Wednesday, December 22, 2010

Susupan Petang

Abdullah Badawi Ziarahi Nik Aziz?

DALAM perjalanan ke kilang cetak Siasah pagi tadi saya menerima panggilan dari seorang rakan, bekas Yang Berhormat. Dia melaporkan satu berita yang pada saya senang didengarnya. Berita itu ialah mengenai bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi telah menziarahi Tok Guru Nik Abdul Aziz beberapa hari lalu ketika Nik Aziz berihat di hospital USM, Kubang Kerian.

Saya tidak mudah untuk mempercayainya. Berita mengenai kunjungan Abdullah itu sedikitpun tidak disiarkan dalam mana-mana media atau blog. Apakah ianya tidak tersambar oleh mana-mana wartawan atau bloger? Sukar untuk dipercayai kalau apa-apa peristiwa yang mempunyai nilai sebegitu tinggi tidak terhidu oleh wartawan.

"Benar sheikh..!" kata kawan itu, apa bila saya mahukan kepastiannya. Dan selepas menyiasat dan menghubungi seseorang ternyata berita itu benar.

Syukurlah. Nampaknya hubungan kemanusiaan antara Abdullah dengan Nik Aziz masih ada. Ternyata Abdullah tidak mendendami Nik Aziz. Beliau boleh melupai ucapan Nik Aziz yang ditulis oleh setiausaha politiknya yang memperkecil dan menyindir Abdullah semasa majlis perlancaran Koridor Raya Pantai Timur (Ecer) dua tahun lalu.

Bila teringat akan hal ini - budi baik atau nilai kemanuisaan Abdullah terhadap Nik Aziz saya teringat bagaimana mulanya Tok Guru bergembira bila mana terdengar Abdullah akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Dr Mahathir Mohamad. Kegembiraan Nik Aziz itu dilahirkan menerusi sepucuk surat tahniah beliau kepada Abdullah Badawi.

"Ana dah pun menulis surat ucap tahniah kepada Pak Lah tapi nampaknya beliau belum jadi PM lagi," begitu luah Tok Guru kepada saya. Ketika itu saya berada di pejabatnya di SUK. Waktu itu sudah riuh mengatakan Abdullah akan mengambil jawatan itu.

Ucapan Nik Aziz menerusi surat bertulis jawi itu menunjukkan beliau berkenaan kalau Abdullah jadi Perdana Menteri. Tidak dapat dipastikan apakah surat bertulis jawi itu dihantar oleh Tok Guru atau tidak selepas Abdullah disahkan menjadi perdana menteri waktu itu.

Jumaat lepas saya bertemu dengan Abdullah di masjid Al Ghufran Taman Tun Dr Ismail. Dalam pertemuan itu tidak pula saya bertanya apa-apa mengenai pertemuan itu. Kalau saya sudah dapat maklumat ini pasti saya akan bertanya kepada beliau.

Kalau Jumaat ini saya berkebetulan bersembahyang Jumaat disitu dan sempat berjumpa Abdullah saya akan tanya apakah benar atau tidak beliau ada menxiarahi Tok Guru. Atau kalau benar apakah yang dibincangkan dalam pertemuan itu.

Apa yang saya difahamkan katanya ada perbincangan istimewaan di antara mereka berdua selama beberapa minit berada di hospital USM itu. Ehemmm...[wm.kl. 7:30 pm 22/12/10]
Post a Comment