Sunday, March 4, 2012

Catatan Dari Alor Star

Api Di Kedah Masih Belum Padam Sepenuhnya?

Sewaktu saya meninggalkan bumi Alor Star tengah hari tadi keadaan di Kedah masih menjadi teka teki. Kemelut yang melanda Pas ekoran pertelagahan pendapat di antara Phakhrorazi Zawawi dengan Azizan Razak masih menjadi teka teki.. sejauh mana ianya sudah diselesaikan. Kandati malam tadi telah diadakan majlis mahabbah - mengemukakan kedua pihak yang terbabit, kemudian disambung dengan pertemuan Pas Pusat dengan Pas Kedah namun pertemuan itu bukan secara automatik menyelesaikan kemelut itu.

Pas Pusat sendiri hari ini tidak berani membuat ketegasan atau penafian apakah kemelut itu selesai sepenuhnya atau tidak. Pas dijangka akan membuat pengumuman pagi esok di Kuala Lumpur, di mana sidang akhbar itu akan dibuat oleh presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Kelambatan itu kerana Pas sedang menanti apakah hasil perbincangan Phakhrolrazi dengan kawan-kawannya lewat hari ini.

Malam tadi Phakhrolrazi yang telah bersetuju dengan pandangan Pas Pusat untuk menyelesaikan kemelut itu, meminta tempoh untuk membolehkan beliau bertanya pendapat kawan-kawannya. Bolehlah dikatakan 'nasib' Phakhrolrazi dan Pas Kedah amnya terletak ditangan 'kawan-kawan' Phakhrolrazi itu.

Bagaimana pun beberapa orang pimpinan tertinggi Pas yang saya hubungi secara peribadi memberi gambaran kemelut itu telah selesai. Semuanya mengambil kira kepada suasana majlis malam tadi berjalan dalam semangat kekeluargaan dan penuh mahabbah. Phakhrolrazi dikatakan bersalaman dan bersemukakan dengan Azizan Razak. Keduanya, terutamanya Phakhrolrazi diberi kesempatan meluahkan apa yang terbuku dihatinya.

Phakhrolrazi juga dikatakan mendengar dan menerima pandangan Pas Pusat demi menyelesaikan kemelut berkenaan. Pas Pusat sejak awal lagi mengharap kedua pihak dapat duduk sekali demi kestabilan kerajaan Kedah dan juga memandangkan pilihan raya umum akan tiba bila-bila masa.

Harapan Pas Pusat agar Phakhrolrazi dan Dr Ismail Salleh kembali duduk di dalam kabinet Aizzan Razak menerima perlantikan Exco memegang potfolio mereka. Pengembalian itulah dilihat sebagai tanda besar kepada penyelesaian kemelut berkenaan. Sekiranya Phakhrolrazi tidak mengangkat sumpah menerima jawatan itu kemelut itu tidak dilihat selesai walaupun beliau kekal sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah.

Phakhrolrazi malam tadi tidak dapat memberi jaminan untuk menerima jawatan Exco atas nasihat Pas Pusat itu. Keadaan seakan selesai apabila Phakhrolrazi mahu berbincang dengan kawan-kawannya. Perbincangan itu telah pun selesai ia diadakan pagi tadi.

Phakhrolrazi telah pun berjumpa dengan Dewan Ulamak Kedah dan kawan-kawan lain. Sedikit menggelisahkan sampai kini tidak ada pengumuman dibuat dan ini menjadikan keadaan masih suspen. Apakah ia sudah dapat kata putus atau belum, walahualam?

Dengan tiada khabar berita dan belum tentu sama ada Phakhrolrazi sedia kembali semula kabinet atau tidak menyebab pemerhatian boleh membuat berbagai andaian dan sangkaan. Hanya ada dua sahaja kemungkinan di sini, dia menerima jawatan Exco atau pun menolak. Tidak ada persimpangan lain di hadapan beliau kini.

Suka disebutkan di sini, Phakhrolrazi dan juga Dr Ismail Salleh dikatakan seorang yang kuat berpegang kepada prinsipnya. Berpandukan ini agak sukar untuk beliau menerima nasihat Pas Pusat. Apa lagi kalau pertemuan mahabbah semalam beliau tidak mendapat jaminan terhadap apa yang dituntut dari Azizan Razak sehingga berlaku kemelut, menyebabkan tidak mudah untuk mereka berdua kembali ke kabinet.

Sebaliknya sekiranya Phakhrolrazi sedia untuk melanggar prinsipnya, beliau dan Dr Ismail akan menerima jawatan itu. Di sini tiak mungkin akan berlaku salah seorang mereka menerima dan seorang lagi menolak kerana mereka didapati sepakat. Phakhrolrazi dilihat berjiwa besar kalau dia akur kepada kehendak Pas Pusat, di mana tindakan itu biarpun sakit dan menjejaskan prinsipnya. Kesediaan untuk duduk dalam barisan Exco Kedah akan dilihat satu pengorbanan besar olehnya untuk Pas Kedah dan Pakatan seluruhnya.

Saya tidak mahu membuat ramalan lebih dari apa saya sebut dan bayangkan di atas itu. Biarlah kita tunggu pengumuman rasmi Pas Pusat esok. Mungkin Phakhrolrazi dan Dr Ismail Salleh telah memberi jawabannya kepada Abdul Hadi Awang lewat petang ini.

Yang perlu dilakukan sekarang ini hanya berdoa saja biarlah keputusan esok akan memuktamadkan keadaan jangan pula kenyataan itu akan disambung dengan kenyataan-kenyataan lain yang boleh menambahkan huru hara. Kalaulah esok tiada muktamad jelas kemelut di Kedah tidak mudah untuk diselesaikan. Mungkin ia boleh diibaratkan keadaan jerami kering di Kedah yang sedang dimamah api.

Sesuatu yang dipenuhi unsur api susah untuk dilengsaikan kerana ia ada sangkut paut dengan nafsu. [wm.kl.7:42 pm 04/02/12]

1 comment:

asman said...

Saya amat kecewa dgn isu ini.pada pru13 ada baiknya BN kembali berkuasa padan muka PAS kedah. Isu perbezaan pandangan dan menerima pandangan pun jadi ribut satu Kedah.