Wednesday, November 12, 2014

Elok kalau Umno Selangor dibubar terus

PENDAPAT                                                                                                       

Ada kemunasabahan dan menarik juga cadangan Dr Mahathir Mohamad agar Umno Selangor dibubarkan. Maksud bubar oleh Mahathir itu ialah agar pengurusan Umno di negeri itu disusun semula. Tidak mungkin untuk membubar Umno.

Hasnul Badaruddin
Persoalannya kenapa sampai ke situ pandangan Dr Mahathir Mohamad. Apakah Umno Selangor berada dalam keparahan yang amat teruk? Dr Mahathir merasakan begitu apabila sudah dua penggal Umno gagal untuk merampas balik Selangor.

Memang kehilangan Selangor amat dirasai oleh Umno. Kedudukan Selangor sebagai negeri termaju dan menjadi sendi dan jantung kepada Malaysia, kehilangannya sangat dirasai. Hanya parti Pas dibawah kepimpinan ulama sahaja tidak merasakan akan kedudukan Selangor penting dalam kempen untuk mendapatkan kuasa.

Sekiranya Pas merasakan Selangor penting sebagai pemangkin atau pengkalan untuk menuju ke Puterajaya kepada Pakatan Rakyat, krisis pengantian MB Selangor sebelum ini tidak akan berlaku dan Pas tidak mengambil sikap yang mencermaskan banyak orang. Pas seakan-akan merasakan kerajaan Selangor itu "simplistik" seperti kehilangan kerajaan Terengganu dan Perak sahaja.

Sekiranya Pas merasakan Selangor penting Pas, parti agama itu tidak membuat ulah seperti berlaku itu. Dalam hal ini pujian boleh diberikan kepada dua Adun Pas, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Badaruddin (Morib) yang mengambil sikap tegas untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Selangor walaupun makenisme diambilnya mendatangkan bahaya kepada mereka sehingga digantung.

Sepatutnya pemimpin Pas menyedari kesilapan mereka dalam mencatur kuasa politik di Selangor sebagai apologetiknya dan penggantungan kedua Adun itu hendaklah dimansuhkan.

Berbalik perihal Umno Selangor tadi, saya bersetuju dengan saranan Dr Mahathir itu. Umno wajar dibubarkan bukan sahaja pengurusan atau badan perhubungannya disusun semula, tetapi bubar terus. Ahli-ahli Umno boleh dielak agar menyokong Pas atau PKR.

Sekiranya ahli Umno memberi sokongan kepada Pas dan PKR sudah tentu kerajaan Selangor yang diharap akan ditunggaki oleh Melayu akan menjadi kenyataan. Perasaan bimbang dan ragu tidak bertempat kononnya kerajaan Selangor dikawal oleh DAP tidak akan timbul lagi.

Mungkin kalau Umno dibubar tidak bermakna 12 Adunnya menyertai Pas atau PKR, tetapi Adun berkenaan boleh bersikap terbuka dan bersama (bersefahaman) untuk kepentingan bangsa Melayu dan Islam di Selangor.

Berkebetulan Selangor hari ini dipimpin oleh menteri besar yang berwawasan dan seorang yang tegas dan jelas aspirasi dalam kepimpinannya. Tidak ada sebab untuk tidak menyokong Mohamed Azmin Ali. Beberapa pendekatan dan stail kepimpinan yang ditunjuki kini berjiwa rakyat yang meletakkan keutamaan rakyat di hadapan berbanding dengan kepentingan-kepentingan lain.

Semua orang Melayu di Selangor daripada Umno harus memberi sokongan sepenuhnya kepada Azmin. Dengan sokongan yang padu daripada orang Melayu sahajalah Azmin akan muncul menjadi MB Selangor persis Harun Idris (Allahyarham) yang berjuang untuk rakyat marhaen tanpa melupakan pembangunan moden untuk Selangor.

Noh Omar nampaknya sudah mengenali dirinya sendiri yang beliau tidak mampu untuk memimpin Umno dan membawa perjuangan Melayu. Apabila berjumpa dengan Mohd Najib Razak kelak seperti mana dirancangkan Noh, elok kalau beliau memberi tahu Najib, agar jangan kacau kerajaan Pakatan Rakyat dan Azmin Ali yang menjadi MB kini.

Begitu juga kalau Noh ada maruah dan moral beliau harus melepaskan jawatan Pengerusi Umno Selangor sebaik sahaja Azmin mengangkat sumpah menjadi MB kerana sebelum ini orang yang kuat mengejek Azmin untuk menjadi MB Selangor adalah beliau. Nah, Azmin sudah pun berada ditempatnya, sementara anda masih terkial-kial mencari ruang, elok berundur dan bubarlah parti anda seperti disaran Dr Mahathir. [wm.kl.7:31 pm 12/11/14]

No comments: