Sunday, February 22, 2015

Shafee Abdullah lebih kurang Umi Aflida sahaja

SESUDAH SUBUH                                                                          

Shafee meneruskan kerja Umi Aflida.
Tidak timbul dan tidak penting bagi negara "tigatujuhkosongsatutujuh" ini apakah tindakan Muhammad Sahafee Abdullah yang turun ke lapangan untuk mendedahkan butiran perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim, apakah ianya menyalahi undang-undang dan boleh dikelasifikasi sebagai menghina mahkamah atau pun tidak.

Shafee merupakan ketua pendakwa yang dilantik oleh kerajaan untuk mengendalikan kes berkenaan.

Undang-undang negara ini semacam tidak terkena kepada sesiapa yang boleh membantu mengekalkan kekuasaan dimiliki oleh pemimpin Umno dan BN hari ini. Ada semacam tindakan double standard sudah lama berlaku dan ia dibenarkan.



Perkara ini boleh diperhatikan kepada apa yang terjadi. Beberapa kes sebelum ini menggambarkan kebenaran tanggapan berkenaan. Misalnya, tindakan tegas yang diambil menerusi Akta Hasutan 1948 kepada orang tertentu dan tidak kepada yang lain, menjelaskan dengan terang perkara ini. Berlaku tindakan double standard.

Kalau yang terlibat dan terancam dengan akta berkenaan terdiri daripada orang-orang daripada Pakatan Rakyat alias pembangkang, maka mereka akan disegera dikenakan tindakan.

Ditangkap digiring ke mahkamah kemudian dihukum. Tetapi kalau seseorang itu menjadi alat kepada kerajaan, menjalankan propangada memecahbelahkan rakyat untuk mengekalkan kuasa kerajaan, maka ia dimaafkan atau dilepaskan. Kalau pun ada tindakan diambil setakat menegur atau setakat diambil kenyataan kemudian dilepaskan.

Tindakan-tindakan itu lebih sebagai meraikan laporan polis yang dibuat ke atas individu-individu berkenaan sahaja atau pun sebagai menanam tebu dibibir mulut rakyat sahaja untuk mengelakkan kerajaan daripada dikatakan sebagai tidak adil dan zalim.

Demikian apa dilakukan Shafes Abdullah yang kini turun ke lapangan mengadakan ceramah menjelaskan butiran perlakuan liwat oleh Anwar. Apa dilakukan Shafee itu adalah pertama kali dalam sejarah dalam negara "tigatujuhkosongsatutujuh" ini bilamana seorang pendakwa memberi penjelasan sebagai menjustifikasikan penghakiman bersalahan terhadap Anwar.

Cara atau tindakan Shafee hari ini seolah-olah dia menjadi penceramah jemputan baru kepada Umno dalam usaha menyakinkan rakyat bahawa Anwar benar melakukan liwat dan hukuman yang dikenakan adalah tepat dan munasabah.

Tindakan Shafee itu tentu menimbulkan persoalan umum. Macam mana seorang pendakwa kepada kes yang berprofile tinggi dibenarkan untuk menjelaskan butiran perbicaraan yang diarahkan mahkamah ditutup kepada media massa. Seperti mana tafsiran beberapa pakar perundangan tindakan Shafee itu telah melakukan penghinaan kepada mahkamah. Orang juga akan persoalkan dimanakah keadilan untuk Anwar yang diharap-harapkan?

Untuk negara "tigatujuhkosongsatutujuh" saya yakin dan percaya Peguam Negara tidak akan mengambil apa-apa tindakan ke atas Shafee itu. Kita sama-sama tunggu, ianaya laksana menunggu bas di jalan keretapi.

Anwar sudah dijatuhi hukum penjara lima tahun dan sudah pun lebih seminggu menjalaninya. Badan pun sudah surut dan pinggangnya pun kembali sakit semula. Apa guna Shafee memberikan butir-butir disekiar perbicaraaan itu? Apakah beliau merasakan rakyat menolak pendakwaan dilakukan oleh beliau dan keputusan Mahkamah Persekutuan itu? Kalau begitu, kenapa?

Pecaya dan yakinlah, jelas dan terang macam mana sekalipun, rakyat tidak akan menerimanya. Rakyat tidak mudah untuk akur kepada apa yang dijelaskan itu, apa lagi kepada sesuatu yang dirancang demikian rupa. Baik dalam pendakwaan dan keputusan hakim terhadap Anwar ia gagal untuk mengikiskan kepercayaan bahawa pendakwaan ke atas Anwar itu satu pengkhiatan.

Apa lagi apabila ia dimasukan dalam jadual kempen Umno, maka kalau pun keputusan dan pendakwaan itu suci dan bersih (kalaulah) ia akan menjadi kotor dan automatik terbatal. Keyakinan rakyat yang sudah tipis akan menjadi lebih tipis dengan tindakan Shafee itu. Orang yang memberi idea untuk menurunkan Shafee seperti lembu bajak itu, adalah orang yang tidak bijak berpolitik.

Kalau sebelum ini ada orang yang menerima proses pendakwaan dan penghakiman itu, tetapi apabila Shafee dan Umno beriya untuk mempertegaskan apa yang berlaku, menyebabkan orang ramai akan mula ditimpa keraguan dan bertanya jawab sesama sendiri.

Penjelasan Shafee itu tidak memberi apa-apa manfaat. Sokongan dan simpati kepada Anwar tetap juga mengalir. Di sini bukan soal Anwar melakukan atau tidak perbuatan terkutuk itu, tetapi tindakan melampau, kejam menyebabkan Anwar memperolehi kemenangan.

Usaha Shafee itu tidak akan berjaya melemahkan sokongan rakyat khasnya pendokong Anwar. Mereka bersama Anwar bukan bersama kekotoran yang dituduh kepadanya. Tetapi mereka bersama perjuangan yang dianjurkannya. Menegakkan keadilan, membenteras kemungkaran dan membina politik baru di negara ini, merealitikan sebuah kerajaan yang mempunya tatakelola yang baik dan dipercayai.

Ketidaklunturan sokongan terhadap Anwar terserlah apabila anak-anak muda telah mengambil bahagian untuk berhimpunan pada setiap Sabtu sebagai menyatakan sokongan dan bersolidariti bagi membebaskan Anwar. Mereka tidak menghiraukan kepada tindakan pihak berkuasa dan sanggup ditangkap kerana membela Anwar. Zaman menakutkan orang dengan hiramu serkas dan rotan cabuk sudah berakhir.

Berhubung kesediaan Shafee untuk menjadi penceramah Umno, saya yakin ada sesuatu yang diburu atau dinanti oleh peguam kanan persekutuan itu. Apakah beliau mengharap upah lebih besar daripada bayaran perkhidmatan yang diberikan kepadanya sebagai ketua pendakwa? Dan kalau beliau seorang yang jujur dan bertindak secara profesional, kenapa beliau tidak "berketek" (diam membisu) terhadap proses perbicaraan pembunuhan Altantuya Shaarriibuu?

Sebagai pengamal undang-undang yang dianggap hebat dan ternama beliau seharus turut sama bercakap apa yang berlaku di sebalik pertuduhan dikenakan kepada dua anggota polis itu yang kemudian dijatuhi hukum mati. Sewajarnya kalau beliau menggunakan kepakaran undang-undang yang dimilikinya, dan merupakan seorang pengamal undang-undang yang berintegriti dan berakhlak agama, beliau gunakan kebolehan itu  untuk menghuraikan kemisterian di sebalik pembunuhan rakyat Mongolia itu. Tetapi tidak, kenapa?

Bagi saya, apa dilakukan Shafee itu turun ke lapangan untuk menegakkan keputusan mahkamah dan pendakwaan ke atas Anwar itu sebagai betul, hanya membazir masa dan tenaga sahaja. Ia juga menjejaskan reputasinya sebagai pengamal undang-undang. Kerja memburukkan Anwar di luar mahkamah sesudah dilakukan dalam mahkamah menjadikan orang akan benci dan meluat dengan mukanya. Kucing jahat sekalipun kalau dianiayai melewati perikemanusiaan orang akan marah.

Tindakan Shafee itu tidak lebih dan tidak kurang sama saja dengan apa dilakukan oleh perempuan bernama Umni Aflida suatu masa lalu dimana turun menjadi penceramah jemputan Umno untuk menelanjangkan Anwar kepada umum. Walhasil apabila kerana terlebih sangat menelanjangi Anwar akhirnya diri wanita itu sendiri terlondek dalam minda rakyat. [wm.kl.8:30 am 22/02/15]

1 comment:

washad said...

:) Nak sukko jugok baca tulisan ni...