Mereka Tua, Kurang Berprestasi, Kurang Membantu Parti
SEBELUM menyentuh mengenai peluang dan harapan Umno untuk merampas Kelantan secara mendalam dalam pilihan raya ke 13 nanti, saya ingin memperkatakan serba ringkas tentang sejauh mana Pas mampu untuk mengekalkan kerajaan yang kini sudah berusia lebih 22 tahun itu, dengan menjenguk gerak kerja dan juga penyusunan para calonya.
Umum sudah mengetahui sudah tiga kali Umno berusaha keras untuk merampas balik Kelantan yang dikuasai selama 12 tahun (1978 -1990) dan menumbangkan kerajaan Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat. Usaha bersungguh Umno itu bermula apabila Semangat 46 telah berpisah dengan Pas pada tahun 1995 selepas menafikan kemenangan walaupun satu kerusi kepada Umno pada tahun 1990 menerusi kerjasama Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
Pilihan raya umum tahun 1999 Umno yang ketika itu telah menggunakan semula khidmat Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Perhubungan bertungkus lumus hendak mengambil Kelantan namun tidak berjaya ekoran krisis melanda Umno disebabkan pemecatan Anwar Ibrahim 1998. Krisis dalaman ciptaan Mahathir Mohamd itu membantu memenangkan Pas.
Kemunculan kali kedua Tengku Razaleigh itu tidak membawa apa-apa hasil. Pilihan raya ke – 10 tahun 2004 telah memberi harapan besar kepada Umno untuk menumbangkan kerajaan Pas, bila mana Umno menang 21 kerusi yang membezakan dua kerusi saja untuk menafikan Pas dari membentuk kerajaan. Pas memperolehi 23 dan PKR 1 kerusi.
Ketika itu Umno dipimpin oleh Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Perhubungan. Bagaimana pun harapan yang cuba disinarkan Mustapa itu termusnah dan harapan Umno terpadam semula apabila Mustapa dinafikan menjadi ketua. Pilihan raya tahun 2008 Umno yang dipimpin oleh Annuar Musa kalah teruk.
Kepercayaan diberikan kepada Annuar atas muslihat halusnya menggunakan kawan baiknya Alwi Che Mat untuk mengecek Abdullah Badawi agar melantik Annuar sebagai Pengerusi Umno Kelantan, menyebabkan sebanyak 15 kerusi Umno 'lari' semula kepada Pas. Pas kembali menjadi gagah. Umno ditangan Annuar hanya menang enam kerusi saja yang disifatkan sebagai Enam Jahanm. Ini menunjukkan Annuar Musa telah menjadi liabiliti kepada Umno Kelantan.
Kalau hendak dibandingkan antara Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Annuar Musa dan Mustapa Mohamed, Mustapa lebih excellent sebagai ketua Perhubungan kerana Umno semasa dibawah pimpinannya sipi-sipi menewaskan Pas.
Pas perlu tukar posisi pemain
Kembali kepada senario yang hendak saya sentuh di sini mengenai persiapan Pas; khabarnya Pas sudah pun mengenal pasti calon-calon yang akan diletakkan bertanding dalam pilihan raya kelak. Nama-nama sudah pun berada di tangan Yang Dipertua Pas kawasan masing-masing. Setengahnya sudah pun diserahkan kepada Badan Perhubungan. Tetapi belum disahkan atau direstui oleh Pesuruhjaya, Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Namun diperingkat bawahan seakan sudah pasti, nama-nama itu sudah mula meniti dari bibir ke bibir. Sudah ada orang bakal-bakal menjadi calon membilang berapa batang pokok kepala atau pohon kekabu di kawasannya untuk ditampalkan poster wajahnya dan bendera parti nanti.
Bagaimana pun nama-nama yang dipadankan dengan kerusi-kerusi itu baik parlimen maupun state belum muktamad lagi. Biasanya perihal pemuktamadan calon itu akan berlarutan sehingga ke saat-saat akhir. Yang yang dipilih hari ini boleh berubah beberapa kali lagi, hatta yang sudah diletakkan awal-awal mungkin akan tercicir. Lobi melobi calon dengan pelbabagai cara terus berlangsung.
Sesuatu yang perlu diberi perhatian kali ini, Pas kena bijak dalam mencaturkan calon-calonnya. Hakikat yang kena disedari kekuatan antara Pas dengan Umno hampir sama saja di Kelantan. Ia berada dalam nisbah hampir sama 35 : 35 di mana undi yang menjadi rebutan ialah undi atas pagar sekitar 25 - 30%.
Kedudukan Pas dan Umno di Kelantan samalah kekuatan pasukan-pasukan bola sepak piala Malaysia seperti Kelantan, Terengganu, Negeri Sembila, Selangor ataupun Felda United. Kekuatan mereka hampir setara. Tidak ada mana-mana pasukan mempunyai kelebihan dari segi spritual atau material yang boleh dianggap sebagai pasukan elit dan penentu kemenangan. Soal menang kalah ia bergantung kepada bagaimana percaturan permain yang dilakukan oleh jurulatih kelak dan sedikit sebanyak sokongan peminat.
Kalau jurulatih bijak mengatur dan meletakkan posisi pemain atau melakukan tukar ganti dengan tepat, maka pasukan itu akan menang kelak. Kelebihan kepada parti sama sekali tidak ada. Orang atas pagar akan memihak sama ada kepada Pas atau Umno berdasarkan kepada isu-isu semasa. Selain itu mereka akan memilih batang tubuh atau melihat performance seseorang tokoh. Kalau mereka pernah atau masih menjadi wakil rakyat akan dilihat kepada pencapaian mereka dalam tempoh itu.
Dalam hemat saya apa yang perlu dilakukan kali ini ialah menyalinkan pemain lama yang sudah bermain atau bertanding tiga penggal atau yang sudah beruban dan luruh gigi dalam parti. Mereka ini sudah keletihan dan kalau ibarat pemain bola sudah malas untuk mengejar bola. Bagi mereka seperti ini berada di padang sekadar untuk mencukup korom saja atau pun menanti habuah, sedang stamina sudah berkurangan.
Sekurang-kurang ada 20 orang wakil rakyat yang wajar kalau mereka digugurkan. Mereka sendiri juga tentu sedia digugurkan kerana tahu mengukur baju dibadan sendiri. Ada dua sebab kenapa Pas perlu mempertimbangkan untuk menggugurkan mereka ini. Pertama, mereka keuzuran dan kedua pencapaian sebagai wakil rakyat tidak begitu menonjol serta gagal menjadikan mereka tokoh tarikan kepada rakyat.
Mereka yang uzur pula kebetulan sudah terlalu lama berada di padang ada kalanya wisel ditiup referee pun tidak kedengaran lagi. Ada kalanya mereka mendapat bolah di hadapan gol pun disia-siakan saja, macam pemain Kelantan melawan Terengganu yang berkesudahan dengan kalah memalukan malam tadilah.
Dari jumlah 20 orang wakil rakyat itu 16 terdiri daripada Adun dan empat ahli Parlimen.
Tidak ditolak setengah dari mereka masih popular di peringkat kawan tetapi tidak memberi banyak sumbangan kepada Pas dan kerajaan. Kehadiran mereka tidak dirasai dan mampu membawa apa-apa kemajuan kepada parti dan kerajaan.
Manakala yang lain ada mempunyai masalah dengan kepimpinan dalam kawasan. Keberadakan mereka hanya sebagai wakil rakyat saja dan paling menyedihkan mereka tercokol di situ kerana mewarisi kerusi berkenaan yang dianggap sebagai pesaka datuk nenek. Mereka ini perlu diberi perhatian berat kerana mereka bakal menjadi duri dalam daging kepada Pas dan menjadi liabiliti kepada parti.
Seperti mana dikatakan tadi beberapa orang calon walaupun sudah lama bermain dengan Kelantan, tetapi mereka masih relevan tetapi perlu ditukar posisi. Pertukaran posisi ini adalah untuk memastikan keberkesanan pasukan. Ada empat orang MP perlu ditukar turun ke state bagi menjamin kemenangan dan persiapan untuk menguatkan barisan kerajaan kalau Pas masih menang.
Pertukaran posisi (perubahan kerusi) juga boleh dilakukan demi menjamin kemenangan Pas. Misalnya untuk kerusi Parlimen Pasir Mas, Pas boleh meletakkan calon dari luar Pasir Mas sekiranya tiada anak tempatan. Pemilihan calon Parlimen di Pasir Mas penting bagi menjamin kerusi itu dapat diambil balik dari wakil bebas itu yang kembali bermukah dengan Umno kini. Untuk berhadapan dengan calon bebas itu bukan calang-calang orang kerana politiknya terkenal penuh dengan kelicitan dan jahat.
Manakala dalam menentukan calon ini pihak bertanggungjawab memutuskannya calon nanti diharap tidak bergantung seratus peratus kepada senarai nama dihantar oleh kawasan hasil daripada tinjuan awal pilihan raya. Kerana ada sesetengah nama yang turut disenaraikan jelas tidak berpaksikan kepada kedudukan dan preatasi sebenar. Ada kecurangan di dalam menyenaraikan nama calon itu kerana ia bersifat kronisme.
Sebagai buktiknya ada nama yang tidak munasabah disenaraikan sedangkan keupayaan dan bodinya – sudah 'kepek rohek', sudah diketahui umum mereka tidak layak, tetapi kerana dia menjaga ‘lubang kubur’ YDP berkenaan atau orang-orang tertentu dalam kawasan maka ia dicalonkan.
Justeru Pas perlu menilai balik keputusan itu dan beberapa calon profesional perlu diambil untuk menggangikan calon berkenaan. Dengan mengambil kira pencaturan calon tadi penting, maka keputusan pilihan raya nanti banyak akan ditentukan oleh batang tubuh mereka yang bertanding.
Sesuai dengan Pas sudah memerintah selama lebih 22 tahun pengundi atas pagar tidak begitu syok atau terhibur lagi dengan slogan tetapi mereka akan menilik kepada kemampuan calon dan profelisme yang dimiliknya. Aspirasi pengundi hendaklah diambil kira dan bukan saja menimbang kepada nama diingin oleh kawasan. [wm.kl.3:40 pm 13/10/11]
1 comment:
Wakil rakyat PAS yang cintakan kepada perjuangan Islam akan berundur dengan rela hati bila sudah tahu kemampuan diri. Tidak perlu tunggu keputusan atasan. Perjuangan agama dan parti lebih penting.
Mereka bukan wakil rakyat Umno yang pentingkan kedudukan dan apa yang datang melalui keddukan itu.
Post a Comment