KANDATI bukan menteri atau pun ketua kepada parti yang dianggotainya namun Tengku Razalegih Hamzah masih menjadi perhatian umum. Pejabatnya yang bergabung dengan kediamannya di Jalan Langgak Golf Ampang tidak pernah lekang dari dikunjungi semua lapisan masyarakat, boleh dikatakan setiap hari 'rumah putih' itu menerima tetamu.
Baik kalangan usahawan, ahli politik maupun mahasiswa, semuanya datang untuk mendapat khidmat nasihat dan tunjuk ajar atau bertukar-tukaran fikiran mengenai isu semasa dalam pelbagai aspek kehidupan. Pengalaman yang dipikulnya sebagai bekas anggota kabinet, bekas Menteri Kewangan (terlama) dan juga bekas pimpinan tertinggi Umno sangat berguna untuk diambil iktibar.
Pengalaman khasnya mengenai ekonomi yang dimilikinya tidak ternilai kalau hendak dibayar. Apa lagi jika dicampur dengan cara dan stail beliau berpolitik yang tidak pernah tahu menyakiti hati teman atau musuh secara keterlaluan, beliau juga tidak terikut-ikut dengan politik wang untuk mendapatkan kuasa. Gabungan dua elemen itu menjadikan beliau adalah seorang Negarawan ampuh.
Beliau pula tidak pernah loket untuk menemui sesiapa saja. Beliau akan memberi kesempatan seberapa yang boleh. Datanglah bila-bila masa dan apa tujuannya akan disambut dengan ramah dan penuh mesra. Perbezaan pangkat dan darjat tidak menjadi persoalan dan beliau tidak kekok untuk tidak 'bersemayam' di mana saja demi rakyat.
Keramahan itu menyebabkan kita akan terkejut dan merasakan kontra dengan latar belakang dirinya dan keluarganya dari keturunan ningrat. Beliau tidak pernah merasakan dirinya berada di atas tetapi senantiasa memikirkan untuk kesejahtraan rakyat.
Kelmarin untuk kesekian kalinya beliau dikunjungi, kali ini oleh serombongan seramai 15 orang mahasiwa terdiri dari kepimpinan pelajar dari beberapa universiti tempatan. Kunjungan itu tidak lain dan tidak bukan dibuat atas rasa hormat dan kagum kepada Tengku Razaleigh sebagai seorang ahli politik yang konsisten dengan pegangan dan idealismenya yang berpaksikan kepada Melayu Islam.
Beberapa majlis perwakilan mahasiswa diketuai sendiri oleh Yang Dipertua masing-masing. Antaranya Perwakilan Mahasiswa (MPM), Universti Malaysia diwakili oleh Yang Dipertuanya, Mohd Syahid, MPM Unversiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Iqbal, di mana mereka disertai sama beberapa orang pemimpin.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Presiden Mahasiswa Kelantan UM, Che Rozaihan dan pimpinnya. Turut sama ialah pensyarah politik di sebuah kolej komuniti bersama pelajarnya, serta Yusri Maimun bekas pemimpin mahasiswa UIAM yang juga selaku moderator pertemuan itu.
Dalam pertemuan selama hampir dua jam dan berjalan penuh mesra itu, Tengku Razaleigh memberi beberapa pandangan khasnya untuk dijadikan panduan kepada rombonagn itu serta menjawab beberapa persoalan dibangkitkan ahli rombongan termasuk mengenai isu Bajet 2011 dan juga mengenai harapan Umno untuk merampas Kelantan.
Tentang Bajet, Tengku Razaleigh menyatakan kehairananya macam mana Najib Razak membuat banyak pengumuman untuk membantu rakyat tetapi keupayaan kewangan negara berdasarkan unjuran tidak berkemampuan.
Tentang harapan Umno Kelantan, beliau optimis Umno tidak akan berjaya untuk merampas Kelantan berdasarkan keadaan semasa. Dalam konteks Kelantan katanya pemimpin tidak cuba untuk membela rakyat Kelantan dengan memenuhi kehendaknya sebaliknya lebih untuk 'membuncitkan' perut sendiri.
Tengku Razaleigh juga terus mengulangi pendiriannya mengenai pembayaran royalti minyak (Petronas) untuk rakyat Kelantan. Katanya royalti itu adalah hak rakyat Kelantan dan ia tidak perlu ditahan, kerana perbuatan itu sebagai menganiaya dan menafi hak rakyat Kelantan.
"Saya sedia menjadi saksi dalam kes royalti minyak itu yang kini dibawa ke mahkamah," ujarnya.
Di akhir pertemuan itu beliau menyatakan gembira kerana menerima kunjungan anak muda (mahasiswa) untuk bertukar-tukar fikiran. "Banyak yang saya dapat dari pertemuan ini dan diharap ianya akan berterusan," katanya.
Ingatan penting Tengku Razaleigh kepada rombongan itu ialah mengharap anak muda menggunakan ilmu mereka menilai sesuatu dan bukan menerima secara sambrono apa yang dihadapakan. "Intelektual kita sangat penting untuk menilai sesuatu, dan apa juga keadaan kita perlu menggunakan intelektual kita untuk menerima atau menolak sesuatu," begitulah ujarnya. [wm.kl. 5:00 pm 19/10/11]
No comments:
Post a Comment