Thursday, December 2, 2010

Susupan Petang

Nik Aziz Membina Projek Akhlak Di Kelantan

SAHABAT dan kawan sezaman dengan saya, Ramli Abdul Halim menulis dalam blognya - Meli Kapak Jangak bertanya dan mencari apakah jasa-jasa Tok Guru Nik Nik Mat sebagai MB Kelantan. Walaupun saya cuba memahami maksud tersirat di sebalik tulisan beliau itu, tetapi kali ini ilmu saya gagal merungkai apakah maksud sebenarnya di sebalik pertikaian itu. Apakah kawan saya itu sengaja melambung persoalan itu untuk dijawab beramai-ramai. Itukah hikmahnya?

Kerana itu yang diperolehi, saya rasakan Meli cuba merendahkan pencapaian Nik Aziz sebagai MB yang sudah masuk ke tahun 20. Dalam melihat Nik Aziz sebagai MB Meli mengasingkan Nik Aziz sebagai tok guru.
Awal penulisannya, Meli cuba membandingkan Muhammad Nasir dengan Nik Aziz sebagai MB Kelantan. Muhammad Nasir adalah gurunya dan dalam sejarah politik Kelantan orang selamanya mengenagkan Muhammad Nasir sebagai oknum yang mengisbatkan Kelantan jatuh ke tangan UBN tahun 1978.

Meli membuka kisah bagaimana pengorbanan dan jasa-jasa Muhamamd Nasir dalam hidupnya, banyaknya sebagi MB. Kata Meli, Muhammad Nasir membeli 30 ekar tanah rang di kampugnya, Rong Chenak, Pasir Mas dan membuka sekolah agama, Balaghulmubin dan di sekolah itulah Meli belajar dan celik jawi, serta tahu baca Quran, hadith dan kitab agama.

Terus terang, di sini saya bukan hendak berlawan dengan sahabat saya itu atau menyinggung beliau kerana diterheret oleh polemik beliau dengan penjenguk blognya. Saya tidak pun membaca catatan (yang menimbulkan polemik itu), melainkan yang ini. Tetapi saya merasakan tulisan beliau itu agak berlebih-lebih sedikit. Secara peribadi saya bersetuju kalau pembangunan fizikal projek mega tidak terlaksana di zaman Nik Aziz jadi MB selama sudah 20 tahun. Dan saya juga setuju kalau Meli malah sesiapa mengkritik Nik Aziz. Saya juga berbuat demikian tetapi biarlah konstruktif dan sedia meralat kalau kritikan kita tidak tepat.

Kalau dibanding dengan Mohd Asri Muda (Allahyarham) saja sebagai menjadi MB, Nik Aziz kalah dari segi membawa pembangunan fizikal di Kelantan. Misalnya di zaman Asri dibuka tanah rancangan untuk menempatkan rakyat Kelantan yang tidak bertanah. Peneroka di zaman Asri membuka tanah dengan kudrat iradatnya sendiri. Mereka hanya bertemankan kapak dan beliung saja untuk meruntuhkan hutan menjadi kampung halaman. Nah, hari ini hasil pandangan jauh dan ikhtiar Asri itu peneroka itu sudah kaya raya dan setengahnya ada yang memiliki tanah sampai 50 ekar.

Selain tanah rancangan, pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra yang merentangi sungai Kelantan juga adalah idea dan usaha Asri. Begitu juga pembinaan pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri yang kini menjadi Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya, adalah hasil usaha beliau. Setidak-tidaknya projek pembangunan itu menjadi legasi politik Asri dan rakan-rakannya di Kelantan.

Mungkin benar Nik Aziz tidak ada ikon material seumpama itu di zamannya. Legasi pembanguann fizikal agak berkurangan. Tetapi kalau kita cuba menjernihkan diri dan melihat pembangunan itu dalam skop lebih luas, (hakiki sebagai umat Islam) tidak dapat tidak kena diakui juga Nik Aziz turut membawa pembanguan dan merubah landskap politik Kelantan. Banyak perubahan dan pembaharuan (tajdid) yang tetes dalam tempoh 20 tahun.

Satu perkara yang jelas dan ini menunjukkan beliau ada sumbangan dan jasa apabila pentadbiran dan pemerintahannya di terima. Kemampuan kerajaan Pas Kelantan bertahan selam 20 tahun (dan insyaAllah akan kekal selepas pilihan raya k 13 nanti) adalah bukti paling jelas yang tidak dapat disangkal oleh mana-mana penganalisa politik termasuk dari London sekali pun mengenai kehebatan Nik Aziz dan Pas.

Apakah erti dan signifiken kehebatan Pas itu? Itu adalah kehebatan yang dijelmakan oleh Nik Aziz. Kalaulah kehadiran Nik Aziz tidak disenangi dan ia membawa 'sia-sia yang lapar' kepada Kelantan, nescaya rakyat Kelantan tidak akan sanggup bermenteribesarkan Nik Aziz selama 20 tahun.

Kehebatan dan keagungan beliau dalam soal ini perlu dilihat dan dijadikan perbandingan kejayaan beliau secara insaf. Cuba panjangkan leher dan bulatkan (wokankan) mata untuk melihat kehebatan ini yang belum tentu dapat dicabar oleh sesiapa. Saya berani mengatakan sukar untuk sesiapa baik dari kalangan Pas sendiri atau Umno untuk memadam pencapaian Nik Aziz itu.

Kemajuan yang berlaku di zaman Nik Aziz adalah pembangunan jiwa, pembangunan rohani dan pembangunan insan. Nik Aziz telah membangunkan akhlak politik di Kelantan. Beliau telah meletakkan rakyat Kelantan dalam neraca politiknya sendiri yang ikut berfikir dan mengambil berat tentang dosa dan pahala, syurga dan neraka.

Hanya mereka yang sengaja membutakan mata saja tidak akan nampak pembanguann akhlak dibina Nik Aziz. Dalam kata lain Nik Aziz berjaya menginstitusikan politik sebagai instrument untuk membawa manusia ke dua destinasi sekaligus, ke panggung wayang dan masjid. Beliau adalah pemaking kepada perjuangan Pas pada masa kini, seorang ahli politik yang versatile atau anjal yang mampu mengikut rentak politik tanpa meninggalkan Quran dan Hadith.

Dalam hal ini salah satu yang paling manrik bagi saya, Nik Aziz berjaya menghapuskan sikap politik kolot dan jumud sesetengah orang Pas di Kelantan yang dibawa oleh regim lama, iatu menimbulkan politik kafir mengkafir dan bergaduh sesama sendiri. Selepas Nik Aziz mengemudi Pas Kelantan isu kafir mengkafir sudah berkurangan dan kini hampir tidak melatas lagi. Masalah ataupun fenomena ini berjaya dihapuskan kerana stail dan pendekatan politik beliau.

Saya rasa Meli sendiri menyedari hal ini dan kertas catatan mengenai betapa buruknya politik kafi mengkafir yang pernah terjadi di Kelantan dulu masih ada dalam simpanannya.

Perubahan dalam sistem pentadbiran juga berlaku di bawah Nik Aziz. Nik Aziz berjaya membawa islah dalama sistem pentadbiran. Nik Aziz menjadikan Quran dan sunnah sebagai kaedah atau paduan untuk merubah pentadbiran dan sikap manusia bernama penguasa. Perubahan ini berjaya. Buktinya hasil didikan serta penekanan kepada akhlak dan moral, tiada pegawai kerajaan atau ahli politik Kelantan yang ditangkap kerana rasuah, atau pun telah menyalahgunakan kausa secara melampau. Saya percaya pihak UBN telah berusaha mengorek ke lubang cacing untuk mencari kesalahan para pemimpin Pas tetapi tidak ketemu.

Dengan akhlak politik yang dibangunkan Nik Aziz itu jugalah memungkinkan kerajaan Kelantan berusia panjang. Rakyat terus memberi kepercayaan. Kita selalu dengar Pas akan kalah kalau tidak ada Nik Aziz. Kenapa keluar dendangan dan ratib demikian? Jawabnya kerana kehebatan Nik Aziz.

Kalau dibandingkan usia pentadbiran bekas Menteri Besar lain dengan Nik Aziz, nampaknya 'panggil tida dengar.' MB sebelum ini hanya berkhdimat antara lima tahun dan tujuh tahun sahaja. Ishak Lufti Omar jadi MB selama lapan tahun saja. Asri jadi MB enam tahun manakala Muhamamd Nasir pula empat tahun saja. Tetapi Nik Aziz 20 tahun secara marathon. Huh... bukankah hebat namanya itu...

Bila bercakap pembangunan di era Nik Aziz, sesiapa pun akan kecewa kalau mahu melihat terbina menara 100 tingkat di Kelantan. Ataupun lapangan terbang terpanjang Malaysia di Kelantan, atau pun apa-apa yang maha hebat dan maha besar. Harus difahami kekuatan membina akhlak dan mengubah sistem kerajaan ini bukan senang untuk dilakukan. Pentadbiran akan berubah bila akhlak manusia berubah. Hanya manusia yang mempunyai sifat seperti Mahatama Ghandi saja yang boleh berbuat demikian. Di sini saya bersetuju kalau ada orang melebelkan Nik Aziz sebagai Mahtma Ghandi baru.

Selalunya orang yang marah dan keliru mengenai Nik Aziz kerana berada jauh darinya. Tidak merasai lembut jabatan salamnya dan menghidu harum bak kasturi nafas kemanusiaanya. Mereka yang berada jauh akan tidak dapat menghidu kemuliannya sebagai tok guru dan ahli politik. Sila hadir dan bersimpuh di depannya untuk merasai kelunakan itu semua. Bila berdekatan dengannya akan nampaklah ketinggian darjatnya, kerendahan budinya.

Kemajuan dan pembangunan yang dicipta dan dibangunkan Nik Aziz tidak terpandang oleh mata zahir tetapi sangat indah untuk ditilik mata batin. Sila berada di belakangnya menjadi makmum solat nescaya akan dapat dirasailah sebuah kenyaman dari payung seorang tok guru dan pemimpin negeri.

Sebab itu orang bukan Islam; Cina, India, Siam, Orang Asli senang mendampingnya kerana pembangunannya meninggal keinsafan dalam jiwa mereka. Dalam kata mudah Nik Aziz tidak membina jambatan terpanjang Malaysia di Kelantan merentang mana-mana sungai, tetapi dia menguntai doa dan munajat terpanjang untuk rakyat Kelantan dengan ilmunya.

Nik Aziz tidak membina lampangan terbang terbesar, tetapi dia membina lebuh raya lebar menuju ke kehidupan abadi dengan jawatan yang diamanahkan Allah kepadanya. Nik Aziz tidak membina bangunan pencangkar langit tetapi dia membina ketinggian akhlak dan budi menjejaki sunnah Rasulullah. Dia menghimbaukan tamadun Madinah di Kelantan.

Kalau hendak dikira jasa Nik Aziz sebagai hamba, sebagai da'i dan tok guru tidak terhitung. Tok Guru mana di Kelantan hari ini yang masih terus mentarbiyah ummah secara berterusan. Apa yang berlaku di Dataran Ilmu setiap Jumaat menjelaskan akan kehebatan dan pengorbanan atau jasa beliau. Sejak lebih 30 tahun beliau mengajar, (secara percuma) sudah berapa puluh ribu manusia yang mendapat manfaat darinya. Yang datang setiap Jumaat menadah telinga untuk mendengar syarahan agamanya bukan saja dari Kelantan tetapi dari luar juga.

Tidak ketinggalan dalam politik pula Nik Aziz berjaya memunculkan beberapa tokoh baru Pas di Kelantan yang akan mewarisi tahkta kekuasaan di Kelantan. Nama-nama seperti Husam Musa, Mohd Amar Nik Abdullah, Takyuddin Hassan, Nasaruddin Daud, Zulkifli Mamat dan putranya sendiri Nik Abduh serta lain-lain adalah anak-anak didik yang lahir dari Madrasah Siasah Nik Aziz yang akan menerus dan memikul tanggungjawab politik dan agama di hari muka.

Saya rasa kepda mereka yang kabur mengenali politik dan juga jasa Nik Aziz di Kelantan akan celik dengan apa yang saya paparkan ini. Sekali lagi ditegaskan pembangunan Nik Aziz bukan pembangunan jasmani saja tetapi yang lebih penting baginya ialah pembangunan rohani menerusi projek pembentukan akhlak dan syaksiah politik. Jangan lupa basuh mulut kalau makan pulut. [wm.kl. 7:00 am 02/12/10]
Post a Comment