Thursday, January 15, 2009

Dari Kuala Ke Kuala 5

Pas Terus Seleasa Tetapi Belum Sedap

SEHINGGA hari ini menjelang dua hari lagi hari mengundi kedudukan Pas dikatakan masih lagi selesa dan mendahului BN. Pas hanya perlu bertahan dengan apa yang diperolehinya, mengekalkan jumlah undi yang sudah berpihak kepadanya. Sekiranya kekuatan atau sokongan yang ada hari ini kekal mungkin Pas akan berjaya merampas kerusi Kuala Terengganu sekaligus merubah senario politik di sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu BN pula semakin terdesak. Peluru terakhir sudah mula dikeluarkan. Bermula kelmarin khabarnya BN sudah mula bermain kasar dengan melakukan ugutan dan ancaman kepada pengundi.

Kelompok pengundi dari kakitangan kerajaan dikatakan sudah diancam dan diugut. Guru-guru, kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan lain-lainnya sudah dipanggil dan diarah supaya mengundi BN. Undi dari golongan ini kira-kira 10,000.

Dapat digambarkan arahan itu menunjukkan BN merasai bahawa kedudukan mereka tidak begitu selesa. Isu-isu yang mereka paparkan sudah dirasakan tidak dapat memancing minat pengundi untuk terus bersama BN.

Manakala undi Cina tetap bersama Pas. Tidak ada apa-apa tawaran baru oleh BN yang diberikan untuk mengubah perhatian undi Cina yang sudah menunjukkan minat kepada Pas untuk berubah kepada Umno semula. Ugutan oleh Menteri Besar, Ahmad Said kepada masyarakat Cina di mana kalau calon BN kalah kerusi Exco akan ditarik balik tidak memberi kesan sebaliknya menjadi Cina marah kepada Ahmad Said.

Adalah dianggarkan dari lebih 8,000 undi Cina 60 peratus berpihak kepada Pas. Angka ini sudah cukup untuk memberi kemenangan kepada Pas. Jumlah itu meningkat berbanding dengan undi Cina yang masuk ke peti undi Pas pada pilihan raya lalu sebanyak 35 peratus saja.

Cuma apa yang membimbangkan Pas ialah mengenai pengundi luar yang berjumlah lebih kurang 6,500 hingga 7,000 undi. Siapakah yang bakal mereka undi kelak? Sekiranya Pas tidak meraih separuh daripada undi ini ia boleh mengubah suasana.

Seperkara lagi yang mungkin boleh mengubah realiti yang ada hari ini ialah peratus keluar mengundi. Sekiranya peratus keluar mengundi tinggi mencecah 90 peratus ia memberi gambaran buruk kepada Pas. Ketinggian peratus itu menyebabkan kemungkinan ada cara atau tektik lain dilakukan oleh BN.

Sebaliknya kalau peratus keluar mengundi bawah 85 peratus ia memberi keselesaan kepada Pas. Tidak mustahil dalam suasana terdesak untuk menang BN akan menerusi agensi kerajaan yang dimilikinya akan berusaha untuk meningkatkan peratus mengundi dengan cara-cara yang diamalkan sebelum ini.

Dalam pengamatan saya kalau Pas ditakdirkan menang majoritinya tidak melebihi 1,000 undi saja. Dengan jumlah itu kedudukan Pas dari segi statistiknya tidaklah begitu menyelesakan kerana angka itu boleh diubah dengan begitu mudah. Jadi dalam tempoh 48 jam akan datang Pas harus berhati-hati dan menanti serangan terakhir BN dengan sejuta dugaan dan kemungkinan. [wm.kl 9:00 am 15/01/09]

No comments: