Friday, February 27, 2015

Tiada guna himpunan untuk selamatkan Najib

ULASAN BERITA                                                                           
   
Rancangan untuk mengumpulkan ketua-ketua bahagian Umno dalam satu perjumpaan pada 8 Mac ini bagi menyatakan solidariti kepada Najib Razak menunjukkan kedudukan Perdana Menteri itu semakin tercabar dan kritikal.

Sekiranya Najib berada dalam keadaan stabil, kukuh dan "sihat" sudah pasti himpunan berkenaan tidak perlu diadakan. Himpunan itu boleh diibaratkan himpunan untuk membaca Yassin kepada seseorang yang sedang bertarung dengan Malikimaut.

Menurut seorang ketua Umno bahagian sehingga kini 170 ketua bahagian di seluruh negara telah menyatakan kesediaan untuk hadir.

Jumlah itu tidak menggambarkan semua ketua-ketua bahagian Umno sedia hadir dan memberi sokongan padu kepada Najib. Umno mempunyai 191 bahagian di seluruh negara. Ini bermakna 21 bahagian lagi masih belum menyatakan sikap sokongan mereka kepada Najib.

Tanpa seratus peratus ketua bahagian Umno yang menyokong Najib, menjelaskan bahawa Ketua Umno Bahagian Pekan itu sudah tidak mendapat sokongan solid dalam Umno. Apakah kesemua 170 ketua bahagian yang hadir itu boleh diyakini mereka menumpahkan taat setia kepada Najib seratus peratus? Atau dalam konotasi lain mereka ikhlas membaca Yassin untuk kesejahtraan Najib?

Tentu ada yang datang kerana terpaksa, malu alah ataupun sengaja untuk menjadi pengintip dalaman atau alang-alang tikti dan wang saku sudah dihulurkan.

Mereka akan hadir atas kedudukan sebagai ketua bahagian dan himpunan itu sebahagian daripada aktiviti parti. Tetapi tidak semestinya mereka hadir untuk menyatakan sokongan. Ketua-ketua bahagian sendiri dapat melihat dan menilai kelemahan dan masalah yang berdepan dengan Najib sebagai seorang perdana menteri. Rasanya tidak semua ketua bahagian Umno berketurunan Pandir, Lebai Malang atau pun Mat Jenin.

Lambakan isu-isu di sekitar diri Najib yang menunjukkan kelemahannya telah menekan diri Najib. Antara isu-isu yang berlonggok di sekeliling Najib dan meletakkan dia sebagai seorang perdana menteri lemah, seperti isu pembunuhan Altantuya, 1MDB, kes liwat membabitkan Anwar Ibrahim, kehilangan pesawat MH370 dan juga penembakan hancur pesawat MH17.

Sehingga kini tidak diketahui apa jadi dengan nasib MH370 manakala kedudukan kotak hitam pesawat MH17 yang sudah lama ditemui tetapi belum ada apa-apa maklumat daripadanya. Kelewatan ini menunjukkan kelemahana Najib sebagai perdana menteri yang tidak dihormati langsung oleh negara asing yang terlibat dengan insiden berkenaan.

Tidak cukup dengan isu di luar diri Najib, ia ditambah dengan isu dalaman, mengenai keborosan isterinya Rosmah Mansor yang menjadi sebutan mulut kepada segenap orang, pertelingkahan dalam keluarganya mengenai harta peninggalan Tun Razak. Laporan mengatakan keluarga Najib bergeser kerana harta telah merosakan maruah dan imej Najib sebagai seorang perdana menteri.

Macam mana kamu hendak menguruskan sebuah negara sedangkan untuk menguruskan keluarga sendiri pun tidak mampu. Apa yang berlaku dalam keluarga Najib itu memberi gambaran kelemahan daya kepimpinannya dan merosakkan integriti beliau sebagai seorang pemimpin.

Selain itu masalah ekonomi dan masa depan negara juga turut mencengkam Najib. Kejatuhan nilai ringgit yang semakin hari semakin merisaukan akan menambahkan lagi "kelengguhan" Najib sebagai perdana menteri untuk berfikir.

Paling menekam dan menganggui tidur Najib kini ialah tentang "bebasnya" orang yang telah dijatuhi hukum bunuh kerana membunuh Altantuya. Suara pembunuh, Sirul Azhar Ummar dari Australia benar-benar menyebabkan Najib hilang selera makan. Kata dua yang diberikan Mahathir kepadanya; sama ada berhenti akhir Februari, atau tunggu letupan bom, juga menganggu minda Najib.

Mungkin tarikhnya sudah berlalu, tetapi apabila bom itu sudah dipasang ia boleh meletup bila-bila masa sahaja. Bom yang dimaksudkan itu mungkin pendedahan terus terang Sirul Azhar berhubung kejadian pembunuhan model Mongolia itu.

Isu-isu dan situasi itulah menyebabkan reputasi Najib sebagai seorang perdana menteri terjejas. Serangan yang dilakukan oleh bekas PM, Dr Mahathir Mohamad yang beregu dengan Daim Zainuddin juga menunjukkan Najib tidak mendapat restu dan sokongan padu bekas pimpinan Umno dan ia merupakan satu malapetaka buatnya.

Serangan Mahathir bersama Daim itu menyerlahkan bahawa Najib tidak berkeupayaan untuk menguruskan parti dan kerajaan.  Walaupun dalam masa sama Mahathir ada agenda politiknya tersendiri, tetapi apa dilakukan Mahathir itu berasas dan logi. Dia juga mungkin tidak dapat melunasi tuntutan Mahathir dan Daim yang tidak terpikul olehnya.

Justeru dengan apa yang berlaku tidak ada guna himpunan ketua-ketua bahagian Umno seperti dirancangkan itu kerana kecacatan yang ada kepada Najib sebagai perdana menteri, kelemahan dan kegagalannya tidak dapat diperbaiki dengan pernyataan solidariti itu. Ia boleh jadi hanya menjadi ruang untuk Najib mengaku bahawa dia masih mendapat sokongan walaupun semua orang sudah tahu dia semakin lemah dan lemah.

Yang pastinya dan kita semua kenal siapa Mahathir dan apa tindakannya, dia tidak akan berhenti dari menggerudi Najib. Maka adalah munasabah dan baik kalau Najib akur dengan kehendak Dr Mahathir yang seperti mana disarankan Rafizi Ramli agar meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Yang juga perlu ditinjau oleh Najib apakah dalam persidangan parlimen bermula pertengahan Mac ini akan membawa satu natijah buruk kepadanya. Atau kerana sudah terhidu apa yang bakal berlaku maka beliau mengarahkan ibupejabat Umno memanggil ketua-ketua bahagian cepat-cepat membaca Yassin untuknya. [wm.kl.10:47 am 27/02/15]

No comments: