Thursday, March 1, 2012

Rencana Khas

Umno Kelantan Melutut Kepada Tengku Razaleigh?

Menurut maklumat dari Fb Sdr Sobere Shafei petang semalam Mustapa Mohamed bersama Awang Adek Hussein dan Annuar Musa telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tengku Razaleigh Hamzah di kediamannya di Langgak Golf, Ampang. Kurang pasti apakah tujuan kunjungan hormat itu, apakah mereka ingin memberi tahu Tengku Razaleigh bahawa nama anak raja Kelantan itu masih disenarai sebagai calon BN di Gua Musang atau apa?

Atau kunjungan itu ada kena mengena dengan pemergian Najib Razak ke Kelantan esok dalam rangka kerja sekaligus berkempen.

Mungkin 'tiga pahlawan' Kelantan itu datang bersembah lutut untuk meminta Tengku Razaleigh pulang meraikan Najib di Kelantan. Kalau Tengku Razaleigh ada sama mungkin keadaanya lebih gah lagi. Maklumlah Tengku Razaleigh orang lama kalau dia berada dalam majlis Najib boleh menambahkan seri kepada Umno.

Di celah-celah ini saya hendak tanya sedikit, kenapa Annuar Musa yang mengiringi Mustapa dan Awang Adek untuk berjumpa Tengku Razaleigh. Atas kapasiti apakah beliau ikut sama ke Langgak Golf? Kenapa tidak Norzaidi Omar selaku setiausaha badan perhubungan Umno atau pun Hanafi Mamat selaku Bendahari Umno? Kenapa Annuar Musa. Dia tidak ada apa-apa jawatan dalam badan perhubungan Umno Kelantan kecuali sebagai ketua bahagian Ketereh.

Apakah kerana Annuar Musa kini selaku Presiden Kafa yang mana dia mendakawa kira-kira 200,000 penyokong pasukan gedebe merah Kelantan telah menyokong Umno? Begitukah. Dan kalau benar begitu apakah kena mengenanya penyokong pasukan bola Kelantan dengan Umno? Tidak semestinya orang yang membeli tikit untuk tengok pasukan red warriors Kelantan akan menyokong Umno.

Annuar nampaknya telah cuba hendak menjual dirinya seorang yang hebat mengurus pasukan bola sepak dengan kecerahan suka bola sepak di Kelantan akhir-akhir ini. Tetapi sekali lagi... mengurus bola tidak secara automatik boleh mengurus parti. Telah lebih 10 tahun Annuar Musa menjadi timbalan pengerusi Umno Kelantan, Umno tetap juga kalah. Umno tidak mengalami apa-apa perubahan, statik dari segi sokongan. Keadaan itu membuktikan Annuar gagal dalam politik. Dia sendiri sudah tiga kali kalah.

Apapun bagus kalau Mustapa, Awang Adek atau Annuar Musa teringatkan Tengku Razaleigh. Seharusnya begitulah kalau Umno ingin kuat dan bercita-cita untuk merampas Kelantan. Pemimpin masa kini perlu mendekati dan mendampingi pemimpin veteran yang berjasa seperti Tengku Razaleigh dan lain-lain itu. Tanpa kerjasama dan komitmen Tengku Razaleigh agak mustahil untuk Umno dapatkan Kelantan. Rahsia kekuatan Umno masih ditangan Tengku Razaleigh. Hakikat ini kena diterima.

Sepatutya mereka bertiga tidak 'buat huduh' kepada Tengku Razaleigh. Mereka tidak patut melupai Tengku Razaleigh. Sepatutnya mereka mengunjungi Tengku Razaleigh bukan hari tetapi sejak lama dulu. Mereka perlu dekat dan belajar daripada bekas Menteri Kewangan itu bagaimana hendak mencabar Pas. Mereka perlu menjadikan Tengku Razaleigh sebagai biduwanda tua yang memiliki seribu kemahiran.

Saya telah catat dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, dalam sejarah hidup Tengku Razaleigh beliau telah berjaya menjatuhkan dua kerajaan di Kelantan. Pada tahun 1978 beliau telah menumbangkan kerajaan Pas ketika. Dan pada tahun 1990 bersama Pas beliau telah menumbangkan kerajaan Umno yang dibinanya pada tahun 1978.

Tidak siapa dapat nafikan kejayaan-kejayaan ini adalah hasil daripada kerja dan strategis halus politik Tengku Razaleigh.

Sejarah itu sepatutnya dikenang oleh Mustapa, Awang Adek dan Annuar Musa yang boleh dianggap sebagai anak dan adek Tengku Razaleigh. Sayangkan mereka terlupa dan tidak melihat kehebatan Tengku Razaleigh itu. Mereka 'semabu mata' dengan pandangan dan kata-kata Mahathir Mohamad yang mengecam dan 'buat huduh' kepada Tengku Razaleigh. Annuar Musa terutamanya terbelit dalam air ludah Mahathir.

Tengku Razaleigh seorang yang gentleman dan berhemat tinggi. Dia masih terima kunjungan tiga 'pahlawan botol' itu. Beliau masih sediakan air dan kueh mueh. Kalau saya jadi anak raja itu, usahkan jamu kueh, terima masuk ke dalam rumah pun tidak. Cukuplah dengan apa yang mereka lakukan kepada Tengku Razaleigh selama ini yang melupai asal usul dan masinnya budu saat Tengku Razaleigh turun gelanggang menentang musuh.

Wajar kalau Tengku Razaleigh berbuat begitu. Apa yang mereka bertiga itu dan para pemimpin Umno Kelantan tidak lakukan kepadanya. Annuar Musa jika boleh diungkitkan dialah orang yang mengkhinanti dan derhaka kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Dialah orang yang berkata, "saya sayangkan Tengku Razaleigh, tetapi saya lebih sayangkan Umno", ketika berlaku perlawanan di antara Tengku Razaleigh dengan Mahathir untuk merebut jawatan presiden.

Apa maksud Annuar Musa itu. Dia rela membelakangkan kawan dan sahabat dari negeri sendiri dan mengangkat Mahathir setinggi langit. Nah, hari ini ketika Umo Kelantan tercungkap-cungap untuk merampas Kelantan mereka menebalkan muka datang berlutu di depan Tengku Razaleigh.

Begitu juga dengan Mustapa Mohamad dan Awang Adek, lebih kurang sama dengan perangai dan jahat budi Annuar Musa. Semasa Tengku Razaleigh bercadang hendak mencabar Abdullah Badawi untuk jawatan presiden kerana beliau nampak Abdullah tidak mampu memimpin parti dan kerajaan, kedua ketua bahagian ini tidak sudi pun memberi pencalonan kepadanya. Mereka lupa nama Tengku Razaleigh tetapi ingat nama Abdullah.

Mengenang perbuatan dan jahat budi itu sepatutnya Tengku Razaleigh tidak melayani mereka apa lagi untuk memberi nasihat dan formula terbaik dalam politik. Tetapi Tengku Razaleigh bukan seperti saya yang memang tidak boleh masuk parti politik; Tengku Razaleigh seorang yang berhemat, tinggi budi dan sedia melupai perbuatan huduh orang ke atasnya. Inilah kelebihan dan keistimewaan Tengku Razaleigh yang saya lihat kontras dengan dirinya sebagai anak raja yang selalunya sepatutnya ego dan sombong.

Saya selalu bertanya kepada diri sendiri, kenapa huduh perangai orang Umno Kelantan terhadap Tengku Razaleigh? Saya juga mencari apakah dosa Tengku Razaleigh terhadap Umno Kelantan sehingga kebaikan yang dibuatnya tidak diingati. Sikap huduh perangai inilah yang melemahkan Umno. Kalau mereka sepadu dan sepakat menyokong sesama mereka, sudah lama Umno Kelantan berjaya merampas Kelantan. Atau pun sudah lama negeri Kelantan mendapat seorang perdana menteri sama seperti Johor, Pahang dan Kedah.

Saya masih ingat sewaktu kali pertama Tengku Razaleigh hendak melangkah ke jawatan nombor dua beradu kekuatan (bertanding) dengan Musa Hitamn, (1982) orang Kelantanlah juga yang mengkhianti Tengku Razaleigh. Bahagian Rantau Panjang yang dipimpin Hussein Ahmad (Hussein Serama) awal-awal mencadangkan nama Musa Hitam.

Begitu juga dengan Muhammad Yaacob (Allahyarham) yang boleh jadi MB kerana Tengku Razaleigh juga tidak menyokong Tengku Razaleigh. Seorang lagi ialah Ketua Umno bahagian Kuala Krai Dr Nik Hussein Abdul Rahman. Orang-orang inilah menjadi penentang Tengku Razaleigh, kawan melupai kawan.

Manakala kali kali kedua Tengku Razaleigh mencuba, kali ini untuk jawatan nombor satu berlawan dengan Mahathir, (1987) orang Kelantan juga tidak memberi sokongan padu kepadanya. Sekali lagi Hussein Ahmad menjadi sang bota jaguh menolak Tengku Razaleigh. Dan kali ini ia dikuti sama oleh Annuar Musa.

Saya pernah menghimbau perkara ini, kegagalan Tengku Razaleigh untuk menjadi pemimpin nombor satu negara disebabkan sikap rakannya sendiri dari Kelantan. Kekecewaannya ialah kerana pemimpin Umno Kelantan tidak dapat melihat dan membezakan di antara intan dengan kaca. Mereka lebih terpesona dengan kaca dari luar Kelantan dengan intan yang berada di bawah telapak kaki mereka. Pemimpin Umno Kelantan dari dulu dan kini tidak merupakan jauhari yang mengenali maknikam.

Seperti dikatakan tadi, tindakan Mustapa, Awang Adek dan Annuar berjumpa Tengku Razaleigh elok untuk Umno Kelantan. Tetapi kalau Tengku Razaleigh tidak memenuhi kesemua kehendak mereka jangan marahkan beliau. Sebab sebagai manusia Tengku Razaleigh juga ada hati dan perasaan. Sebaik-baik Tengku Razaleigh dia juga ada sejuris perasaan amarah. Apa lagi selalu terjadi saat Umno Kelantan berada dalam keadaan bahaya, air di paras hidung barulah ada orang terhegeh-hegeh datang untuk meminta sufaat dan berkat darinya.
tang meminta tolong nya.

Iya Tengku Razaleigh baik, humble, berhemat dan berbudi pekerti tetapi dia juga ada prinsip dan maruah yang menjati dirikan dia sebagai seorang pemimpin bersifat negarawan. Kalau mereka bertiga jujur menjelang perhimpunan agung Umno yang melibatkan pemilihan nanti cadang dan sokonglah Tengku Razaleigh untuk merebut jawatan presiden? Bolehkah? [wm.kl.8:36 pm 01/03/12]
Post a Comment