Tanah Gual Jering Dalam Dun Bukit Tuku
Wakil Rakyat Hanya Berjanji
BUAH jering dikala muda enak dan lazat rasanya. Apa lagi kalau dimakan cicah budu dengan ikan kembung bakar tawar. Ia juga tidak banyak mengeluarkan bau. Sebab itu orang boleh bawa buah jering muda dalam booth kereta.
Tetapi buah jering kalau sudah tua baunya kurang menyenangkan. Apa lagi kalau buah jering relung, duduk empat batu baunya sudah menerpak ke lubang hidung. Haringnya boleh menyesakkan nafas.
Usaha untuk melindungi buah jering relong akan sia-sia, sebab baunya akan mencerita hakikat sebenarnya si buah jering.
Mungkin begitu jugalah dengan kedudukan tanah seluas empat ekar di Gual Jering yang kini menjadi misteri macam mana ia tiba-tiba boleh bertukar hak milik dari dirintah oleh dua beradik menjadi milik dua beradik yang lain?
Asalnya tanah itu menjadi milik dua beradik, Halim atau Ripin, 55 dan Ajib bin Yusuf, 52. Mereka mempusaki tanah itu dari orang tuanya. Orang tuanya telah membuka tanah itu sejak tahun 1960-an dengan menanam getah.
Getah yang ditanam itu telah pun memberi hasil dan mereka dua beradik bergilir-gilir menorehnya sebagai sumber rezeki dan pendapatan harian
Mereka menyedari tanah itu adalah tanah kerajaan yang diterokai oleh orang tuanya. Meneroka tanah kerajaan adalah satu kebiasaan bagi mereka yang tidak memiliki tanah di Kelantan. Kerajaan negeri Kelantan tidak ada masalah dengan peneroka tanah kerajaan. Mereka dibenarkan untuk memiliki dengan syarat mesti mematuhi peraturan-peraturan tertentu.
Menurut Ripin dan Ajib pada tahun 1990 mereka telah mengemukakan permohonan kepada pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas ke atas tanah berkenaan memandangkan orang lain yang ikut meneroka tanah itu juga berbuat demikian.
Malangnya semasa mereka memohon tanah itu mereka diberi tahu oleh kakitangan pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, kononnya tanah itu termasuk dalam kawasan projek penanaman kelapa sawit (Felcra).
"Apabila mendapat maklumat itu kami terpaksa membatalkan niat untuk memiliki tanah berkenaan. Kami akur kepada kerajaan tanpa banyak persoalan," cerita Ripin. Tetapi menurutnya setelah beberapa tahun tanah itu tidak diusahakan apa-apa dan ia tidak termasuk dalam kawasan kepala sawit dan tahu-tahu tahun 2002 tanah itu sudah ada pemilik.
Suatu hari mereka diberitahu oleh seseorang mengatakan tanah yang dirintahynya itu sudah menjadi milik orang. Mereka berdua beradik terkejut dan tidak mempercayainya. Hinggalah satu hari ketika Ripin sedang menoreh tiba-tiba datang seseorang memasuki ke tanahnya untuk menanam batu penanda.
"Saya bertanya, siapa yang menyuruh, orang itu tidak menjawab dan meninggalkan kerjanya itu. Selepas itu tidak ada sesiapa lagi yang untuk melakukan penandaan sempadanan tanah berkenaan," ceritanya.
Mereka dua beradik tidak duduk diam dan membuat siasatan di pejabat tanah. Mereka membuat cabutan dan benarlah tanah yang dipuasakai dari orang tua mereka itu sudah menjadi milik orang lain. Dua namanya yang tertera dalam geran sementara itu adalah seorang lelaki dan seorang perempuan yang berbin dan berbinti sama, memungkin mereka juga adalah dua beradik.
Ditanya apa mereka mengenali kedua orang itu katanya dia tidak kenal tetapi orang di pejabat tanah ada memberi tahu salah seorang penama itu bekerja dengan individu berpengaruh. "Saya mengsyaki nama individu itu merupakan orang politik dipergunakan untuk memudahkan proses memiliki tanah itu," katanya.
Ditanya apakah mereka tidak mengadu kepada wakil rakyat kawasan mereka, Haji Abul Fatah bin haji Haron, katanya mereka telah meminta wakil rakyat berkenaan, tetapi tidak membuah apa-apa hasilnya. "Fatah (Abdul Fatah) ada janji akan menyelesaikannya, tetapi sampai hari ini belum nampak apa-apa hasil," tegasnya.
Ada keanehan dalam pemilikan tanah ini kata mereka berdua. Satu hari menurut mereka pernah ingin mengadukan perkara itu kepada Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz, ketika MB itu berkunjung ke satu majlis di Rantau Panjang, malangnya mereka dihalang untuk berjumpa dengan Nik Aziz.
Tindakan itu menjadi persoalan mereka, kenapa halang mereka. Apakah salah untuk mereka bertemu mata dengan Tok Guru dan menceritakan apa yang berlaku? Atau ada perkara-perkara yang pelik dan ganjil di sebalik 'perampasan' tanah mereka itu?
Manakala pada masa lain beliau pernah didatang seseorang yang rapat dengan wakil rakyat Bukit Tuku yang menawarkan wang sebanyak RM10,000 untuk menyelesaikan masalah dihadapinya itu. "Orang itu datang, katanya kita selesai dan menawarkan wang sebanyak RM10,000...tetapi kami tolak kerana mahu ianya dibuat secara adil dan saksama."
"Kami rela kalau kehilangan tanah yang kami rentah selama ini, tetapi biarlah dibuat secara adil dan saksama... dan bukan dengan cara rompakan," ujar Ripin. Begitu juga Ajib sedia untuk menerima apa saja penyelesaian ke atas tanah itu kerana adalah tidak adil kalau tanah mereka yang jelas - mengusahakannya tetapi tiba-tiba orang lain yang memilikinya.
"Kami berdua menerima penyelesaian secara baik, atau pun mereka yang kini memiliki tanah itu datang berjumpa dan buat penyelesaian dengan molek... kita tidak mahu bergaduh atau pun bermasam muka...sesama sendiri," katanya lagi.
Saya cuba meminta nama yang kini menjadi pemilik tanahnya itu tetapi mereka belum bersedia untuk mendedahkannya. Ripin dan Ajib masih berharap agar penyelesaian dibuat dengan baik untuk tidak menimbulkan masalah kepada mana-mana pihak.
Sehingga sekarang mereka berdua beradik masih lagi 'memiliki' tanah itu dan memunggut hasil getah yang diusahakan oleh arwah bapaknya. [wm.kl.3:20 pm 28/10/11]
No comments:
Post a Comment