Himpunan Sejuta Umat Patut Sama Jelaskan Hudud
SEBELAH pagi tadi saya hadir pada sidang media Himpunan Sejuta Umat yang berlangsung di sebuah kamar kecil persidangan di hotel terletak di Jalan Pahang. Sidang media itu bertujuan memberi penjelasan perjalanan dan pengisian berhubung himpunan yang bakal diadakan pada 22 Oktober bertempat di stadium Shah Alam, Selangor.
Seperti mana dijelaskan oleh ketua bersama sekretariat Yusri Mohamad dan Mohd Azmi Abdul Hamid tujuan himpunan itu ialah untuk menzahirkan kekuatan umat Islam dalam di negara ini dalam mempertahankan akidahnya. Akidah umat Islam negara ini akhir-akhir ini dalam keadaan terancam dengan tercetusnya beberapa peristiwa yang agak menyayat hati dan apa yang berlaku dikesalkan kerana semacam ada usaha ke atas memurtadkan umat Islam.
Himpunan itu yang diharap akan disertai oleh setiap umat Islam, badan-badan Islam dikira penting bagi menyatakan kesatuan ummah dalam melihat kesucian agama Islam tetap utuh.
Himpunan itu terilham atas beberapa isu atau pun peristiwa pemurtadan beberapa individu Islam di negara ini yang menjadi kontroversi dan kenangan pahit. Peristiwa langgar masuk tanpa ketuk ke gereja di Damansara Utama oleh Jais kononnya berlaku proses permurtadan di situ dilihat sebagai titik tolak kepada terilhamnya himpunan sejuta umat. Sekretariat itu melihat kejadian itu sesuatu yang serius dan perlu ditangani sesegera mungkin dan sesungguh mungkin.
Himpunan itu digesa dan diusahakan oleh beberapa badan Ngo dan individu yang perihatin terhadap agama dan mendapat sokongan padu dari Mufti-Mufti. Antara Ngo yang bergabung dalam sekretariat itu ialah, Gabungan Ngo Pembela Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Teras Pengupayaan Melayu (Teras).
Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Barisan bertindak Anti Murtad, Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) dan Gabungan Intelek Melayu.
Seperti mana dijelaskan oleh sekretariat himpunan, program itu tidak ada agenda politik mana-mana parti tetapi ia dibuat atas semangat dan kesedaran bersama untuk membela akidah umat Islam. Justeru pihak sekretariat merayu agar semua orang yang cintakan Islam hadir memberi sokongan dan menunjukkan iltizam dan komitmen dalam gerak membela agama Islam.
Tanpa prejudis bagi saya dengan pengakuan sekretariat itu wajar semua umat Islam menghadirkan diri pada 22 Oktober. Sekarang ini dengan pelbagai ancaman terhadap akidah dan juga kesatuan bangsa, bukan waktu lagi untuk umat Islam saling tunding menunding di antara satu sama lain dan bergerak secara nasfu nafsi. Perlu diingatkan perjuangan secara terpisah dan bermahazab tidak akan mencapai kemenangan, sebaliknya ia akan menambahkan kecelaruan apa lagi kalau perjuangan itu mengikut rentak dan irama ideologi politik.
Kesendirian atau degil dengan kepercayaan akal sendiri dalam memperjuangkan agama dan bangsa tidak akan menjamin kemenangan dan kejayaan.
Dalam pada itu bagi saya kalau himpunan itu ikhlas dan benar-benar ingin menjaga akidah umat Islam dan juga menegakkan syariah Islam, apa salah kalau pengisian dalam himpunan berkenaan dimasukan slot penerangan mengenai isu-isu agama lain seperti hukum hudud yang hebat diperkatakan kini. Rasanya menjadi peranan himpunan itu juga untuk membicarakan soal hudud, memberi penjelasan kepada semua pihak akan kepentingan hudud serta tuntutan Allah ke atasnya.
Pengejian kepada hudud oleh sesetengah pihak baik oleh umat Islam sendiri dan juga orang kafir boleh dianggap sebagai satu usaha untuk menggugat kesucian agama Islam dan dari konteks akidah pula bagi umat Islam yang berbuat demikian boleh menyebabkan akidahnya terluka.
Dengan memasukkan sama hudud di dalam program itu bagi saya lebih kemas, jelas dan nyata lagi akan kesungguhan dan kejituan umat Islam (sekretariat) untuk membela akidah umat Islam di negara ini. Menolak hudud atau sangsi ke atas perintah Allah dalam melaksanakannya juga boleh menyebabkan akidah seseorang yang berada dalam keadaan itu menjadi sayung.
Sekretariat rasanya boleh memikirkan cadangan ini sebagai salah satu pengisian himpunan yang bakal mencatat sejarah itu. InsyaAllah kalau sekretariat sedia melakukan ini dan himpunan itu bersih dan suci dari agenda politik tidak ada syak dan ragu kepada umat Islam untuk hadir beramai-ramai ke himpunan berkenaan.
Kejayaan himpunan berkenaan adalah kejayaan umat Islam negara ini. Adalah diharap juga himpunan yang memperakui bebas dari agenda politik akan terus kekal sebagai sebuah sekretariat untuk menyelaraskan apa-apa perbalahan dan selisih faham umat Islam dinegara ini yang disebabkan oleh politik.
Sekretariat itu hendakah menjadi segolongan orang yang dinyatakan dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud; Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar. Mereka itulah orang-orang beruntung."
Dalam hubungan ayat ini Hasbi Ash Siddieqy menafsirkan ayat ini: "Hendaklah ada di antara kamu suatu golongan yang menyelesaikan urusan dakwah, menyuruh maa'ruf (segala yang dipandang baik oleh syara` dan akal) dan mencegah yang munkar (segala yang dipandang tidak baik oleh syara` dan akal) mereka itulah orang yang beruntung."
Tidak syak lagi kalau nawaitu sekretariat itu suci dan ikhlas golongan yang dimaksudkan oleh ayat berkenaan ialah sekretariat atau Ngo-Ngo yang bergabung dalam Himpunan itu. [wm.kl.8:40 am 05/10/11]
No comments:
Post a Comment