Thursday, December 9, 2010

Catatan Lewat

Sastera Dan Budaya Kita Tercemar

MALAM kelmarin saya bersama 'orang baru' Sabree Shafii, Dr Wan Suhaimi dan dua rakan yang juga penyokong setia Sabree menghadiri majlis himpunan Seniman dan Budayawan dengan Sasterawan Negara di perkarangan Madrasah Tarbiah Kampung Bandar Dalam Gombak. Majlis itu sempena ulang tahun ke 150 tujuh buah kampung tradisi yang kini nasibnya tak ubah nyawa di hujung pedang kerana bakal menjadi korban urbanisasi Kuala Lumpur.

Sempena dengan majlis itu berbagai program diadakan. Sebelah pagi pertandingan melukis, manakala malam bacaan puisi dan nyanyian lagu-lagu puisi. Ulang tahun itu bagi menyemarakan semangat penduduk kampung tradisi berkenaan, agar tidak mudah mengaku kalah dan menyerah diri kepada kerakusan pembangunan Kuala Lumpur.

Manakala penglibatan budayawan dan sasterawan yang bergagung dalam Paksi pimpinan Dinsman adalah untuk membantu menyuntik semangat agar penduduk kampung itu tidak mengaku kalah dan terus mempertahankan kampung tempat terkafanya tembuni mereka. Sebagai memberi kesan langsung sebuah antologi sajak (booklet) diterbitkan yang ditulis oleh 59 orang.

Saya ikut sama menulis puisi apabila penyelanggaranya Pyan Habib, SMS meminta puisi untuk diantologikan. Walaupun saya menolak kerana ketiadaan masa dan puisi ready made disuruh juga saya mendipta puisi spontan. "Buatlah, macam ucapan pun tak apa yang penting bagi semangat kepada kampung itu," begitu tulis Pyan.

Dalam masa setengah hari disiapkan puisi yang berjudul "Kesian orang kampung itu".

Saya merasa bangga atas usaha budayawan yang memberi simpati mendalam kepada penduduk kampung berkenaan. Peranaan mereka besar ertinya. Walaupun mereka hanya boleh melawan dengan kata-kata, tetapi ia cukup diterima kasih oleh penduduk kampung yang kian terhimpit dan terkepit itu. Setidak-tidak budayawan bebas, lebih baik dan prihatin dari budayawan merdeka yang berbayar atau para penyair yang bernaung di bawah Gepena ataupun Pena.

Mereka walaupun juga golongan seni tetapi hanya sanggup menyair di hotel ataupun dibawah pokok yang terus memuji bulan, pantau dan ombak tanpa menyuluh ke dalam nasib marhaen. Mereka itu juga mengajurkan majlis bacaan puisi dan persidangan budaya dalam kamar dingin dengan dibayar. Dalam kata mudah mereka berbudaya dan bersastera secara selamat dan bukan menjadi 'ambiguiti' kepada rakyat.

Kenapa terjadi demikian? Naluri kepenyairan sudah hilang. Penyair selalu menyairkan nasib orang malang, merawat kesediahaan dan bukan mngangkat orang yang hidup mewah dan memuji para antogonis. Biarlah daif para perjuangan Paksi tetapi mereka istiqamah membela rakyat dan menentang kezaliman. Daif tidak daif antologi yang diterbitkan itupun kos cetakkannya masih berhutang. Mereka berjuang dengan keringat bukannya dengan RM.

Melibat wujudnya dua jenis budayawan ini menjadi saya tertanya sendiri. Orang seni selalunya memiliki daya seni dan pengertian yang tinggi dan murni. Tetapi kenapa dalam hal ini ada dua jenis budayawan? Apakah ini dinamakan sasterawan absud? Ataupun penyair al sook?

Alangkah baiknya kalau dua kelompok budayawan dan sasterawan itu bersatu untuk membela rakyat. Mereka kena kembali kepada keasalan penyair dan budayawan itu sendiri yang berjuang tanpa ada kepentingan diri dan mereka suci hati untuk rakyat. Saya rasa tidak wajar kalau mereka terbentuk mengikut ego dan keganasan politik. Tampaknya sudah ada tanda-tanda sastera dan budaya kita ingin diklonkan dengan politik duniawi. Entahlah... sakit punggung! [wm.kl. 8:00 pm 08/12/10]
Post a Comment