yang dalam penobatan untuk membantunya sedangkan belum pasti lagi sempat ditabal atau pun tidak. Jika Pas tetap dengan sikap jumud dalam hal ini saya rasa isu royalti minyak ini akan berakhir di mahkamah! [wm.kl. 7:50 am 06/08/09]

3 comments:

zeme said...

Salam Tuan Haji MSO,

Bekas Pengerusi Petronas YBM Tengku Razaleigh dalam kenyataan bertulis seperti mana dipaparkan dalam blog rasmi (http://razaleigh.com) menjawab surat pertanyaan pandangan beliau oleh MB Kelantan Tuan Guru Dato' Hj Nik Aziz berkenaan isu tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Kelantan, YBM Ku Li telah memberikan sejelas penerangan tentang isu ini.

Menurut pandangan beliau, jelas sekali PETRONAS terikat dengan perjanjian bersama Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1975 dan oleh itu PETRONAS wajib membuat bayaran tunai sebanyak 5% daripada petroliam yang diperolehi daripada luar pantai Malaysia yang bersetentangan dengan Kelantan kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Jelas isu royalti minyak ini menjadi umpan dan senjata permainan politik umpama sekatan ekonomi bagi Kerajaan Persekutuan dalam memberikan tekanan berterusan kepada Kerajaan Kelantan pimpinan PAS. Namun jika dilihat, isu royalti minyak ini mempunyai hikmah tersendiri dalam membentuk serta membina kewibawaan pentadbiran urus kewangan Kerajaan Kelantan yang lebih berdikari dan daya usaha.

Wasalam.

rozana said...

mengoncang kedaulatan sebuah negeri/negara dgn umpan/ugut ekonomi adalah mainan kuasa besar spt US ke atas Iran. Tidak bagi kerpada yang berhak adalah zalim.
Peace tuan MSO

mydairy said...

tuan, macam mana pula dengan tindakan kerajaan PAS yang akan membawa ke mahkamah antarabangsa untuk menyaman kerajaan PUSAT ? apakah ini satu lagi jalan lain untuk mendapatkan royalti untuk kelantan tanpa bn memerintah kelantan? harap tuan ulas