Wednesday, December 15, 2010

Susupan Pagi

Ceramah Dalam Pagar Wayang Kulit

MALAM tadi walaupun dengan bertongkat saya pergi juga ke tapak pasar malam di Taman Melati untuk lihat dan dengar ceramah Pakatan Rakyat. Ceramah malam tadi adalah permulaan kepada siri penjelajahan Malaya oleh para pemimpin PR terutamanya Anwar Ibrahim. Nampaknya Anwar mempunyai masa banyak untuk pusing Malaysia selepas ini apabila parlimen menggantungkannya selama enam bulan yang akan diputuskan esok.

Itulah hikmat di sebalik penggantungan itu. Jelajah yang bermula malam tadi juga akan berakhir sehingga rapat piliahn raya umum ke 13. Banyak pihak menduga pilihan raya umum akan diadakan tahun depan. Ini berdasarkan kepada beberapa petanda jelas. Umno sendiri menangguhkan perhimpunan (pemilihan) selama 18 bulan. Manakala MCA dan DAP juga bebuat demikian.

Pas yang akan memilih pemimpin pada muktamar tahun depan juga dijangka atau lebih baik tangguhkan saja. Tetapi selalunya Pas yang terkenal dengan parti yang berdisiplin tinggi dan mempunyai ukhwah yang kental tidak akan peka dengan keadaan semasa seperti pilihan raya itu. Pas tidak perlu mengelak atau menangguhkan urusan pemilihan pemimpinnya. Selamanya Pas perlu menjadi contoh dan model.

Berbalik ke ceramah malam tadi, sesampai di taman Melati saya bersama Dr Wan Suhaimi dan Sdr Sobree (orang baru Pakatan Rakyat) tercari-cari di mana lokasi ceramah. Selepas bertanya orang dan melihat bendera parti, baru menyedari ceramah diadakan di bawah khemah yang berpagar dengan plastik berwarna biru. Begitu melihat lokasi itu teringat saya dizaman budak-budak, tempat dan keadaan sebegitu (berlikung dengan plastik) tidak ubah seperti tempat bermain wayang kulit atau dikir barat.

Kawasan wayang kulit dan dikir barat dilikung (lingkung) untuk mengelakkan orang melihatnya. Sesiapa yang hendak melihat dan dengarnya, kena ambil tikit.

Kata pengerusi majlis ceramah Pakatan malam tadi, kawasan itu terpaksa dibuat di bawah khemah yang berpagar. Ianya atas arahan polis. Bukan itu saja, masa juga dihad sehingga jam 10:30 malam sahaja. Kalau tidak ikut arahan, ceramah mungkin tidak boleh diadakan. Itu pun pengerusi berkali-kali merayu orang ramai agar memenuhi khemah dan tidak berdiri di luar bagi mengelak tindakan polis.

Selepas dijelaskan itu barulah saya faham kenapa kawasan itu berpagar seperti tempat main wayang kulit atau joget rambung. Rupanya atas kehendak polis. Apakah alasan dan hujah polis sukar difahami kenapa ceramah Pakatan itu kena pagar. Apakah ianya bagi mengelak orang ramai mendengarnya, ataupun hendak menyusah orang ramai. Atau pun polis sengaja dibuat begitu untuk mengenangkan nostalgianya di zaman kecil tengok wayang kulit.

Kalau itulah alasannya, alasan itu tidak berhasil. Walaupun dilingkung orang ramai tetap juga hadir. Di dalam tabir saya lihat penuh dengan manusia yang duduk dilantai. Mereka tidak menghiraukan keadaan selesa atau tidak. Apa yang penting dapat mengikuti dan dengar ceramah pemimpin kesayangan mereka.

Di luar pagar tidak payah ceritalah. Ada yang mengobek (menyelak) pagar untuk melihat apa yang berlaku di dalam dan ada yang duduk mencangkung atas longkang. Dan ketika ceramah sudah dihentikan jam 10:30 malam seperti mana diarahkan, orang ramai masih berduyun-duyun menuju ke tapak pasar malam itu.

Ceramah malam tadi dikira berjaya. Walaupun dalam keadaan kurang selesa, dikawal rapi oleh polis namun orang ramai tetap juga memberanikan diri untuk hadir. Dalam perkiraan saya, semua yang hadir malam tadi bolehlah dikatakan 100 peratus penyokong Pakatan Rakyat. Mereka datang bukan sangat hendak mendengar penjelasan tetapi menyatakan sokongan mereka menunjukkan iltzam mereka kepada Pakatan Rakyat.

Kalau tidak salah padang hanya seorang sahaja orang Umno yang ada malam tadi. Melilau-lilau masam musang. Itu pun sebelum ini orang ini pernah berada dalam parti Keadilan. Mungkin orang ini datang untuk memerhati dan membuat laporan kepada ibu pejabat Umno kononnya ceramah Anwar sudah tidak ada sambutan. Biasalah kerja pencari upah untuk anak dan isteri.

Kesimpulannya sekatan dan arah baru polis itu tidak banyak membantu UBN. Sebaliknya kalau pihak pengajur bijak mereka akan dapat punggut wang bila setiap kali diadakan ceramah Pakatan Rakyat kenakan tikit. Kalau nak tengok wayang kulit boleh dikenakan tikit, kenapa tidak dengan ceramah. Daripada lingkung saja tanpa ada hasil, baik kutip tikit dapat juga wangnya digunakan untuk jentera pilihan raya.

Demikianlah nasik demokrasi negara kita ianya lebih kurang demokrasi wang kulit dan dikir barat saja terpaksa dimainkan secara sembunyi-sembunyi. [wm.kl.9:10 am 15/12/10]
Post a Comment