Sunday, January 4, 2009

Laporan Lewat

Abdul Wahid Temui Anak Terengganu di Perantauan

BERTERMPAT di bangunan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Shah Alam petang tadi telah berlangsung majlis 'suai kenal' antara calon Pas untuk pilihan raya kecil P 036, Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut dengan anak-anak Terengganu yang tinggal di sekitar Shah Alam.

Majlis itu dianjurkan oleh Anak-Anak Terengganu di Perantau (Perantau).

Turut sama hadir pada majlis itu ialah barisan kepimpinan tertinggi Pas Terengganu termasuk Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya Pas Terengganu Mustafa Ali, Adun Ladang, Tengku Hassan Tengku Omar. Turut sama hadir sama Pesuruhjaya Pas Selangor, Hassan Mohd Ali dan Ketua Pemuda Sallahuddin Ayub.

Memandangkan program itu di atur dalam keadaan tergesa-gesa kehadiran menggalakkan juga. Kebanyakan mereka yang hadir bersama suami atau isteri mereka yang bekerja di sekitar Shah Alam dan kebanyakannya pengundi di Parlimen Kuala Terengganu.

Seperti mana kata Pengerusi majlis Suhaimi Embong, ia diadakan memandangkan ramai anak-anak Terengganu khususnya yang tinggal di luar Terengganu tidak berapa mengenai Abdul Wahid Endut kerana beliau bukan tokoh nasional tetapi lebih terkenal di Terengganu.

Di peringkat Terengganu Abdul Wahid dianggap sebagai seorang Adun yang aktif dan membuatkan kerajaan Terengganu senantiasa kepanasan dengan isu-isu ataupun hujah yang dibentangkannya di setiap kali DUN Terengganu bersidang.

Pernah satu masa MB, Ahmad Said dikatakan mengajaknya untuk bertumbuk ekoran isu yang dibangkitkan oleh Abdul Wahid benar-benar menyebabkan wakil kerajaan mati kuku dan malu sendiri kerana tidak mampu memberi penjelasan.

Melihat kepada pencapaian itu Abdul Wahid bukan sembarangan tokoh di Terengganu. Beliau juga dikira mempunyai pengalaman yang banyak selaku ahli Dewan Undangan Negeri kerana telah menjadi wakil rakyat selama lima penggal berturut-turut. Jarang tokoh dapat mempertahankan kedudukan seutuh itu.

Beliau juga seorang bekas ahli Exco Kerajaan Terengganu semasa Pas membentuk kerajaan pada tahun 1999. Porfolio yang dipegang ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengguna, Peniaga Kecil, Koperasi dan Belia. Dengan jawatan itu tidak hairanlah kalau beliau mengenali banyak para peniaga dan rapat dengan persatuan beliau khasnya di Kuala Terengganu.

Seperti mana dijelaskan oleh Abdul Hadi Awang pemilihannya adalah tepat dan sesuai atas beberapa faktor termasuk populariti, hubungan dengan pengundi Kuala Terengganu dan juga pegalaman Abdul Wahid di samping beliau adalah anak tempatan yang dikenali berperibadian elok.

Abdul Wahid bukan seorang baru dan bukan sangat lama. Beliau adalah tokoh pertengahan dan antara pemimpin pelapis di Terengganu. Abdul Wahid juga sebelum ini tidak pernah ditunjuk sesiapa supaya dicalonkan, demikian jelas Abdul Hadi.

Bahkan menurutnya beliau sendiri terkejut dengan keputusan parti itu. "Saya tidak mahu, tetapi kerana ia adalah amanah parti maka terpaksa juga saya memikulnya," demikianlah jelas Abdul Wahid.

Pada majlis itu Abdul Hadi secara seloroh mengatakan janganlah sesiapa marahkan kepada Abdul Wahid kerana beliau dipilih menjadi calon sebaliknya marahlah kepadanya. "Dalam soal ini Wahid tidak bersalah, tetapi kalau nak marah, marahkan kepada saya sebab saya yang memilihnya," kata Hadi.

Dalam pada itu Abdul Hadi menjelaskan beliau tidak mencadang nama Abdul Wahid, tetapi dia bertanggungjawab memilihnya setelah parti memberi mandat untuk beliau berbuat demikian.

"Allahamdulilah bila nama Wahid dikemukakan, Tok Guru Nik Aziz (Mursyidul Am) juga meretusinya apabila saya memaklumkan kepada beliau," kata Abdul Hadi.

Sementara itu barisan kepimpinan Pas Terengganu dan Abdul Wahid sangat berharap kepada anak-anak Terengganu di perantauan agar pulang untuk menyertai pilihan raya pada 17 Januari nanti.

Difahamkan terdapat 8,000 pengundi Kuala Terengganu yang berada di luar. Dari jumlah itu 3,000 pengundi dikenali pasti sebagai pengundi Pas.
"Setiap undi walaupun satu undi penting, jadi saya merayu kepada pengundi di luar Kuala Terengganu pulang pada hari mengundi untuk melakukan perubahan untuk rakyat Terengganu," demikianlah kata Abdul Wahid.

Manakala menjelaskan mengenai peluang Pas, Mustafa Ali dalam ucapannya berkata berpandukan kepada fakta Pas boleh menang memandangkan selera pengundi hari ini tidak begitu senang dengan calon BN, Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Menurutnya beberapa pihak telah menghubunginya menjelaskan mengenai rasa kurang senang mereka kepada Wan Ahmad Farid atas perbuatan dan tindak tanduknya sebelum ini yang sudah diketahui umum. "Berdasarkan fakta ini insyaAllah Pas dalam kedudukan yang lebih baik," tegas Mustafa.

Beliau juga menyifatkan pilihan raya kecil itu sangat penting kepada kedua-dua pihak sebab kalah menangnya akan memberi petunjuk suasana pilihan raya umum akan datang.

Katanya sekiranya Pas menang dalam pilihan raya ini harapan untuk tawan semula Terengganu pada piliuhan raya akan datang cerah, sebaliknya kalau BN yang menang ini bermakna harapan Pas untuk tawan Terengganu tipis.

"Jadi saya berharap pengundi memahami hakikat ini dan mestilah melakukan sesuatu pada pilihan raya 17 Januari nanti untuk melihat kejayaan Pas pada masa depan," ujarnya. Melihat kepada suasana majlis berkenaan menunjukkan rakyat Terengganu bersatu dan mempunyai keazaman tinggi untuk merampas kerusi Kuala Terengganu. [wm.kl 10:30 pm 04/01/08]

No comments: