Saat mengunjungi Allahyarham menjelang PRU ke-13. |
Sejak dari petang semalam, sebaik menerima berita kematian Allahyarham saya masih belum rehat sampailah ke saat ini.
Entah macam mana seluruh anggota semacam tidak tertakluk dengan rutin biasa lagi. Mata jadi tidak mengatuk, perut tidak lapar, tekak juga tidak merasa harus, manakala anggota-anggota langsung tidak merasa letih. Luar biasa. Semua indera nafas menjadi terhala kepada berita sedih, kematian Tokguruku Nik Aziz sehingga mengalpakan apa sahaja hal-hal lain.
Malam tadi saya cuba membuat beberapa catatan bagi mengenang Allahyarham untuk dikongsi bersama penjengok blog ini, khasnya. Tetapi tidak menjadi. Fikiran terus bercelaru sebak dan pilu mengunyah diri. Beberapa kali saya cuba mencatat tetapi fikiran buntu dan terganggu dan ada kalanya bibir keyboard menjadi mangsa hentapan keras telapak tangan.
Apa lagi keadaan ditambah dengan "kalutkala" untuk mencari tikit kapal terbang atau pun mengambil keputusan untuk pulang dengan kereta. Tetapi memandangkan malam, jarak perjalanan jauh dan kebetulan isteri tidak dapat diajak untuk menjadi teman (kerana kurang sihat), terpaksa berusaha mendapatkan tikit kapal terbang.
Jenazah dibawa ke masjid untuk disembahyangkan. |
Saya melewati jam-jam berlalu sebelum ke lapangan dengan membelek-belek dan membuka beratus folder gambar untuk mencari gambar wajah Tokguru ataupun gambar yang sempat saya rakam bersamanya untuk direnung sepuas-puasnya.
Ribuan siap untuk menyembahayangi jenazah Tokguru. |
Sanggup berjalan berkilo meter untuk ziarah jenazah Tokguru. |
Turut sama muncul Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu.
Pertemuan pagi tadi di lapangan terbang itu tidak seperti biasa, kami seakan hilang ceria dan kemurungan. Masing-masing sebak dan sedih dengan kehilangan Tokguru Nik Abdul Aziz. Belum habis terkejut dengan nasib dialami Anwar Ibrahim kini ia ditambah pula dengan dukacita kehilangan bekas MB Kelantan 22 tahun itu.
"Dia seorang pemimpin yang mulia. Saat saya menghadapi fitnah, Tokgurulah yang menasihati saya dan memberi keyakinan dan kekuatan kepada saya untuk terus berjuang," begitulah kata Minali.
"Dan apabila ibu saya dieksploitasikan oleh musuh untuk memburuk-burukkan saya, Tokguru telah meminta saya bersabar dan agar terus mengasihi ibu dan pergi ke rumah ibu dan peluk dan sayangi ibu," cerita Azmin lagi matanya mula berkaca mengenalkan nasihat Tokguru kepadanya.
Minali adalah antara pemimpin Pakatan Rakyat yang terawal berangkat ke Kota Bharu untuk menghadiri pengembumian dan memberi penghormatan kepada jenazah Tokguru. Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail katanya tiba ke Pulau Melaka menjelang malam. Dalam pada itu Perdana Menteri Najib Razak juga ikut sama memberi penghormatan terakhir bersama Mustapa Mohamed, Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain.
Keadaan di Kota Bharu tadi luar biasa daripada hari biasa. Suasana di lapangan Sultan Islam Petra Pengkalan Chepa penuh sesak dengan orang ramai. Semuanya untuk ke Pulau Melaka. Di lapangan terbang lagi sudah mendapat maklumat jalan untuk menuju ke kediaman Tokguru di Pulau Melaka sudah ditutup dan hanya kenderaan yang mempunyai pelekat khas sahaja yang dibenarkan masuk. Itu pun terpaksa berhenti jauh dan harus berjalan kaki kira-kira lima kilometer.
Mendengar itu saya sudah merasakan harapan untuk menatap buat terakhir kali wajah Tokguru kecintaaan itu sudah tidak mungkin lagi. Kesesakan dan keadaan yang tidak ubah seperti di Padang Arafah dipenuhi dengan puluhan ribu rakyat yang dari segenap penjuru negara menyebabkan saya tidak mungkin dapat menjengah masuk. Khalidnya pula sekana mahu segera jasadnya disemadikan. Tuhan sendiri seakan cemburu untuk tidak mahu membiarkan jasad Tokguru lama dinikmati orang ramai.
Sedih dan terkilan hanya Tuhan sahaja yang tahu. Namun tidak mengapa penatapan wajahnya itu adalah simbolik semata-mata sedang wajahnya sudah sekian sebati dalam jiwa ini sebagai seorang murid, sahabat dan pengkagumnya.
Dalam perjalanan terus mengharungi manusia yang memutih bagaikan ladang kapas, hati terus berdoa dan memohon maaf kepada Tokguru; maafkan aku Tokguru, kerana tidak sempat untuk menatapnya untuk terakahir kali. Ketika ini juga sebaris dialog kepada saya yang penuh nostalgi menjelma menghiris telinga; "kenapa kita nak putuskan persahabatan, kita kena bersiang (bersahabat) saya mati.."
InysaAllah saya akan cerita dan kenangkan kenapa Tokguru sampai meluahkan kata-kata itu kepada saya.
Di sini dulu, biarlah saya rihat, esok catatan balesungkawa ini akan disambung. [wm.kl.11:59 pm 13/03/15]
* Ralat: Berlaku kemasukan gambar yang palsu sebelum ini, atas kesilapan pohon kemaaf.
3 comments:
Gambar no 3 tu ialah gambar suasana sewaktu kematian tok guru baba lah sarah patani pondok bendang badang patani bukan jalan kerumah tgna
Belasungkawa bukan belesungkawa atau balesungkawa
Assalamualaikum tuan MSO. Saya teruja utk mengikuti sambungan nya
Post a Comment