Betulkah Annuar Jadi Pengarah Pilihanraya UBN Kelantan?
TERDENGAR di dua tiga lokasi kononnya Annuar Musa akan dilantik menjadi Pengarah Pilihanraya UBN Kelantan. Semalam di sebuah majlis kenduri di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur ada orang memberi tahu yang MT telah bersetuju melantik Annuar sebagai pengarah. Kata si pemberi tahu itu hanya tunggu diumumkan sahaja.
Dari sumber ibu pejabat Umno Kelantan juga ada menyebut kemungkinan itu. Sumber rapat dengan Mustapa Mohamed juga ada terdengar desas desus demikian. Benarkah?
Annuar yang kini sudah terpelanting dalam arus politik Kelantan dan cuba bangun menerusi bola sepak tentu gembira dengan desas desus itu. Tidak mustahil juga beliau sedang berusaha mencetak namanya untuk memasuki semula inner cicrle politik Kelantan. Atau beliau sendiri telah menghantar pelobi menemui Najib untuk jawatan itu.
Annuar orang yang tidak mudah tewas dan mengaku kalah dalam politik. Dia licit macam belut dan anjal macam gamat laut, walaupun badan sudah putus tiga tetapi kalau dicampak ke laut ia boleh bercantum balik. Annuar mempunyai ilmu ampuh dan bijak mencari helah untuk keluar dari simpulan politik. Sudah acap kali dia terlepas... menjadikan orang lain yang terkena nagkal walaupun dia yang mencuri.
Bola sepak adalah ruang untuk beliau memulihkan imejnya. Membina semula reputasi dan menebus kemaluan demi kemaluan. Ternyata usaha itu berjaya. Kemenangan skuad gedebe merah Kelantan telah menaikkan namanya. Kemenangan itu memberi ruang Annuar untuk turun ke padang semula dengan mengarakkan piala Malaysia ke segenap kampung dan pelusuk di Kelantan.
Ada juga rakyat Kelantan yang belum tenguk dan jamah piala itu mengkagumi Annuar. Meletakkan kejayaan itu hasil usaha Annuar secara personal sehingga lupa kemenangan itu adalah hasil kerjasama dan persepakatan pemain dan juga rakyat Kelantan serta kerajaan negeri seluruhnya tanpa mengira ideologi politik.
Gelombang merah telah digunakan Annuar untuk menyakinkan orang Kuala Lumpur, bahawa dia mampu melalukan kejutan. Orang Kuala Lumpur juga ada yang menerimanya. Menerima secara pakej kejayaan Annuar itu silap, kerana mengurus bola sepak tidak sama dengan politik. Menjadi seorang pengurus mungkin Annuar ada bakat tetapi menjadi politician dia sudah banyak kali gagal.
Penglibatan beliau dalam bola sepak sehingga berjaya mencacakkan nama Kelantan jelas demi kepentingan peribadi dan wang. Kenapa dikatakan begitu, kerana Annuar tidak berjaya mengemilangkan nama di dalam Kada sehebat dalam bola. Sebabnya... Kada tidak memberi keuntungan banyak kepadanya. Annuar adalah pengerusi Lembaga Pertanian Kemubu (Kada).
Orang ramai mulai merasa seronok dengan apa yang dilakukan Annuar. Annuar sendiri katanya mendakwa dia ada penyokong gedebe merah seramai 200,000 yang kononnya akan mengubah landskap politik Kelantan. Para penyokong itu yang selalu dijinakkan menerusi program tertentu akan digunakan sebagai saldadu upahan untuk menyokong Umno.
Mulanya saya fikir begitu. Para penyokong bola sepak akan disihirkan oleh Annuar untuk menyokong Umno. Mereka akan digula-gulakan dengan kemenangan demi kemenangan. Tetapi apabila bercakap dengan kawan baik Annuar, Mohamad Alwi Hj Che Ahmad, (jangan panggil Hj Lu V, sebab dia marah) tanggapan saya itu salah. Kata Mohamad Alwi, itu adalah ilusi Annuar sahaja. "Demo tenguk dalam stadium, 10 yang membawa masuk bendera adalah bendera Pas, bendera Umno hanya satu sahaja...," begitu ujar Mohamad Alwi kepada saya suatu hari.
Juga hujah Alwi, penyokong bola sepak akan menyokong bola sahaja, mereka tidak akan menyokong Umno. "Kalau Pas tetap Pas sampai ke bila," kata Mohamad Alwi. Jadi kalau Annuar merasakan penyokong gedebe merah itu sebagai penyokongnya itu satu assement yang silap. Saya juga hairan apabila Mohammad Alwi berkata demikian, apakah dia juga merupakan seorang penyokong gedebe merah yang sudah mulai tidak sokong kawan baiknya itu?
Saya mulai percaya kata-kata Mohamad Alwi itu. Apabila saya bercakap dengan beberapa penyokong pasukan bola Kelantan mereka tidak mudah terpengaruh dengan bola sepak. Kata mereka bola sepak adalah sukan termasuk dalam bab hobi, manakala politik adalah perjuangan. "Saya tidak akan tukar perjuangan dengan hobi.." tegas mereka.
Dengan hakikat itu apakah kelebihan Annuar untuk dilantik menjadi Pengarah? UBN sengaja menepah maut kalau menerima perlantikan Annuar sebagai pengarah. Dan MT yang kononya sudah membuat keputusan itu juga, pasti salah dalam membuat penilaian atau salah menerima maklumat berhubung reputasi Annuar Musa.
Suka tidak suka, dan bagaimana Annuar cuba mengkosmetikkan dirinya dengan bola sepak, tetapi kebusukan aksi dn fiil politiknya di Kelantan sudah diketahui umum. Ke mana sahaja orang pergi orang akan terhidu akan kehamisan lagak politiknya. Orang Kelantan masih belum lupa dan ingat segala tindak tanduknya semasa dia menjadi menteri dulu. Selama lebih 10 tahun menjadi menteri tidak ada sebarang tanda jasa besar Annuar untuk Kelantan melainkan di Ketereh, kawasan diwakilinya.
Annuar semasa zaman gahnya lebih dilihat menteri Kuala Lumpur dari menteri asal Kelantan. Dia seakan tidak mempedulikan langsung kepada Kelantan melainkan memberi habuan dan menjaga bagaikan menatang minyak penuh rakyat di Ketereh sahaja. Al hasilnya aksi begitu tidak juga menjamin kemenangan abdi buatnya. Dalam tahun 2008 Annuar tertiarap makan dedah di tangan anak buahnya sendiri, Aziz Kadir yang dianggap sebagai ayam dogel.
Orang masih ingat bagaimana Annuarlah yang menyekat projek federal untuk Kelantan. Beliaulah yang mencegah kerajaan Pusat daripada memberi bantuan kewangan kepada Kelantan untuk mengatasi masalah air, pembesaran lapangan terbangan Sultan Islam Petra dan kemudahan lain. Begitu juga semasa menjadi pemimpin Umno Kelantan di era Mahathir dulu, Annuar tidak pernah pun ingat kepada Kelantan. Tidak ada kedengaran sekalipun dia membangkitkan isu royalti minyak untuk Kelantan. Kalau pun dibela dan dibela hanya beberapa orang wanita Kelantan saja termasuk janda.
Begitu juga dengan skandal dan isu peribadi yang dibelitkan ke atas dirinya, masih segar dalam ingatan. Penyelewengan wang PPRT bernilai puluhan juta yang dikaitkan dengan dirinya masih tersemen di dalam ingatan. Setengah orang bila terpandang Annuar Musa maka akan terpandanglah helaian ringgit itu melayang-layang jatu atas muka dan di hujung kakinya.
Sejarah dan hikayat itu semua menyebabkan Annuar Musa tidak akan dapat melepaskan dirinya dari sangkaan dan fitnah umum. Kejayaan membawa piala Malaysia ke Kelantan bukan penawar untuk menutup segala sangkaan buruk dan fitnah itu. Apa lagi dalam beberapa kes melibatkan dirinya ada kebenarannya. Keseronokan kerana melihat bola menggolek dan menerawang ke jaring gol tidak akan menyapu ingatan orang ke atas kejahatan dan kesadisan politik yang dilakukannya.
Jadi dari celah mana kalau MT atau Najib sendiri terbuka hati untuk melantik Annuar sebagai pengarah? Apalah Annuar telah membiayai separuh dari harga cincin sernailai RM24 juta? Annuar memang berkebolehan mengurus dan mencatur politik, tetapi perlu diingat politik bukan saja memerlukan seorang yang cemerlang dalam pengurusan dan kreatif dalam menangan isu tetapi politik memerlukan seorang yang mesra alam, bersih, mudah didampingi, bertanggungjawab, tidak membuat kerja kucing kambus tahi dan lebih penting mempunyai komitmen tinggi kepada negerinya sendiri.
Justeru kalau Umno melantik Annuar menjadi pengarah pilihan raya, Pas Kelantan akan mendapat bonus kemenangan awal. Sudah pastinya gambar dan banner majlis pertabalan Tengku Ibrahim Putra di bawah pokok ketapang di Ketereh yang berlaku kira-kira 20 tahun lalu akan muncul kembali. Sesungguhnya gambar itu cukup menikam hati rakyat Kelantan yang diterjemahkan sebagai penderhakaan Annuar kepada istana Kelantan.
Gambar piala Malaysia yang ada dalam simpanan Annuar itu tidak akan mampu untuk melawan gambar dia bersama Tengku Ibrahim Putra di Ketereh itu. Jadi ura-ura melantik Annuar sebagai pengarah pilihan raya tidak lain dan tidak bukan untuk melentangi semua kerja-kerja yang dijalankan oleh Mustapa Mohmed dewasa ini. [wm.kl.10:07 am 30/10/11]
2 comments:
Rasanya Dato Anuar Musa lagi layak dari ahli parlimen Ketereh yang orang kampung tidak pernah kenal pun.tidak pernah turun padang tengok permasalah rakyat.Percaya la, undi rakyat untuk wakil rakyat yang buat kerja..
Nanti masa pilihanraya akan bersepah dengan Banner dari penyokong Dato Anuar Musa..
Kalau bola sepak dapat dijulang ke persada Malaysia, Politik Kelantan dan rakyat Kelantan akan bersatu pada dibawah wakil rakyat yang tahu buat kerja.
Post a Comment