Mungkin Najib jahil mengenai implikasi kalung bunga itu. |
Misalnya pemuka agama mengecam amalan pemikiran liberalisme agama dengan melemparkan tuduhan pengamalnya sebagai khianat atau pun cuba memesongkan akidah umat Islam. Lebih dahsyat lagi diseru orang ramai agar menjauhi mereka yang cuba membawa fahaman liberalisme agama.
Tetapi mengenai berpakian yang menjolok mata dan melanggari tatasusila agama tidak pula mereka dibangkit dan prihatin. Misalnya apa yang berlaku kepada Perdana Menteri Najib Razak yang memakai baju Hindu dan dikalungkan bunga sebagai meraikan kehadiran beliau ke perayaan Thaipusam dua tiga hari lepas tidak menjadi masalah. Para pemuka agama seolah buta mata dan tidak terkesan kejadian itu.
Nasib baiklah perkara menjolok mata berlaku ke atas perdana menteri itu terlihat oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang dilantik kali kedua sebagai Mufti Perlis. Beliau menegur apa yang berlaku kepada Najib itu dengan meminta para penasihat Najib tahu dan menjaga batas mana yang boleh dan batas mana yang ditegah agama demi memelihara kesuciaan agama Islam dan juga menjaga maruah Najib dalam beragama.
Dr Mohd Asri merujuk kepada pemakaian kalung bunga di leher Najib serta pengenaan baju Hindu semasa hadir perayaan Thaipusam di mana perbuatan itu boleh mencemarkan kesucian agama Islam. Nasihat Dr Mohd Asri itu ikhlas dan tidak nampak ada motif busuk.
Sepatutnya para pemuka agama berani menegur perbuatan menjolok mata seperti berlaku kepada Najib itu dan bukannya menyerang perbuatan sesetengah pihak sahaja. Dalam agama tidak ada batas atau pun pengecualian kepada perdana menteri maupun raja daripada melakukan pekerjaan menjolok mata. Kedudukan dan pangkat tidak boleh memaksumkan mereka.
Bahkan Najib sebagai perdana menteri beragama Islam seharusnya lebih susila menjaga adat-adat agama dan budaya kerana beliau menjadi ikutan. Jangan kerana hendak mengambil dan menjaga hati bimbang takut kehilangan kuasa dalam pilihan raya (politik) maka tatasusila agama dan budaya digadaikan begitu murah sekali. Cara dan kesediaan Najib menghulurkan lehernya itu menjelaskan beliau mengorbankan kedudukannya demi politik.
Sebagai seorang penganut Islam Najib harus utuh menjaga adat-adat dan batas beragama serta tidak melakukan perkara yang mensubahatkan beliau dengan sesutau perkara yang boleh membawanya ke jalan kufur dan boleh mengelirukan masyarakat.
Tahniah kepada Dr Mohd Asri yang berani dan ikhlas membuat teguran dan sikap itulah yang patut ada juga kepada semua Mufti dan alim ulama lain. Apa dilakukan Asri adalah pelaksanaan tanggungjaab dan amanah.
Biarlah hendak perlantikan Dr Mohd Asri sebagai Mufti itu membawa perubahan (pembangunan) moral dan spritual Islam bukan sahaja di Perlis tetapi ke seluruh negara. Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas perlantikan beliau itu. [wm.kl.11:07 am 06/02/15]
No comments:
Post a Comment