Analisa:
Mampukah Umno Tawan
Lapan Kerusi Parlimen Kelantan
Telah menjadi pengetahun umum Umno Kelantan mensasarkan lapan kerusi parlimen termasuk yang dimiliki sekarang ini dalam pilihan raya umum akan datang.
Kerusi-kerusi yang menjadi sasaran Umno dan tumpuan kerja sedang diperkuatkan, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Ketereh dan Bachok. Dua kerusi lagi yang dimiliki sekarang Gua Musang dan Jeli.
Umno seakan sudah yakin kerusi Gua Musang dan Jeli berada dalam tangan mereka. Ketokohan penyadang kerusi Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (foto) menjadi modal tunai dan keyakinan itu kepada Umno.
Namun kerusi Gua Musang bagaimana pun masih di persimpangan dan menjadi teka teki. Sekiranya Tengku Razaleigh Hamzah dinafikan untuk bertanding atas tikit BN, lebih 100 peratus kerusi Gua Musang tidak akan menjadi milik Umno lagi. Ada usaha oleh pemimpin budak-budak di Gua Musang yang tidak mahu Tengku Razaleigh bertanding atas tikit Umno dan mahu anak raja itu nyah dari parti Melayu yang dikaguminya itu.
Sekiranya pemimpin Umno Kuala Lumpur terikut-ikut dengan angin tohor dan politik 'anak kucing lembek tengkuk' dengan desakan budak-budak itu ia bakal memberi naas dan mimpi buruk buat Umno Kelantan. Mungkin untuk pertama kalinya Umno akan kehilangan kerusi teras dan keramat mereka di Gua Musang. Catatan: sejak kerusi parlimen itu wujud (dulunya atas nama Hulu Kelantan) ia tidak pernah dirasai oleh Pas atau mana-mana parti kecuali Umno.
Berbeza dengan Jeli yang kini disandang oleh Mustapa Mohamed, dengan gerak kerja, penambahan pengundi mendadak di Jeli khususnya dari kalangan tentera, Mustapa dijangka dengan senang akan memenangi kerusi berkenaan.
Pun begitu Mustapa tentu tidak dapat duduk diam sehingga selesai hari mengundi kerana beliau pernah tewas di Jeli pada tahun 1999, dikalah oleh Apandi Mohamad. Air yang tenang jangan mudah disangka tiada buaya. Mustapa tidak pernah melupai ini dan kekalahannya kepada Apandi itulah menyebabkan beliau terus menjadikan Jeli sebagai kampung halaman dan bandar metropoliton utamanya berbanding kampung asal Bachok.
Kenapa tidak, walaupun dia menginap dan tidur di Bukit Tunku, Kuala Lumpur - rumah kediaman rasmi, tetapi hati dan jiwanya tetap di Jeli.
Atas kertas sehingga hari ini Jeli menjadi kerusi denak bagi Umno seperti Pengkalan Chepa, dan Kubang Kerian yang menjadi kerusi denak buat Pas. Menurut nisbah (modal) hari ini 2 : 1. Dua untuk Pas dan satu untuk BN.
Dan sekiranya kedua-dua kerusi ini Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian juga akan dirampas Umno, ini bermakna seluruh kerusi parlimen dan state di Kelantan akan jatuh ke tangan Umno. Boleh jadi Umno akan menyapu bersih kesemua kerusi parlimen dan state mengulangi peristiwa 1990 yang dicatat Pas - Semangat 46. Tetapi ia sangat mustahil.
Bagaimana pun kelebihan tetap kepada Pas, di mana Pas mempunyai peluang 55 peratus berbanding Umno di kerusi; Kota Bharu, Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai serta Pasir Puteh. Yang menjadi masalah kepada Pas yang bergabung dengan Pakatan Rakyat ialah kedudukan tiga buah kerusi dimiliki PKR, Tanah Merah, Ketereh dan Machang.
Peluang PKR untuk mengekalkan kerusi-kerusi ini pada masa ini di bawah 49 peratus. Ketiga-tiga kerusi inilah yang menjadi tumpuan utama Umno. Umno sangat berharap sekiranya mereka dapat merampas kerusi PKR ini jikapun gagal memerintah Kelantan ia sudah satu kejayaan kubra, kerana kerusi itu akan dapat menimbus beberapa kerusi yang bakal hilang di Johor, Pahang, Negeri Sembilan serta Sarawak.
Sebenarnya Umno lebih obses untuk merampas tiga kerusi berkenaan disamping mengekalkan dua kerusi yang sedia ada daripada merampas Kelantan. Hakikatnya Umno memerlukan enam hingga lapan daripada 14 kerusi parlimen dan Umno lebih rela melepas Kelantan kepada Pas daripada kehilangan kerajaan Persekutuan.
Apakah asas menyebabkan Umno yakin akan berjaya mengambil alih tiga kerusi milik PKR itu? Ada beberapa faktor dalaman dan luar yang membantu Umno. Antaranya ialah organisasi PKR itu sendiri lemah. Selama ini pun jentera pilihan raya Pas yang membantu PKR. Tanpa Pas PKR tidak dapat berbuat apa-apa. Pas Kawan Rapat (PKR).
Selain itu ketandusan PKR mempunyai ramai pemimpin menjadi penyebabnya. PKR Kelantan hidup seolah 'bawang dalam lekar' di mana ia berakar tetapi akar tidak sampai ke bumi. Ditambah pula dengan kelemahan keseluruhan PKR itu sendiri termasuk di peringkat nasional. Tidak ada plan atau startegi khas yang diilhamkan oleh PKR pusat bagaimana untuk PKR Kelantan menyuburkan diri. Dalam kata lain PKR Kuala Lumpur tidak berbuat apa-apa untuk menambah hebat PKR Kelantan.
Pas pula hanya membantu dalam menggerakkan jentera pilihan raya atau memberi jentera mereka membantu calon PKR semasa pilihan raya. Bantuan secara menyeluruh di luar pilihan raya termasuk sama-sama berikhtiar untuk mempertahankan Kelantan dengan cara memberi keyakinan dan peluang berpatisipasi dalam jentera pilihan raya kepada PKR tidak begitu kelihatan dan serius.
Padahal dalam kawasan di mana ada kerusi ditandingi PKR, Pas sepatutnya bersepakat membentuk jentera bersama. Sayang sikap nafsu nafsi (individualistik) masih berlaku dalam hal ini. Selalu kendengaran alasan diberikan PKR tidak ada ahli dan tidak banyak cawangan. Soalnya macam mana parti itu untuk mendapat ahli kalau tiada bantu dan diajak kerjasama. Lainlah kalau pemimpin PKR seperti Dr Wan Suhaimi Wan Daud di Pasir Mas yang aktif memugarkan PKR siang malam tanpa mempedulikan apa orang kata dan mengharap pujian.
Faktor-faktor lain ialah tokoh yang akan dikemukakan oleh PKR dalam pilihan raya akan datang menjadi faktor kenapa Umno berharap sangat akan merampas tiga kerusi parlimen itu. Di parlimen Machang khabarnya Saifuddin Nasution Ismail tidak lagi akan bertanding di situ. Beliau akan dihantar pulang ke Kedah untuk bertanding di Kulim-Bandar Baru kemudian memimpin PKR Kedah.
Peninggalan Saifuddin satu kekosongan buat PKR. Umno sudah menghitung kekosongan ini akan memberi peluang kepadanya. PKR tiada calon berkelayakan dan berpengaruh di Machang mengganti tempat Saifuddin. Keadaan inilah menyebabkan Umno optimis mereka akan dapat merampas kerusi Machang.
Demikian juga di Tanah Merah, kedudukan ahli parlimen, Amran Abdul Ghani dikatakan kurang bertenaga dan tidak berkeupayaan untuk mengekalkan kerusi Tanah Merah. Kekurangan pengalaman dan sebagai orang politik baru menyebabkan Amran kurang berjaya menonjolkan dirinya sebagai pemimpin berpengaruh dan bervisi di Tanah Merah.
Keadaan ini menyulitkan lagi apabila ada perebutan sesama sendiri. Tidak semua ahli PKR Tanah Merah berada di belakang Amran. PKR di Tanah Merah berpecah lebih dari dua firkah. Dalam pada itu ada pula unsur-usnur cuba mengkhianti kedudukan Amran bila mana ada usaha untuk menyingkirkan Amran dan diganti dengan muka baru (sebenarnya muka lama dah tidak laku lagi) tertentu.
Gerak kerja memburuk Amran supaya ia tidak dipilih menjadi calon sedang dilaksanakan penuh tektikal. Satu laporan mengenai pencapaian beliau katanya sudah berada di tangan penasihat parti. Amran dirumuskan sebagai calon yang berpotensi untuk kalah. Tidak menjadi masalah kalau Amran hendak ditukar atau dirihatkan tetapi lakulah dengan penuh berhikmah dan tidak mengemukakan laporan yang diambil di warung kopi sebelah kiri landasan kereta api sahaja.
Dibimbangkan calon yang berminat hendak kerusi Tanah Merah itu akan mengalami kekalahan lebih besar dari Amran kalau dia diberi peluang tanpa membuat persiapan rapi dan persefahaman dengan Amran. Iya, Amran mungkin kecil dan dianggap mentah, tetapi si mentah inilah yang sanggup menggadaikan diri untuk menjaga maruah PKR dalam pilhan raya 2008 dulu. Kalau diharapkan kepada orang dewasa, tokoh perniagaan hebat awal-awal lagi menolak kerana kurang yakin dia akan menang.
Sesuatu budi dan pengorbanan besar Amran yang tidak diketahui ramai ialah apabila beliau menolak tawaran jutaan ringgit agar meninggalkan PKR. Ini adalah pengorbanan besar Amran. Kalau beliau 'terpesil mata' dengan wang ringgit sudah tentu dia akan menyeberang pengkalan.
Demikian halnya kerusi Ketereh. Kedudukan Abdul Aziz Kadir (foto) kini tidak seselesa tahun 2008. Setelah tiga tahun lebih jadi wakil rakyat, rakyat sudah dapat melihat Aziz luar dan dalam. Orang sudah mengenali senyum dan tawanya. Sejauh mana keupayaan Aziz sudah dapat dinilai oleh rakyat. Sekiranya Aziz tidak mengambil tindakan segera membaiki beberapa kecacatan kecil yang ada, kerusi Ketereh dalam bahaya. Aziz walaupun dia adalah Pengerusi PKR Kelantan tetapi pembawaannya tidak lebih sebagai ahli jawatan kuasa surau sahaja. Tidak agresif.
Nasib Aziz bergantung kepada keadaan. Sekiraknya Umno terus meletakkan Annuar Musa untuk berhadapan dengan Aziz, kerusi itu masih selamat. Tetapi apakah Mustapa Mohamed akan teruja dengan pencapaian Annuar dalam bolasepak untuk dijadikan sandaran Umno di Ketereh? Kalau jawabnya ia, insyaAllah Aziz masih mampu berdepan dengan bekas menteri yang pernah disiasat SPRM itu. Dalam konteks Annuar di Ketereh rakyat tidak melihat kejayaan duniawi beliau tetapi rakyat lebih melihat dosa peribadi dan syaksiah pengerusi KADA itu sendiri.
Dari sudut ini walaupun Aziz tidak sepengalaman Annuar pernah menjadi menteri tetapi tidak banyak membantu Kelantan, tetapi Aziz mendahului Annuar dari soal keperibadian dan syaksiah ini. Peribadi Aziz jauh lebih baik dari peribadi Annuar Musa. Aziz tidak pernah dilibatkan dengan apa-apa skandal dan siasatan pihak berkuasa. Tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana wanita termasuk isteri orang. Kalau bertanding untuk mendapatkan peribadi yang baik Aziz akan menang.
Soal besarnya kini, apakah persoalan yang disebut tadi dapat diatasi oleh PKR di ketiga-tiga kerusi itu tadi? Kalau PKR gagal; gagal meletakkan calon sama hebat dengan Saifuddin di Machang, gagal meletakkan calon lebih baik dari Amran di Tanah Merah, dan Aziz kalau gagal memperbaiki kelemahan kecil yang ada dalam masa tersisa, ini bermakna apa diidam-idamkan BN untuk merampas ketiga-tiga kerusi itu akan menjadi kenyataan.
Adapun kerusi-kerusi lain peluangnya seperti dinyatakan di atas tadi. Tetapi Pas juga tidak perlu beriba tangan kerana di antara kerusi yang dimiliki sekarang ada yang boleh bertukar tangan kepada BN kalau percaturan dan calon diturunkan tidak selayaknya. Kerusi-kerusi Pas dalam bahaya ialah, Kuala Krai, Bachok, Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pasir Puteh. [wm.kl.9:12 am 17/03/12]
No comments:
Post a Comment