Saturday, December 4, 2010

Predection Sabtu

Wikileaks Portal
Yang Menyeronok Dan Menakutkan!


SECARA alamiah semua manusia tidak suka kepada sesuatu yang mengekang jiwa dan dirinya. Manusia akan cuba berusaha melepaskan segala kekangan itu. Apa juga kekangan adalah penjara. Kejahatan, kesadisan, ketidakjujuran, pembohongan atau pemanipulasian juga merupakan sebahagian daripada penjara. Yang tidak disenangi oleh naluri manusia. Makanya manusia akan berusaha untuk membebaskan diri mereka ditipu, dipermain atau diperbodoh-bodohkan.

Berbagai-bagai pula usaha dan helah manusia untuk membebaskan dirinya atas nama untuk mencari keadilan dan membebaskan dunia dari belenggu kepuraan-puraan dan munafik. Dalam usaha ini ada yang menggunakan kekuatan fizikal, menggunakan akal, memperalatkan pihak lain dan sebagainya. Yang penting nawaitunya tercapai.

Dalam usaha membebaskan segala comotan hitam dan jahat itu manusia sanggup melakukan apa saja. Di sini masalah upah atau kebendaan tidak menjadi perhitungan. Seorang manusia yang mahu kembali kepada fitrah dirinya - kembali kepada jisim dan zat kejadian-Nya, akan berbuat sesuatu itu secara sukarela dan ikhlas. Manusia yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara dia akan berusaha mengatasinya dan sanggup mengeluarkan belanja berapa banyak sekali pun. Ada juga yang menjadikan nyawa sebagai gadaian dan taruhan.

Bagaimana pun ada yang yang menerima upah di sebalik kegiatan baik itu. Mereka menjadikan kerja membongkar dan membebas dunia itu sebagai profesyen cari makan untuk anak dan isteri serta kekasih alias gundik.

Demikian juga dengan Wikileaks sebuah portal berita bebas yang diasaskan oleh warga Australia bernama Julian Assange, 39 (foto). Beliau adalah peyandang ijizah Doktor Falsafah dalam bidang Fizik dan seorang pengodam laman web. Mulanya dia beroperasi di Malbourne, Australia kemudian berpindah ke serata tempat. Beliau memang bermasalah dengan Amerika kerana mendedahkan rahsia sulit negara itu dan kini sedang mendapatkan suaka politik dari Swedan.

Dari profile kehidupannya beliau pernah belajar di lebih 136 buah sekolah berbeza dan pernah ditahan beberapa kali kerana jenayah menggodam komputer. Manakala kewujudan portal ini ditemui pada tahun 2006.

Bagi Amerika, Wikileaks atau Asaange hanya mahluk kecil saja kalau dibandingkan dengan kekuatan dan keghanan negara itu. Tetapi kecerdikan dan kegilaan Assange itu ia seperti nyamuk yang boleh membunuh gajah. Kewujudan Wikileaks kini sudah mula dirasai oleh Amerika yang besar itu apabila ia mendedahkan berbagai rahsia jenayah melibatkan negara berkenaan. Pendedahan dibuat Wikileaks memalukan dan menjatuhkan maruah Amerika sebagai sebuah negara yang mengakui sangat mendaulatkan hak asasi manusia.

Di mana-mana di seluruh dunia kini orang mengatakan mengenai Wikileaks dan kegiatannya. Semuanya terarah kepada serangan portal pembekal rahsia itu ke atas Amerika. Kisah ngeri di sebalik tabir perang Iraq - Iran ataupun pergolakan dan perang di Afghanistan yang dicampuri langsung atau dipalankan Amaerika mula di bongkar satu persatu.

Pada Oktober lalu laman berbahaya itu telah mendedahkan 400,000 laporan perang di Iraq yang kebanyakannya melibatkan Amerika. Paling baru pendedahan yang menggerunkan Amerika ialah pada 28 November lalu. Selain itu sebanyak 90,000 dokumen rahsia mengenai peperangan di Afghanistan juga diedahkan. Kebanyakan rahsia itu adalah dokumen komunikasi perhubungan Amerika dengan 274 kedutaannnya dan konsul jeneralnya di seluruh dunia.

Yang anihnya bagaimana Wikileaks sebuah badan persendirian memperolehi segala maklumat itu?

Secara logiknya segala maklumat sulit itu tidak akan tercicir keluar kalau bukan orang dalam sendiri yang memberinya. Ini bermakna rakyat Amerika termasuk di Pentagon sendiri sudah beluk dengan Amerika.

Kita di Malaysia juga syok dengan peranaan diaminkan Wikileaks ini. Kita dapat mengetahui segala maklumat yang selama ini tersimpan atau pun dibunguks dan diperutkan di Pentagon sahaja. Hari ini dengan kerjasama orang dalam, satu persatu rahsia sulit itu didedah dan diselekkan menjadikan tembelang Amerika semakin membusuk.

Bagaimana dalam keseronokan membaca pendedahan jahat Amerika terutamanya mengenai jenayah perang, kita perlu ingat - apa lagi para bangasawan politik, Wikileaks bukan saja musuh Amrika Syarikat, tetapi ia merupakan agen kepada semua orang, baik orang jahat atau orang baik. Wikileaks mungkin permulaannya akan menumpukan kepada kes-kes di Amerika saja. Tetapi lama kelamaan ia akan merebak dan mengalir di seluruh dunia, apa lagi kalau nawaitu tuanpunya bertukar tujuan untuk mencari keuntungan besar dan bukan lagi memperjuangkan keadilan sejagat.

Apabila badan itu memerlukan kewangan untuk membiayai kos penerbitan dan kakitangan ia akan mula menjana wang. Kerja yang mulanya secara berseronok di sudut rumah itu lama kelamaan ia akan bertukar menjadi kerja untuk mendapat wang. Hobby Julian Assange itu boleh bertukar untuk menjadi orang terkaya di dunia dengan mengenakan bayaran atau fee kepada setiap maklumat yang akan didedahnya. Ia boleh jadi dengan menjadikan Wikileaks sebagai bank maklumat rahsia dunia.

Sebagai bank Wikilleaks akan menyediakan urus niaga pembeli dan penjual maklumat untuk kegunaan dunia.

Kalau itu terjadi... Malaysia terutamanya orang politik Malaysia juga harus bersedia menghadapi tentangan dan pukulan Wikileaks itu. Mereka yang merasakan diri mereka ada tersangkut dengan apa-apa skandal atau jenayah awam yang masih tersembunyi bersiap sedialah. Mungkin pendedahan penglibatan anda itu sedang menunggu giliran untuk diledakkan.

Wikileaks akan menyiarkan mengikut prioriti yang ada kepadanya atau mengikut berapa banyak pihaknya menerima bayaran (fee) atau sejauh mana dia bersimpati dengan seseorang. Ia boleh diperalatkan kerana ianya adalah perkakas penyedia maklumat dunia dan satu urusniaga baru. Salah satu isu atau rahsia yang berpotensi dari negara ini untuk didedahkan oleh Wikileaks ialah mengenai pembunuhan misteri seorang hawa Mongolia beranak satu, Altantuya Shariibbu. Jenayah dan tragedi ini menjadi sebutan di seluruh dunia. Walaupun sudah ada orang terhukum dipercayai melakukannya tetapi motif pembunuhan terkejam di negara ini itu belum tersingkap lagi.

Makanya semua orang di Malaysia terutamanya ahli politik harus bersiap sedia menerima serangan Wikileaks. Jangan hanya menanti untuk melihat Amerika atau negara lain menjadi mangsa laman itu, sebaliknya cuba bayangkan juga Malaysia akan ikut jadi mangsa sama. Kalau tidak negara pun, tetapi mungkin ada individu atau ahli ternama tertentu yang akan digigit oleh Wikileaks. Masa paling sesuai kalau Wikileaks hendak memalukan individu tertentu dan Malaysia ialah menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak. Rasa-ranyalah...[wm.kl.8:15 am 04/12/10]
Post a Comment