Monday, March 5, 2012

Menjenguk Kelantan

Siapa Layak Ganti Saifuddin Di Machang?

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sudah pasti akan meninggalkan Machang. Dalam pilihan raya akan datang pemimpin pelapis berbakat dan berketrampilan dengan fact dan figure ini tidak akan mengekalkan kerusi Parlimen Machang yang dimenangi tahun 2008 lalu. Nampaknya jodoh Saifuddin dengan orang Machang khasnya dan rakyat Kelantan hanya sepengal sahaja?

Begitu pun kalau dia terpaksa mengucapkan sayonara kepada Kelantan pertalian dengan Kelantan hendaknya tidak putus. Saya percaya kalau sudah tidak jadi ahli Parlimen Machang lagi tetapi hati dan semangatnya tetap berada di Machang. Ramai orang tidak tahu bahawa isteri Saifuddin adalah orang Kelantan anak bekas bendahari Pas kawasan Machang kalau tidak silap.

Sebenarnya dia bukan asing dengan orang Kelantan. Malahan orang yang bertanggungjawab menggerak dan menghidupkan tabung pendidikan Tabung Tok Kenali adalah Saifuddin. Hasil gerakannya di situ banyak anak-anak Kelantan yang mendapat bantuan kewangan pendidikan.

Saya mulanya agak terkejut mendengar berita kenapa Saifuddin harus meninggalkan Machang? Apakah hambatan beliau di situ. Terdengar juga sebelum ini beliau jarang berada di dalam kawasannya? Apakah perlu untuk beliau berada di dalam kawsan sepanjang masa? Mereka yang faham politik dan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung tidak akan mempertikaikan kejarangan beliau berada dalam kawasan itu.

Dalam konteks parti tugasnya amat berat sekali. Setiasuaha adalah nadi kepada sesebuah organisasi apa lagi parti baru yang serba kekurangan seperti PKR memerlukan kecerapan dan prihatian yang tinggi. Jadi tidak hairanlah kalau beliau jarang pulang ke kawasan. Namun tidak juga begitu, acap dan 'selaris' juga dia mengadakan aktiviti bertemu dengan rakyat. Manakala untuk membantunya beliau ada pembantu khas yang akan menangani masalah dihadapnya.

Di pihak Pas sendiri tidak ada masalah dengarnya. Bahkan sukar bagi Pas untuk mengganti Saifuddin di situ. Katanya Tok Guru Nik Aziz begitu memerut dan bersetuju angin benar dengan Saifuddin. Pernah seorang datang menemui Tok Guru meminta ahli parlimen itu diganti, tetapi dijawab Tok Guru; boleh asalkan ada calon yang sama hebat dengan Saifuddin.
Apa maksudnya itu?


Di sini saya tidak mahu mencungkil apakah masalah sehinggakan Saifuddin terpaksa minggat dari Kelantan. Ambil kesimpulan muda perpindahan itu adalah untuk kepentingan lain lebih besar dan satu pencaturan yang baik. Ke mana Saifuddin? Beliau disebut-sebut akan diletakkan bertanding di Kulim - Bandar Baru kawasaan yang telah dicelakakan oleh manusia bernama Zulkifli Nordin.

Kalau Saifuddin benar ke Kedah tidak perlu ada sesiapa bersorak atau rasa sukacita. Kepada saya pemergian itu kandati lebih penting dari berada di Machang tetapi ia satu kehilangan buat Kelantan. Permergiannya menjadikan Kelantan seorang regu politik Pas yang ampuh dalam menghadapi dan mendepani Umno. Saifuddin terkenal sebagai seorang strategis dan pemidato yang sarat dengan fakta dan hujah ilmiah. Ini jarang ada kepada penceramah atau ahli pemidato lain.

Apa yang hendak saya bicarakan di sini kalau Saifuddin sudah mengosongkan kerusi itu, siapakah paling layak untuk menggantinya? Kerusi Machang mesti dimenangi kerana bukan saja hendak jaga maruah tetapi memastikan korom mencapai 2/3 berjaya. Tanpa menguasai 2/3 harapan untuk Pakatan Rakyat memerintah Malaysia hanya angan-angan sahaja.

Siapakah dari kalangan PKR di Machang yang boleh diberikan kepercayaan? Maaf dalam kepala saya tidak ada nama sesia pun dari PKR yang setanding dan layak bertanding di Machang. PKR masih belum berjaya meneteskan calonnya di situ. Kalau ada pembantu Saifuddin mereka masih baru dan masanya masih jauh untuk mencapai kematangan politik.

Jadi apakah PKR akan menurunkan calon bidan terjun? Perlu juga difikirkan kalau calon bidan terjun orang tidak sehebat Saifuddin ia tidak akan memberi apa-apa kesan. Pengundi Machang akan teruja kalau pengganti Saifuddin itu lebih hebat darinya atau pun cukup sekadar setanding dengannya.

Seperkara lagi PKR dan Pas Kelantan kena ingat kali ini UBN bersedia untuk berlawan hingga ke titisan darah terakhir dengan Pakatan Rakyat. Mereka akan melakukan apa saja untuk menawan kerusi Machang. Sudah tentu UBN juga tidak akan meletakkan calon mereka yang kalah Sazmi Miah lagi dan mencari muka baru lebih berwibawa. Maka Pas dan PKR juga perlu mengintip kemungkinan ini.

Mengenang kesulitan ini elok kalau Pas juga turut sama memikirkan siapakah calon untuk parlimen Machang menggantikan Saifuddin. Kalau PKR gagal mendapatkan pengganti setanding Saifuddin Pas perlu menjadi galang gantinya.

Pas mungkin mempunyai banyak pilihan untuk diletakkan di kerusi tersebut. Dari kalangan Adun saya lihat ada dua yang layak atau pun sesuai dan molek batang tubuh untuk di angkat menjadi calon Parlimen. Pertama, Yang Dipertua Pas Machang, Zulkefli Mamat. Saya nampak selepas beliau tidak menjadi Exco fungsinya di negeri tidak begitu meluas dan hilang fokus. Banyak aktivti yang dilakukan sekadar Touch N Go sahaja. Sudah ada istilah hari ini Zulkefli sebagai Zul IT, maksudnya buat kerja (aktiviti) Ikut Terlintas.

Zulkefli yang dilihat seorang berfikiran internasional wajar kalau diletakkan di Pusat dengan bertanding di parlimen Machang. Seorang yang banyak idea dan kretif memikir sesuatu Parlimen memerlukan orang sepertinya. Jadi elok kalau Pas cuba menghitung apakah Zul IT ini yang juga Adun Pulai Chondong apakah layak untuk diletak di kerusi parlimen Machang.

Selain itu Adun Kemuning, Dr Mohd Fadzil Hassan juga boleh dipertimbangkan. Dr Fadzli mempunyai potensi besar untuk menjadi pemimpin pengganti dimasa akan datang. Seorang berlemah lembut, berwawasan serta memiliki ilmu baik duniawi atau ukhrawi yang mantap. Beliau ini juga seorang anak muda yang boleh diajak berunding dan mendengar kata.

Saya yakin kalau Dr Fadzil diberi peluang lebih luas beliau mampu memikulnya. Dan sebagai wakil rakyat yang belum ada noda dan noda elok kalau Fadzil diberikan kawasan paling luas untuk mempertahankan kerusi Machang. Namun disebabkan potfolio yang dipegangnya kini sebagai Exco berkesan adalah elok kalau beliau dikekalkan sebagai persiapan menambahkan ilmu dan pengalaman kepadanya untuk muncul pemimpin masa depan.

Cadangan ini sekiranya PKR buntu dan ketiadaan calon. Manakala apabila kerusi itu diperuntukan kepada Pas, sudah tentu perlu ada kerusi gantian kepada Pakatan. Dalam hal ini kerusi yang munasabah ialah Pasri Mas. Berikan kerusi Pasir Mas kepada PKR.

Rasanya PKR ada calonnya di Pasir Mas, di mana kalau kerusi itu diserahkan kepada PKR calon berkenaan boleh memikulnya. Cuma sejauh mana kemampuan itu perlu dikaji secara medalam kerana bukan senang untuk merebahkan seladang bertanduk cakah, Inchek Ibrahim Ali di Pasir Mas. Ibrahim akan tanduk sesiapa saja apa lagi pilihan raya ini ada merupakan liang lahad untuknya. Ibrahim akan tanduk lawannya sampai terberak.

Calon atau orang yang saya maksudkan ialah Dr Wan Suhaimi Wan Daud, seorang anak muda yang berperwatakan baik serta mempunyai ilmu akademik yang agak tinggi juga. Dia berkelulusan Dr Phd dalam bidang ekonomi. Dari segi akademi, akhlak Suhaimi tidak kalah dengan mana-mana bakal calon diturunkan Umno atau pun Ibrahim Ali sendiri. Sebagai bekas orang kuat Umno Pasir Mas beliau mempunyai ramai kawan dan rangkaian sosial politik tersendiri. Katanya pimpinan Pas Pasir Mas juga senang dengan bekas pegawai kepada bekas timbalan menteri ini.

Pun begitu kajian mendalam perlu dibuat sejauh mana kalau Suhaimi diturunkan ia boleh memberi cabaran kepada UBN atau Ibrahim. Formula untuk menumbangkan seladang tanduk cakah di Pasir Mas ini muda sahaja ahli Pas kena kompat, ahli PKR kena kompak dan kedua-dua parti itu juga kena kompak.

Sekiranya tiada kerjasama dan kekompatan di antara Pas dengan PKR ia bukan mudah dan tentulah untuk menyerahkan kerusi Pasir Mas kepada PKR bukan hal yang senang. Dalam pada itu apa yang perlu difikir dan diutamakan pastikan kerusi Pasir Mas tidak lagi ditakhtai oleh seladang tanduk cakah alias Selentia itu. [wm.kl.12:56 t/hari 06/03/12]

No comments: