Tuesday, December 21, 2010

Sesudah Subuh

Syarahan Tenang Untuk Sallahuddin

PAS belum memutuskan siapa calonnya untuk diletakkan pada pilihan raya kecil Dun Tenang, Labis Johor. Pas juga belum memutuskan siapakah yang bakal dilantik atau diserahkan tugas sebagai pengarah pilihan raya. Pengarah merupakan jurumudi pilihan raya berkenaan. Ia juga adalah orang yang bertanggungjawab merancang segala aktviti, strategi, tektik pilihan raya berkenaan. Jangan lupa merekalah nanti yang akan dipertanggungjawabkan.

Kalau menang pengarah akan diangkat dan dinobat setingginya. Kalau kalah ia akan dipersenda dan diremehkan.

Kalau ikut amalan Pas secara automatik yang akan dilantik menjadi pengarah pilihan raya itu nanti, Sallahuddin Ayub. Katanya sudah ada konsensus atau sudah dibahagi-bahagikan zon kepada tokoh-tokoh tertinggi Pas (Naib Presiden) akan mengambil tanggungjawab itu.

Misalnya kalau pilihan raya itu berlaku di Utara, maka pengarahnya Mahfuz Omar. Kalau di Timur pengarahnya, Tuan Ibrahim Tuan Man. Manakala kalau di Selatan, Sallahuddin. Pembahagian ini berlandaskan kepada bumi (zon) kelahiran mereka.

Ketiga mereka adalah Naib Presiden Pas. Pun begitu ia bukan satu hal yang wajib. Saya tidak fikir kalau pilihan raya kecil berlaku di Terangganu, maka Tuan Ibrahim akan jadi Pengarah. Ini terbukti semasa pilihan raya kecil Galas, Kelantan bukan Tuan Ibrahim yang menjadi ketua tetapi Abdul Halim Abdul Rahman bersama Abdul Fatah Haron.

Ini menunjukkan kuasa atau pembahagian tugas di kalangan tiga Naib Presiden itu bukan sesuatu yang mutlak. Kita faham kenapa kalau bukan Tuan Ibrahim yang menjadi ketua di Galas. Salah satunya ialah mungkin kerana kebolehan beliau dalam bidang pengarahan tidak berapa mendalam (kurang berpengalaman) seperti mana kemahirannya dalam penghuraian terhadap ayat-ayat Allah dan juga hadith Nabi.

Maka pertukaran itu boleh berlaku dan dilakukan. Abdul Halim pula kebetulan jadi Pengerusi Jabatan Pilihan Raya Pas (JPP) maka tugas itu ditanggung ataupun 'di kokok' (monopoli) olehnya bersama Fatah Haron yang jadi Pengerusi JPPN Kelantan. Walhal kalau hendak diambil kira kedua mereka tidak relevan lagi untuk mengarah pilihan raya itu, namun kerana kedudukan itu ianya diserahkan kepadanya. Justeru kekalahan di Galas terpikul secara automatik ke atas bahu kedua-dua Abdul itu.

Jika hendak diambil kira, ada orang lain yang dikira wajar dan sesuai untuk menjadi pengarah di Galas tempoh hari. Tetapi kerana beliau itu tidak tergolong dalam golongan elit Pas, maka dia hanya jadi tukang ceramah secara senyap saja. Tidak begitu bersungguh menangani pilihan raya berkenaan dan sehingga dituduh sebagai cuba memsebotaj pilihan raya itu.

Berbalik kepada Tenang, apakah Pas akan menyerahkan kepada Sallahuddin? Pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan sudah pun diserahkan kepada Sallahuddin. Pilihan raya itu kalah teruk. Kekalahan itu bukan saja kerana faktor kelemahan pengarahan pilihan raya (terutama dalam stretagi saraf) berkenaan, tetapi di Bagan Pinang adalah kubu kuat BN sejak lama dulu.

Kekalahan di Bagan Pinang dikira wajar dan bukan kesalahan dan kelemahan pengarahnya. Kekalahan di Bagan Pinang, kerana kesalahan Pas Negeri Sembilan seluruhnya. Masa Pas menghadapi pilihan raya di situ Pas hanya ada dua buah cawangan saja. Jadi mustahillah Pas boleh berdepan dengan UBN yang mempunyai ahli lebih 9,000. Kekalahan tempoh hari juga ditokok tambah dengan kelemahan wakil Parlimen dari PKR berfungsi sebagai wakil rakyat.

Bagaimana pula dengan Tenang. Berapa cawangan Pas di Tenang? Jika dilihat Johor sebagai lubuk Umno / BN maka keadaanya sama saja dengan Bagan Pinang? Makanya kalau pilihan raya itu diserahkan kepada Sallahuddin sekali lagi Naib Presiden Pas itu melalui jalan sukar untuk mencipta sejarah.

Pun begitu Sallahuddin tidak perlu gusar. Kalau beliau dilantik jadi pengarah beliau bukan bersendirian. Beliau akan dibantu. Bukan saja dari Pas, tetapi PKR dan DAP juga. Kemenangan di Tenang adalah penting untuk Pakatan Rakyat. Atas semangat dan keperluan itu pilihan raya itu akan dihadapi secara bersama. Pas kena pasti mereka akan mendapat bantuan jitu daripada kedua rakan komponen itu.

Bukan itu saja, saya rasa semua pemimpin disemua peringkat di Johor kena bersatu untuk membantu Sallahudin. Ia bukan saja dari kalangan yang tinggal di Johor, tetapi anak Johor di luar Johor juga. Orang seperti Khalid Samad yang merupakan seorang pemimpin yang bukan saja lantang tetapi berjaya membawa stail politik baru mendekati bukan Melayu wajar untuk dikerah ke Tenang.

Saya rasa Khalid perlu diberi peluang dan kepercayaan untuk membantu Pas di Tenang. Orang Johor mempunyai sentimental tersendiri. Bahasanya bahasa Melayu yang standard atau pun yang tinggi kelasnya. Kita bimbang kalau orang Kelantan atau Teranggnu atau Kedah yang berkempen mereka tidak faham. Jadi adalah elok kalau orang Johor berhimpun di Tenang. Orang Johor harus menjadi orang Daik yang perlu pulang ke Daik.

Dari sudut lain pilihan raya Tenang ini juga merupakan peluang dan ruang terbaik untuk Sallahuddin dan anak Johor seperti Khalid Samad membuktikan bahawa mereka mampu untuk membawa perubahan. Kemenangan di Tenang sudah pasti akan menaikan darjat kepimpinan mereka. Baik Sallahuddin atau Khalid Samad akan dilihat sebagai pemimpin masa depan di Johor.

Saya cukup yakin pengalaman selama dua penggal menjadi ahli Parlimen di Kelantan bagi Sallahuddin akan membantu beliau mendekati masyarakat di Tenang. Begitu juga dengan politik baru diperkenalkan Khalid akan diterima oleh pengundi di Tenang. Saya tidak fikir orang Johor tidak tahu menilai kehebatan dan kebolehan kedua tokoh nasional dari Johor itu. Kalau mereka boleh berjaya dan mencipta nama di luar Johor, mengapa pula tidak di Johor.

Tidak mustahil kalau Sallahuddin berjaya membawa kejayaan Pas di Tenang nanti, ia akan membuka minda Presiden Pas untuk melantik Sallahuddin menjadi nokhoda di masa depan. Tetapi yang kena diterima kelak kalau Pas kalah di Tenang dan jika Sallahuddin berkebetulan menjadi pengarahnya kekalahan itu bukan saja terpikul di bahunya tetapi bahu semua pemimpin Pas Johor.

Tenang sesungguhnya mencabar keupayaan dan semangat orang Pas Johor khasnya dan orang Pakatan amnya. Ingat, Mat Maslan sedang menanti di Tenang. [wm.kl.8:00 am 21/12/10]
Post a Comment