Thursday, November 20, 2014

Kenapa hak perwakilan untuk sentuh isu agama, bangsa dicegah?

ULASAN                                                                                          

Setiausaha Agung Umno Teuku Adnan Mansor menngingatkan para perwakilan Umno pada perhimpunan agung parti itu minggu depan agar tidak menyentuh isu-isu sensitif mengenai agama dan kaum. Katanya selain isu itu masalah peribadi pemimpin Umno juga "haram" disentuh. (Ramaikah pemimpin Umno yang mempunyai isu-isu peribadi?).

Teuku Adnan Mansor
Isu-isu lain para perwakilan boleh bercakap seperti biasa, demikian kata Teuku Adnan.

Larangan itu memberi petunjuk Umno yang memperjuangkan bangsa Melayu dan agama, dikongkong oleh partinya sendiri. Sudah pasti bila bercakap soal bangsa dan agama tentu ia membabitkan soal-soal sensitif kerana ia untuk kepentingan Melayu dan penganut agama Islam. Sampai ke bila pun kaum lain tidak akan senang apabila kepentingan Melayu diperjuangkan. Begitu juga dengan kepentingan agama.

Apakah bermakna bagi ahli Umno kalau mereka tidak dibenarkan bercakap agenda utama perjuangan mereka? Misalnya isu agama bersabit konflit antara enakmen agama Islam dengan Perlembagaan wajar diketengahkan dalam perhimpunan berkenaan. Umno harus memperjuangkan agar hukum Islam berada di atas undang-undang sivil.

Pemimpin Umno sering menegaskan yang mereka sangat obses mengenai agama dan bangsa. Malahan mendabik dada merekalah pejuang bangsa dan agama nombor wahid di negara ini. Tetapi bila para perwakilan dilarang berbuat demikian, bererti perhimpunan agung parti itu hanya sebagai formaliti sahaja sebagai menenuhi kehendak perlembagaan parti dan juga peraturan ROS.

Barang kali isu-isu berkisar dalam 1MDB yang hebuh ditimbulkan oleh Pakatan Rakyat kini tidak termasuk dalam soal sensitif yang tidak boleh disentuh. Kalau benar, elok juga kalau perwakilan Umno bertanya mengenai isu disekitar perbelanjaan dilakukan 1MDB terutamanya menerusi Yayasan 1MDB berhubung dengan perbelanjaan menaja jemaah Haji ke Makkah meneuris Projek Khas Haji.

Seperti mana dijelaskan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan hari ini sejak tahun 2011 hingga 2014 Yayasan 1MDB telah membelanjakan sebanyak RM28.2 juta untuk menaja 2,300 orang jemaah Haji.

Peruntukan itu disalurkan menerusi 13 projek tanggungangan korporat (CSR) 1MDB yang semuanya bernilai RM RM382.3 juta.

Ada dua aspek yang boleh dibangkit mengenai hal ini. Pertama mengenai peserta yang dipilih menyertai projek berkenaan, dan kedua berhubung wang perbelanjaan jemaah berkenaan.

Mungkin perbelanjaan untuk projek sosial lain tidak menjadi masalah. Tetapi perbelanjaan menaja jemaah Haji perlu mendapat penjelasan mengenai kebersihan sumber kewangan yang digunakan itu. Kita tahu peruntukan itu diambil dari keuntungan pelaboran 1MDB daripada berbagai aspek. Apakah wang yang digunakan untuk menaja jemaah Haji itu bersih dan bukan dari sumber subahat?

Kita sedia maklum wang yang digunakan untuk menunaikan Haji perlulah dari sumber yang halal dan tidak bersubahat. Antara syarat Haji menetapkan hanya mereka yang mampu sahaja wajib menunaikan fardu Haji. Bagi mereka yang tidak mampu, maka ia tidak diwajibkan. Apakah penajaan Haji itu dibolehkan? Apa lagi kita tahu juga projek itu berupa projek gimik politik.

Kebetulan semasa di Makkah baru-baru ini saya berjumpa dengan salah seorang mutawif yang menjadi pemandu jemaah Haji dari Tabung Haji. Mutawif berkenaan mempersoalkan mengenai keafdalan jemaah Haji ditaja 1MDB. Menurut mutawatif berkenaan kehadiran jemaah Haji itu dipertikaikan kerana mereka tidak menggunakan wang sendiri. Kalau mengikut wajib Haji, jemaah yan tidak berwang tidak perlu diwajibkan menunaikan Haji.

Disebabkan ada kekeliruan dalam hal ini, elok kalau ia dibangkitkan dalam perhimpunan agung Umno kelak. Tidak ada guna kalau sumber kewangan menaja jemaah Haji itu daripada sumber yang diragui. Sebelum ini juga orang ramai mengira jemaah haji itu ditaja oleh Perdana Menteri yang mengeluarkan wangnya sendiri. Tetapi rupa-rupanya wang itu diambil daripada keuntungan pelaboran 1MDB yang kini sedang menghadapi masalah besar terpaksa menanggung hutang. [wm.kl.7:51 pm 20/11/14]

No comments: