Sunday, October 9, 2011

Berita Dukacita

Pengarah Pilihanraya PKR Kelantan Kembali Ke Rahmatullah

BARU sekejap tadi saya menerima pemakluman dukacita dari Ketua Cabang PKR Pasir Mas, Dr Wan Suhaimi Wan Daud yang memberi tahu Pengarah Pilihanraya PKR Kelantan Wan Ibrahim Wan Abdullah (foto) telah meninggal dunia akibat serangan jantung jam 5:00 petang tadi. Serangan itu berlaku ketika Allayarham sedang memandu kereta.

Wan Ibrahim baru dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya PKR untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Allahyarham juga diberi tanggungjawab menyusun strategi PKR untuk menghadapi pilihan raya termasuk berunding menentukan kerusi bersama Pas.

Sebelum ini Wan Ibrahim merupakan seorang tokoh Pas di zaman Mohd Asri Muda yang merupakan seorang pejuang yang gigih dan setia kepada pemimpin.

Semasa berjuang dalam Pas Allahyarham beberapa kali telah dikenakan tindakan tukar ke luar Kelantan namun tindakan itu tidak pernah mengurangkan sokongannya kepada Pas.

Dalam pilihan raya umum tahun 1982 beliau diletakkan bertanding oleh Pas dikerusi parlimen Pasir Mas dan menenangi kerusi tersebut mengalahkan Abdul Rahman Daud dari BN dengan majoriti 964. Allahyarham mendapat 14,574 manakala Abdul Rahman mendapat 13,610.

Sewaktu berlaku krisis kepimpinan dalam Pas yang membawa kepada Asri keluar Pas menubuh Parti Hizbul Muslim (Hamim) Wan Ibrahim ikut bersama Asri. Kesetiaanya bersama Asri bagaimana pun tidak membawa kepada penyertaannya ke dalam Umno.

Ekoran targedi pemcatan Anwar Ibrahim dari Umno tahun 1998 Wan Ibrahim berjinak dengan perjuangan reformasi yang dipelopori Anwar dan akhirnya menyertai Parti Keadilan. Minat dan semangat juangnya menyebabkan beliau sering kelihatan pada majlis-majlis besar anjuran PKR atau pun sewaktu berlangsung pilihan raya kecil membabitkan PKR atau Pakatan Rakyat.

Semasa pilihan raya kecil Dun Tenang Johor lalu beliau turut sama hadir untuk membantu calon Pas Cikgu Mala. Kalau tidak salah kali terakhir saya menemui beliau ialah semasa Kongres Nasional PKR pertengah tahun lalu di MPPJ Petaling Jaya.

Sewaktu para pemimpin PKR menanti ketibaan Anwar Ibrahim di lapangan terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa pada petang Khamis lalu saya tertanya-tanya beliau apabila tidak kelihatan. Selalunya beliau akan hadir untuk menyambut ketibaan Anwar dan tidak pernah terlepas untuk berbual dengan saya dan mengulas isu-isu semasa politik.

Malangnya pertanyaan itu tidak dijawab oleh sesiapa. Ketidakhadirannya pada petang itu seolah-olah sudah menandakan beliau akan pergi selama-lama meninggalkan tugas dan tanggungjawab sebagai pengarah pilihan raya yang belum selesai.

Secara peribadi saya mengenali Wan Ibrahim, yang dimesrai dengan panggil cikgu sejak tahun 1978 lagi. Beliau seorang yang mudah diajak berbual dan menghormati sesiapa saja disamping suka bergurau. Wataknya yang mudah tersenyum menyebabkan beliau mesra dengan sesiapa saja. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama roh para kekasih Allah. Al Fatihah. [wm.kl.7:42 am 09/10/11]
Post a Comment