Sunday, October 9, 2011

Leteran Hari Minggu

Pang Chaw Jangan Ugut Pas

PENDIRIAN Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas, Hu Pang Chaw (foto) seperti mana dilaporkan oleh sebuah portal berita seakan menempati kebimbangan yang lama bersarang dihati, bahawa kehadiran kelab penyokong itu sesuatu yang tidak perlu diagung-agungkan sangat dan kemungkinan ia bakal mengundang masalah kepada Pas.

Entah kenapa saya kurang yakin dengan keikhlasan himpunan berkenaan yang terdiri dari bukan muslim untuk menyokong perjuangan Pas. Bagi saya adalah silap Pas membentuk sebuah sayap dinamakan Dewan Himpunan Penyokong Pas dengan memberi ruang luas kepada mereka termasuk dapat mengambil bahagian dalam muktamar.

Sesetengah pemimpin Pas begitu ghairah untuk membuka pintu Pas kepada bukan Islam sehingga tidak dapat membaca tanda di hujung perjalanan. Hakikat bahawa iltizam dan azam di antara bukan muslim dengan orang muslim tetap ada perbezaan dan kepentingan yang tidak boleh dialpakan?

Fungsi dan peranaan kelab itu sepatutnya dihadkan sebagai sebuah kelab seperti mana kelab penyokong pasukan bola sepak saja. Mereka boleh bertepuk dan memberi sokongan moral dan material tetapi jangan sampai menganggui kerja-kerja jurulatih dan pihak pengurusan.

Kalau mereka sudah bertindak jauh ingin mengajar jurulatih dan mengajar pihak pengurusan mentadbir ia sudah satu keadaan campur tangan dan agak melampau. Kelab itu juga tidak mengetahui sejauh mana kuasa atau apa yang mereka perlu lakukan.

Itulah apa yang berlaku kini yang saya rasakan. Dewan himpunan itu cuba memainkan peranan jauh ke dalam termasuk menyentuh soal-soal polisi dan dasar Pas. Tindakan seperti itu sudah tidak kondusif lagi sebagai fungsi sebuah himpunan yang bertindak sebagai kelab penyokong.

Peluang atau keterbukaan yang diberikan oleh Pas itu kini sudah menjadi masalah. Kalau ia tidak dilendikkan ia bakal menyerabutkan parti itu. Dengan beberapa tindak tanduk atau kenyataan-kenyataan berupa desaan dikeluarkan oleh sesetengah anggota dewan himpunan itu berpotensi untuk membawa masalah kepada Pas. Adalah wajar kalau penasihat kepada kelab berkenaan mengambil langkah perlu sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.

Untuk mengelak tindakan ini lebih luas, mungkin satu kod etika kepada kelab berkenaan perlu dikeluarkan untuk pengetahuan umum. Dengan adanya garis panduan itu ia dapat difahami oleh segenap ahli Pas mengenai apakah peranan dan juga tanggungjawab yang perlu dipikul dan tidak perlu dipikul oleh himpunan itu.

Keadaan tidak kondusif ini mulai terasa apabila ketuanya, Hu Pang Chaw bercakap topik yang diluar bidang kuasanya sehingga seolah-olah ia dianggap mempunyai autoriti penuh kepada dewan itu. Terbaru kenyataan (peringatan) beliau mengatakan Pas akan kehilangan sokongan sekiranya gagal memberi penjelasan mengenai pendirian tegas Pas dan Tok Guru Nik Aziz mengenai hukum hudud.

Kata Pang Chaw, Pas kemungkinan akan kehilangan sokongan bukan muslim dan menyebabkan ahli dewan itu akan bertinda keluar kelab beramai-ramai kalau masalah hudud tidak dijelaskan dengan sempurna. Beliau juga membayangkan hubungan atau sokongan bukan muslim seperti orang berkasih di mana kalau sudah tidak sesuai ia boleh memansuhkan sokongan.

Kenyataan itu berbau ugutan dan ancaman serta ia menunjukkan keegoaan beliau sebagai ketua. Pang Chaw juga sombong bila mengatakan Pas perlu mengambil pandangannya sebelum hendak melaksanakan hudud? Jelas kenyataan itu menunjukkan himpunan itu sudah besar kepala. Pang Chaw telah meletakkan dia sebahagian entiti penting di dalam Pas yang boleh menganggu pelaksana dasar dan asas perjuangan awal Pas.

Kenyataan pengerusi himpunan itu anih sedikit. Bukankah Pang Chaw adalah ketua kepada dewan himpunan berkenaan. Kalau beliau ikhlas dan mahu melihat sokongan kepada Pas di kalangan bukan muslim padu, maka beliau sendiri harus memainkan peranan memberi penjelasan. Beliau tidak sepatutnya menzahirkan rasa bimbang berupa ugutan tetapi mengambil langkah mengatasinya khasnya di kalangan ahli yang jahil mengenai hudud dan perjuangan asas Pas.

Dewan himpunan atau Pang Chaw sendiri janganlah ada agenda di sebalik sokongan itu. Kalau mereka juga ada agenda ia tidak akan memberi apa-apa makna dan erti lagi. Pang Chaw sendiri jangan menjadikan dewan itu sebagai kuasa untuk bertarik tali kerana inginkan sesuatu bersifat personal. Saya yakin penerimaan Pas ke atas dewan itu seadanya saja tanpa melupai akan habuannya sekira Pas dan Pakatan Rakyat berjaya menjadi kerajaan.

Sebelum kemenangan tercapai eloklah himpunan itu beperanan seperti yang ada ini bukannya menjadi 'duri kemen' yang membelit kaki apabila tersepak batangnya.

Imbasan hari ini nampaknya Pang Chaw sudah mulai menunjukkan kuasa dan menggunakan dewan berkenaan untuk merealisasikan beberapa keinginan dan juga kehendaknya. Lebih tepat lagi kalau dikatakan dewan itu digunakan untuk mencapai kemenangan peribadi, bukan kemenangan Pas.

Khabarnya sudah ada desakan agar sebuah kerusi senator diberikan kepada ketua himpunan itu.

Bagaimana pun diharap Pas tidak terancam dengan amaran yang diberikan oleh Pang Chaw itu. Hakikat yang ada kepada himpunan itu ahlinya sekitar 20,000 orang saja. Saya yakin bukan Islam yang menyokong Pas kerana Pas bergabung dengan Pakatan Rakyat lebih daripada kekuatan ahli himpunan itu. Dalam konteks Kelantan pula Pas tidak memerlukan sokongan padu dari bukan muslim untuk merealisasikan cita-cita agamanya.

Pas tidak perlu layan kebimbangan negatif disuarakan oleh Pang Chawi itu. Pas tidak akan 'kalah' tanpa sokongan golongan yang menyimpang dari perjuangan asalnya atau yang jahil mengenai Pas sebagai sebuah parti agama. Perjuangan Pas bukan saja hendak memiliki dunia, tetapi Pas mahu keredhaan Allah. Tidak ada guna bagi Pas menang kalau kemenangan itu tidak diredhai Allah. Kekalahan diredahi lebih baik kemenangan yang dimurkai.

Kepada Pang Chaw khasnya janganlah cuba mengambil kesempatan untuk menggeletek Pas dalam suasana hari ini. Kalau dewan itu ingin berkawan dengan Pas berkawanlah dengan ikhlas atas semangat ingin melihat perubahan dan jangan diselit dengan unsur-unsur perdagangan dan perniagaan. Sikap suka mengambil kesempatan atau menahan lukah di pergentingan tidak sesuai di musim ini. [wm.kl.10:16 am 09/10/11]

Post a Comment