Monday, March 19, 2012

Pandangan

Pembahagian Kerusi Pas - PKR Terengganu
Perlu Diselesaikan Segera

Pilihan raya
sudah semakin dekat tetapi ada beberapa perkara nampaknya masih belum selesai dan dimuktamadkan oleh Pakatan Rakyat. Soal pengagihan kerusi masih menjadi masalah secara senyap. Di beberapa buah negeri pengagihan masih belum selesai sepenuhnya. Apakah Pakatan Rakyat akan menanti disaat-saat akhir?

Walaupun soal kerusi tidak diperdebatkan secara umum, tetapi dari dalam ia bergelora. Perkara ini tidak boleh dinafikan. Salah satu negeri yang masih dimuktamadkan ialah Terengganu. Masih 'bersoksek - soksek' kata orang.

Sebelum ini Pas Terengganu katanya hanya bersedia memberikan satu kerusi Parlimen sahaja kepada Pas. Khabar itulah menyebabkan PKR kurang senang dan terus mencari jalan bagaimana untuk mendapat lebih dari itu. PKR Terengganu cukup kurang berpuas hati dengan pembahagian itu.

Katanya kerusi parlimen yang akan diserahkan kepada PKR ialah Kemaman. Kerusi Dungun yang ditandingi PKR dalam 2008 ditarik balik. Begitu juga kerusi Dun, jumlah lima kerusi yang diberikan kepada PKR dulu akan dikurang hingga menjadi dua atau tiga saja.

Kita tidak faham apakah kriteria digunakan dalam Pakatan Rakyat dalam mengagihkan kerusi. Apkah ia berpandu kepada komposisi pengaruh ataupun atas ehsan mana-mana pihak? Apakah Pakatan tidak melihat dari segi matlamat untuk menumbangkan UBN? Cara apa dilakukan di Terengganu itu seakan ia melihat kepada pengaruh dan kekuatan lokal - Terengganu. Pas menjadi tuan besar manakala PKR pengemis buta.

Jika itulah dijadikan ukuran, betullah apa yang didesas desuskan itu. Di negeri itu PKR tidak begitu menonjol seperti di negeri sebelah pantai Barat. Pengaruh dan kekuatan PKR di Terengganu sama seperti di Kelantan. Tetapi Kelantan bernasib baik kerana parti itu menang ketiga-tiga kerusi parlimen dan satu Dun dari tiga Dun yang diperuntukan.

Satu segi pembahagian berdasarkan pengaruh dikira sudah adil. Tetapi Pas perlu melihat dalam konteks lebih luas dari itu. Misalnya Pas kena lihat pengaruh PKR untuk seluruh negara. Tanpa melihat atau mengasingkan kejayaan mengikut kaum tetapi pengaruh PKR lebih besar berbanding dengan Pas. Walaupun PKR baru berusia suku dari usia Pas tetapi ia telah memberi impak besar kepada perkembangan Pas.

Pas jangan merasakan dia sahaja yang memberi kekuatan kepada PKR khasnya dalam menggerakkan jentera pilihan raya, tetapi dari sudut lain PKR juga memberi bantuan kepada Pas. Pengaruh penasihat umumnya Anwar Ibrahim tidak boleh siapa nafikan. Baik Pas Terengganu, Pas Kelantan dan Pas Kedah semuanya menumpang pengaruh Anwar.

Siapa berani mengenepikan bahawa kejayaan Pas menguasai Terengganu tahun 1999 yang ianya tidak ada kena mengena dengan pengaruh dan juga isu yang terbangkit oleh Anwar Ibrahim? Dan apakah bila Pas Terengganu cuba hendak mengenepikan PKR mereka sudah mengira aura Anwar sudah pun lenyap?

Bukan saya nak sakit hati sesiapa, hari ini kalau ceramah tanpa dihadiri Anwar Ibrahim sukar untuk Pas mengerah orang sampai lima atau 10 ribu. Biarlah Anwar tidak sehebat Nik Aziz dan Haji Hadi dalam agama, tetapi orang akan datang apabila beliau tampil. Isu, hujah dan pandangan-pandangan politiknya menarik minat umum. Kehadiran anak-anak muda di ceramah Anwar melebihi dari yang hadir pada ceramah Nik Aziz dan Haji Hadi.

Di Terengganu sebaiknya Pas mengembalikan status quo dalam pengagihan kerusi. Paling baik lagi di samping memberi peruntukan dua kerusi parlimen tambah satu lagi. Manakala pengurangan boleh dibuat untuk kerusi Dun. Ini sesuai kerana yang hendak menjadi MB bukan PKR tetapi Pas.

Pembahagian sebegitu adil dan ini menunjukkan kerjasama mantap dan kemas antara keduanya.
Apabila soal kerusi tidak menjadi masalah sudah tentu perjuangan untuk menumbangkan Mat Said dan Umno akan menjadi lebih mudah.

Isu kerusi di Terengganu ini perlu diselesaikan segera untuk memudahkan semua pihak. Tanpa ada penyelesaian dan kata putus menyebabkan ada sedikit kegencatan dalam menyusun paln dan strategi di Terengganu. Keadaan ini sudah pasti menyukakan pihak UBN. Orang-orang berkenaan juga serba salah untuk menggerak jentera atas kapastitinya sendiri selagi kedudukan kerusi tidak menentu.

Cadangan Pesuruhjaya Pas Terengganu Abdul Wahid Endut (foto) soal pengagihan kerusi akan diserah kepada pemimpin pusat kedua parti itu dialu-alukan. Mandat itu hendak segera dilaksana. Dalam masa terdekat presiden Pas Abdul Hadi Awang perlu berjumpa dengan Anwar Ibrahim untuk 'berjemak berkira' mengenai kerusi di Terengganu.

Apa-apa keputusan yang dibuat nanti hendaklah diterima dengan biak oleh semua pihak di peringkat negeri. Jangan pula ada protes dan sanggah menyanggahan apabila konsensus sudah dibuat. Pas dan PKR Terengganu perlu menunjukkan sikap dan semangat untuk menbumbangkan UBN bukan saling hendak tunjuk siapa paling henalan, gagah dan berpengaruh. [wm.kl.11:05 am 19/03/12]

No comments: