Friday, December 17, 2010

Ulasan Peristiwa

MP BN & PR Perlu Sihat?

BANYAK juga gelagat dan aksi wakil rakyat Pakatan Rakyat yang saya tidak suka semasa berlangsungnya perbahasan di Parlimen. Setengahnya bercakap merapu tanpa ada fakta dan figure. Kadang kala ada yang bangun saja nak tunjuk body yang mereka hadir. Ketawa dan sengeh gigi kemudian duduk.

Penglibatan mereka dalam sesuatu perbahasan tidak membawa natijah baik untuk rakyat dan negara. Banyaknya saya tengok cuba membela parti masing-masing. Dan lagak macam ceramah di hujung bendang masih belum dapat ditinggalkan. Mereka ini terlupa dan tidak dapat membezakan Parlimen dengan pentas ceramah. Tidak tahulah kalau perlu diadakan satu penataan khas untuk mereka bagi membezakan pentas politik dengan Parlimen.

Kejadian sindir menyindir kononnya untuk menhilangkan mengatuk selalu dan kerap berlaku. Kadang setiap orang bangun kalau nak mula cakap akan sindir orang itu dan orang ini. Budaya Melayu kuat menyindir ini masih terbawa ke dalam dewan. Ini sepatutnya tidak berlaku dalam dewan. Sejajar dengan kedudukannya sebagai dewan tertinggi dan beroutoriti hendaklah dijaga standardnya. Tetapi tidak begitu nampaknya.

Memanglah ada juga yang perangai macam kera di belah UBN, terutamanya Umno. Mereka ini dua kali lima sahaja. Tetapi mereka tidak perlu diperdulikan kerana memang sifat mereka begitu. Tunjuk lagak dan tunjuk kuasa. Malahan perangai mereka lebih buruk. Orang berkuasa memang besar kepala walaupun kuasanya sudah jadi sebesar melukut di hujung gantang.

Tetapi kerana Pakatan Rakyat, masih jadi pembangkang, kena cerdik dan berbeza sedikit dengan UBN. Kerana mereka perlu pamerkan perangai yang baik, ada idea yang canggih...untuk menarik perhatian rakyat. Pembangkang sepatutnya cool dan tunjukkan mereka pemimpin terbaik, tidak emosional dan tidak terlalu banyak mempolitikkan keadaan. Jangan jaja dan jual parti dalam Parlimen, buat di luar.

Kalau pihak pembangkang juga dua kali lima dengan BN macam mana rakyat nak tertarik dengan pembangkang. Apa yang patut wakil rakyat Pakatan Rakyat lalukan hanya mengemukakan teguran, kritikan yang konstruktif, jangan peduli kepada ejekan. Kemukakan fakta-fakta yang benar, dedahkan penyelewengan yang benar dan jangan pakai ilusi saja.Bercakap biarlah berfakta dan ada statistik.

Saya yakin kalau wakik rakyat Pakatan dapat memainkan ini, berperanan sebagai check and balance di dalam Parlimen mereka akan dikagumi dan dihormati lebih dari wakil rakyat atau pihak kerajaan sendiri. Jika ini dapat dikekal bila berlaku pilihan raya nanti rakyat akan memilih mereka.

Bagaimana pun apa yang berlaku Khamis lalu penggantung empat orang MP Pakatan dan juga Anwar sesuatu yang tidak patut walaupun patut. Dewan wajar gantung Anwar kalau Anwar benar-benar melakukan kesalahan. Dewan atau speaker ada hak dan kuasa untuk bertindak demikian. Tetapi janganlah pula kuasa speaker itu digunakan sewenang-wenagnaya sehingga nampak berat sebelah atau pilih kasih.

Cara Speaker bertindak itu agak keterlaluan dan katak pun tahu akan kemelampauan tindakan itu. Pandikar Amin sepatutnya lebih menghormati kepada kerusi speaker kepada orang yang mencadangkan beliau berada di kerusi berkenaan. Sesungguhnya kerusi kayu yang diduduki oleh Pendikar itu lebih mulia dari pihak yang mencadangkan beliau mencakung di ata skerusi itu.

Di sebelah Pakatan Rakyat pula harus bijak dalam mempertahankan hujah atau melontar sesuatu kritikan, jangan sampai diri dikenakan tindakan. Mereka harus bersikap 'padan patut' dan bijaksana kerana bila dikenakan tindakan suara akan hilang di dewan untuk tempoh digantung.

Kalau apa yang berlaku di dewan Khamis lalu baik dari kedua pihak bertujuan politik sepenuhnya ia tidak baik. Ia sudah silap. Kedua pihak BN dan PR tidak cuba berfikir waras dan mengembalikan dewan ke fungsi yang sebenarnya. Maka tindakan penggantungan itu pada saya tidak memberi untung besar kepada kedua-dua pihak. BN tidak akan untung kerana ia dilihat sebagai zalim dan pengecut.

Manakala bagi Pakatan pula ia dilihat satu tindakan tidak profesional dan menyebabkan orang akan mengatakan wakil rakyat Pakatan lebih sama saja dengan Umno. Jadi kalau situasi dan kondisi ini berterusan menyebabkan pengundi terutamanya yang berpendidikan sukar untuk menilai moral siapa yang baik di antara dua kumpulan itu. [wm.kl. 10:00 pm 17/12/10]

1 comment:

zeme said...

Salam Tuan Hj MSO,

Saya sependapat dan setuju dengan ulasan Tuan Hj. Jelas sikap dan gelagat yang ditunjukkan oleh wakil rakyat masa kini di Dewan Rakyat yang mulia adalah kerana terbawa-bawa semangat berpolitik secara melampau yang tidak bertempat dan kena cara.

Seharusnya ahli-ahli YB ini perlu berfikir menggunakan akal bahawa Dewan Rakyat adalah tempat perbahasan untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya tempat untuk mencari masalah dan menunjukkan sikap tidak professional. Dewan Rakyat adalah bukan pentas untuk ahli politik tetapi ia adalah pentas rakyat jelata, pentas dan tempat yang ahli-ahli YB ini harus ingat mereka mewakili rakyat. Jika telatah ahli-ahli YB umpama kera sumbang, lagak monyet melompat-melompat adalah molek mereka-mereka ini dipilih oleh rakyat untuk dihantar berbahas di Dewan Zoo Negara. Sekiranya ahli-ahli YB ini sendiri tidak menunjukkan contoh menghormati Dewan Rakyat dan perlembagaan bagaimana mereka hendak rakyat turut menghormatinya?

Inilah masalah ahli-ahli YB masa kini, terlalu kuat berpolitik sehingga permasalahan rakyat pun tidak terbela. Jangan katakan hendak laksanakan kerja dan amanah rakyat, hendak lontarkan idea bernas juga tidak mampu. Jadi untuk apa ahli-ahli YB ini duduk di kerusi parlimen? Sekadar makan elaun buta?

Wasalam.