Monday, February 9, 2015

Harap besok hakim tidak cerek berek

SENYUM HARI INI                                                                                          

Teka teki untuk hari esok; apakah Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari hukuman penjara yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan atau pun tidak akan terjawab sebelum jam 12:00 tengah hari esok. Begitulah apa yang sudah dijadualkan, kecuali Ketua Hakim Negara, Ariffin Zakarian yang mengetuai tujuh hakim mendengar rayuan Anwar itu sakit perut dan cerek berek tidak dapat hadir ke mahkamah, maka keputusan akan ditunda.

Sebelum ini Ariffin menerusi media rasmi mahkamah telah memaklumkan keputusan rayuan Anwar itu akan diumumkan 10 Februari. Kenapa 10 Februari sebelum hari raya Cina dan selepas perhimpunan agung Umno. Apakah ini bermakna Anwar berpeluang untuk merayakan tahun baru Cina? Ertinya beliau akan lepas? Kalau keputusan itu tidak menggembirakan Anwar sudah tentu keputusan itu dibuat tanpa mengambil masa terlalu lama.

Ternyata untuk menanti keputusan hari esok ia mendebarkan dan menakutkan bukan sahaja Anwar sekeluarga tetapi para pimpinan parti dan pendokongnya.


Malam ini bertempat di kediaman Menteri Besar Selangor di Shah Alam akan diadakan munajak, zikir, tahlil dan bacaan Yassin perdana, memohon kebebasan untuk Anwar. Upacara seperti itu tidak pernah dihentikan (untuk Anwar) sejak hari pertama Anwar ditahan polis selepas dipecat daripada Umno 3 September 1989 hinggalah ke hari ini.

Kebiasaanya ritual keagamaan begitu diadakan di rumahnya di Bukit Segambut. Saat-saat genting seperti esok, hari menentukan hidup mati Anwar menyebabkan majlis akan penuh sesak dengan saudara mara, sahabat handai dan penyokong Anwar yang datang dari dekat dan jauh. Mereka akan datang untuk mengambil kesempatan mengucap selamat kepada Anwar atau berjabat salam buat terakhir kali.

Gara-gara itu ada kalanya ruang di rumahnya tidak mencukupi kerana jumlah yang hadir ramai.

Apakah apabila majlis malam ini beralih ke kediaman MB ia bagi menyediakan ruang yang lebih luas untuk menampung kehadiran yang lebih ramai. Mungkin juga begitu. Pihak penganjur menjangkakan mereka yang datang untuk mendoakan kesejahtraan dan kebebasan Anwar ramai maka kediaman MB terpaksa digunakan.

Pengadaan majlis di kediaman MB itu juga menunjukkan solidariti MB Selangor Mohamed Azmin Ali terhadap Anwar. Apabila segala proses sepatutnya dilakukan di mahkamah, hanya tindakan yang boleh dilakukan berdoa dan meminta kepada Allah. Semua yang berlaku adalah di atas ketentuan Dia belaka.

Jika esok ditakdirkan Anwar gagal dalam rayuanya maka semua pihak kena redha. Apa yang lebih penting terus bertekad untuk meneruskan perjuangan yang ditajanya selama ini. Bagi Anwar tidak ada pernyataan sokongan dan dokongan yang lebih bererti melainkan terus memperjuangkan apa yang menjadi cita-cita dan aspirasinya menentangan kezaliman dan ketidakadilan yang diamalkan kerajaan UBN selama ini.

Anwar akan kecewa dan merasakan pemenjaraan itu lebih teraniya sekiranya medan perjuangan yang dibukanya sejak lebih 14 tahun lalu terpaksa ditutup kerana tidak ada persefahaman dan kekuatan jiwa para sahabat dan pendokongnya. Sebaliknya Anwar merasa bangga dan kesepian sepanjang berada dalam penjara (kalau tertakdir demikian), akan terhamat apabila perjuangan demi rakyat diteruskan oleh rakan-rakan di luar.

Kemenangan Pakatan Rakyat adalah kebebasan mutlak buat Anwar dan orang mencintai kebenaran dan keadilan.

Dihujung kata ini saya seperti orang lain juga menyakini esok Anwar akan berjaya dalam rayuan mengenepikan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini. Cukuplah dua kali apa yang berlaku dan dilakukan ke atas Anwar. [wm.kl.12:14 pm 09/02/15]

No comments: