Ceritera Sebuah Pertemuan Dengan Orang Lama
SEWAKTU pulang ke Kelantan sempena expo Cheng Ho: Perdagangan dan Perdamaian, baru-baru ini saya sempat mengunjungi dua orang tokoh veteran Pas. Sudah lama saya berhajat untuk menemui mereka. Tetapi kerana hidup selalu dikejar masa dan mengajar masa, menyebabkan hasrat itu tertangguh beberapa kali.
Tetapi kali ini saya tekad untuk menemui mereka berdua. Saya akan mencuri masa selama berada di KB hari itu. Lama benar tidak menemui mereka. Terasa bersalah pula. Dulu masa mudah (remaja) saya sering ke rumah mereka. Menadah telinga mendengar cerita politik dari mereka. Walaupun usia saya dengan mereka bezanya seperti anak dengan bapak, tetapi itulah saya, suka berkwan dengan orang yang lebih tua dari saya. (Sebab itu saya kelihatan lebih tua dari usia!)
Bagi saya kesempatan berkawan dengan mereka atau orang lebih dewasa dari saya itulah satu tuah dan peluang berharga, kerana dapat mengetahui denyut nadi politik Kelantan sejak berdekad lalu.
Semuanya kerana dibawa oleh abang, yang pada saya abang saya itu begitu menggilai politik. Kebetulan pula dia mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin atasan Pas baik di Kelantan maupun di peringkat kebangsaan. Selain daripada membuntutinya ke mana saja, saya juga sering bersama bersama Pak Da Mejah (Hamzah Awang Hamat) (Allahyarham) tokoh Pas Gual Periok yang tidak ada tolak bandingnya. Al Fatihah untuknya.
Beliau ini boleh dianggap sebagai penjaga dan pengawal rumah pemimpin Pas semasa Kelantan didaruratkan. Beliau juga dijadikan pengawal politik kerana dilihat sebagai 'gedebe' ataupun dimalui oleh pihak lawan. Kegedebelan Pak Da ini disahkan sendiri oleh tokoh Pas berkenaan. Sikit melucukan saya, kenapa ia dianggap 'gedebe' sedang dengan burung hantu pun dia gementar!
Hari itu saya bernasib baik kerana abang Ya, (Zakaria) rakan abang yang kemudian menjadi rakan saya sampai kini mengaturkan pertemuan dengan kedua tokoh veteran itu. Mulanya pertemuan ditetapkan awal pagi. Tetapi kerana saya ingin menghadiri majlis penutup expo oleh Tok Guru Nik Aziz (sebenarnya hendak jumpa dengannya bagi menghidu wap stanggi Makkah kerana beliau baru balik haji) pertemuan itu terpaksa ditangguh di sebelah petang.
Selepas Asar saya bertemankan dua rakan sdr Md Radzi Mustapa dan abang Ki (Zaki Abdul Rahman) sampai di rumah tokoh veteran itu. Ternyata beliau sudah menunggu. Begitu dia tersembur di muka pintunya tokoh itu seperti masa lalu, terus mempersilakan kami masuk penuh ramah mesra.
"Ti enta .. apa khabar, lama tak jumpa?" tanya beliau kepada saya. Saya terharu kerana sesudah begitu lama tidak berjumpa beliau masih mengenal dan mengingati wajah saya.
"Saya sihat. Utaz apakah khabar? Nampak masih gagah!," balas pula saya, sambil memperkenalkan kedua rakan saya itu dan disambutnya penuh mesra.
"Macam nilah orang lama...," balasnya merendah diri sambil ketawa berdekeh-dekah. Wajahnya sudah mula berkedut seribu yang memberi gambaran ribuan pengalaman suka duka politik berlipat dan bersemin bersama wajah itu. Matanya juga sudah kabur dan selalu berair. Namun ingatannya masih kaut dan semangatnya masih gagah. Yang penting perjuangannya masih istiqamah.
Kali terakakhir saya bejumpa dengan ialah sekitar tahun 1982. Manakala kali terakhir ke rumahnya yang terletak di Jalan Yaakubiah, Lundang pada tahun 1978. Ertinya sudah lebih 20 tahun tidak menemuinya. Rumah lama sudah hampir tiada. Rumah kini adalah yang baru dibaiki dan ditambah modenkan sikit. Hampir keseluruhan keaslian rumah itu sudah tiada.
Di rumah lama itulah tempat para pemimpin Pas Kelantan berhimpun dan 'berjemak berkira'. Jika ada perjumapan sulit atau perbincangan strategi, di rumah itulah menjadi markas atau bilik gerakan. Saya masih ingat bila menjelang malam penamaan calon atau pilhan raya kecil, rumah itulah yang menjadi tumpuan dan kunjungan ramai terutamnya para broker politik untuk melobi calon masing-masing.
Pendeknya semua orang akan datang bermalam ataupun berjelemun di situ. Rumah itu bukan saja menjadi bilik gerakan tetapi dalam masa sama bertindak sebagai hostel. Mana-mana pemimpin dari seluruh negara yang datang 'bersapan' bermusafir di Kota Bharu untuk berceramah kalau tiada tempat tinggal, di rumah itulah dijadikan penginapan transit. Selalunya begitulah di zaman dulu pemimpin tidak glamour tinggal dihotel sebaliknya mereka akan mencari rumah rakan dan perjuang Pas. Sebab itulah keakrabakan pemipin Pas dulu erat dan mesra sekali.
Begitu juga dengan Nik Aziz di zaman mudanya, di awal pembabitkan diri dalam Pas di rumah itulah tempat beliau datang berbincang dan mendengar kuliah politik dari tokoh-tokoh Pas Kelantan. Apa lagi tuan rumah itulah di antara yang bertanggugjawab mengisi borang kemasukan Nik Aziz ke dalam Pas. "Ustaz Nik Aziz dulu selalu ke sini," kata tokoh itu. Dan semasa Tok Guru itu pertama kali bertanding dialah yang menjadi wakil calonnya.
Tokoh ini memang hebat dan beliau merupakan nadi kepada Pas Kelantan di era keagungan Pas sehingga membawa ke zaman kemalapan Pas tahun 1978. Beliau yang saya maskudkan ialah Ustaz Sallahuddin Abdullah,85 bekas Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan dan juga bekas Adun Kota Bharu.
Saya cukup senang berjumpa dengan beliau hari itu. Pertemuan yang singkap itu tidak mampu menyelak semua kisah dan cerita masa lampau. Apa lagi ikut sama serta dalam pertemuan itu ialah Cikgu Hamid, (Abdul Hamid) yang juga bekas Exco Kelantan yang merupakan sahabat dan kawan Sallahuddin sejak dari muda lagi.
Ternyata selaku tokoh veteran yang jarang dijenguki oleh generasi muda, mereka sunyi dan dahaga untuk mendapat maklumat politik dan bertukar-tukar pengalaman. Khazanah politik khasnya politik Pas masih terkandung dalam diri mereka dan ianya sangat wajar diluahkan untuk dijadikan iktibar. Ini dapat saya rasakan bila mana mereka sehinggakan terlupa untuk minum kopi kerana asyik menceritakan kisah mereka dalam politik.
Semua yang mereka ceritakan hari itu adalah penting untuk didengar oleh generasi muda. Apa lagi mengenai suka duka dan mehnaj dalam perjuangan Pas yang senantiasa penuh dengan onak dan durinya. Misalnya bagaimana cikgu Hamid terpaksa menahan batang tubuhnya untuk dijadikan benteng bagi kemenangan Pas, adalah cerita 'melenkolik' politik.
Saya rasa elok kalau generasi muda Pas termasuk mereka yang berada di kerusi kekuasaan kini mengambil manfaat menimba ilmu politik dari mereka. Sementara mereka masih kuat dan boleh menceritakan kisah lampau ambilah peluang. Jangan alpakan mereka dan asing dari mainstream politik. Mungkin ilmu politik mereka sudah out of dated tetapi mengenangi betapa kewajaan hati dan jiwa mereka dalam perjuangan masih boleh diguna pakai dan dijadikan iktibar.
Usah diambil kira mengenai kehilafan tindakan politik mereka sebelum ini. Sallahuddin pada satu masa meninggalkan perjuangan Pas kerana bersama Mohd Asri Muda (Allahyraham). Anggaplan kekhilafan yang tidak disengajakan dan membawa rahmat untuk memperkuatkan Pas juga. Kalau pun tidak mahu mengenangnya selama beliau meninggalkan Pas dan berada dalam Umno seketika, tetapi kenang dan ingatkan jasa beliau sebelum tahun 1982. Bahawa tidak dapat siapa nafikan waktu itu jasa-jasanya sebelum ini cukup banyak. Mungkin kalau boleh dianggap jasa paling besar ialah membawa Nik Aziz menyertai Pas. Jasa ini adalah besar ertinya.
Di hujung pertemuan Ustaz Sallahuddin menghadiahkan saya sebuah buku berjudul: Sejarah PAS Kelantan, Langkah-Langkah Menuju Mardthatillah - 1959 -1978, yang ditulisnya bersama sdr Hydselan Hashim. Buku ini melakar sejarah perjuangan Pas, saat kegemilangan dan kejatuhan Pas tahun 1978, adalah sebuah mutiara politik berharga.
Saya belum membaca lagi buku berwana hijau ini hanya meneguk sinopsisnya sudah dapat merasakan betapa buku itu adalah sumbangan terbesar dari Sallahuddin selama beliau menyertai Pas khasnya dan menyertai siasah amnya.
Umumnya buku itu adalah dokumen Pas sangat berharga dan akurat memandangkan penulisannya adalah berdasarkan maklumat yang dikumpulan oleh beliau selama menjadi Setiasaha Badan Perhubungan Pas yang agak lama.
Tidak salah, tidak berdosa dan tidak rugi kalau buku itu dijadikan teks wajib kepada segenap ahli Pas bagi memahami olengan dan hempasan sebuah bahtera bernama Pas. Untuk membaca buku ini jangan melihat wajah politik Sallahuddin tetapi bacanya jiwa politik beliau sebagai seorang pejuang Melayu Islam di negara ini.
Tahniah kepada Ustaz Sallahuiddion dan cikgu Hamid atas kesudian mengongsikan cerita hari itu. InsyaAllah kita akan sambung dilain kali. Dan pastinya juga yang tidak saya lupakan hidangan ubi kayu sira dan kek gula hangus dibikin oleh isteri baru cikgu Hamid sungguh sedap dan lazat. [wm.kl. 12:30 t/hari 12/12/10]
No comments:
Post a Comment