Thursday, January 8, 2009

Sebelum Tengahari

Kutuk Israel Dan Kuatkan Perpaduan Kita

ISNIN ini ahli Parlimen Malaysia akan berhimpun untuk mengadakan sidang khas bagi mengambil resolusi berhubung keganasan dan pembunuhan di Semenanjung Gaza oleh regim terkutuk Israel. Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi akan menyampaikan usul manakala Menteri Luar, Rais Yatim akan menggulung.

Kita berharap semua ahli Parlimen akan mengambil bahagian dan diberikan masa secukupnya untuk membahas isu Palestin dan kekejaman Israel itu.

Adalah diharap persidangan Parlimen Isnin ini bukan saja setakat mengambil beberapa resolusi mengutuk Israel dan melayarkan simpati kepada rakyat Palestin tetapi ia perlu disusuli dengan tindakan fizikal yang lebih berkesan ke atas Israel dan sekutu yang bersekongkol dengannya. Kalau setakat bersidang untuk merekodkan komitmen kita terhadap apa yang berlaku di Gaza itu dan dirakamkan dalam hanserd Parlimen tidak ada gunanya.


Misalnya langkah agar memulaukan barangan keluaran Yahudi adalah langkah yang tepat. Kempen pemulauan itu perlu diperluaskan dan kalau boleh biarlah kerajaan sendiri mengambil bahagian secara proaktif.

Penghebahan jenis-jenis barang keluaran Yahudi dan negara sekutu menyokong tindakan membunuh rakyat Palestin boleh dibuat menerusi televisyen dan juga akhbar arus perdana. Jika perlu dan mempunyai peruntukan, poster kutukan dan perilaku kejam terhadap Israel dan regim Zionis itu boleh disebar dan ditampal di mana-mana tempat awam. Mungkin juga kalau munasabah boleh ditampal selang seli bersama poster dacing dan bulan purnama pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang sedang berlangsung kini.

Tidak ada guna kalau hanya resolusi dibuat tetapi tindakan susulannya tidak ada. Selalunya begitulah berlaku. Kita hanya mengutuk dan memaki hamun Isarel membakar bendera negara mereka atau replika pemimpin negara berkenaan. Membuat revolusi dan serahkan kepada Amerika dan pihak bersangkutan. Impaknya tidak seberapa. Jadi suara itu tidak ubah seperti mahu menolak gunung dengan tangan.

Jika dinilai dari segi keimanan ternyata tindakan begitu adalah serendah-rendah iman. Iman paling tinggi ialah mencegahnya dengan tangan, misalnya menghantar ketenteraan, sukarelawan ke Gaza untuk sama-sama mempertahankan tanah air rakyat Palestin. Apakah ada dikalangan kita rela berkorban untuk mempertahankan kebenaran!
Biarlah tidak mengapa kalau kita bertindak dengan tahap iman paling rendah asalkan kita berbuat sesuatu untuk mencegah kemungkaran dan menegakkan kebenaran. Tindakan sebegitu lebih baik daripada kita hanya menjadi pemerhati saja.

Selain memboikot barangan keluaran Yahudi mungkin juga tindakan diplomatik ke atas negara yang terbabit bersubahat dengan pembunuhan boleh dilakukan. Kepentingan-kepentingan Isarel dan Yahudi yang terdapat di negara kita atau masih digunakan oleh rakyat kita hendaklah diputuskan atau dilarang.

Kalau tindakan pemulauan dan tindakan fizikal itu menyeluruh pasti ianya akan memberi kesan.

Selepas sidang Parlimen nanti apakah kalau parti-parti politik di negara ini sepakat mengadakan perhimpunan ala-ala tunjuk perasaan mengutuk Israel dan Amerika. Mengapa parti politik utama tidak boleh duduk semeja untuk mengambil tindakan ke atas Israel ini. Belum pernah berlaku semua parti politik mengadakan himpunan perdana untuk sesuatu tujuan yang murni.

Mungkin sekiranya Umno, Pas, DAP, PKR dan lain-lain parti boleh duduk sekali, berhimpun ia akan menjadi satu sejarah dan apa lagi kalau kehadirannya mencecah 500,000 ia boleh dicatat dalam buku guinness books of record sebagai perhimpunan terbesar di negara ini.

Sudah tentu perhimpunan itu akan melahirkan rasa simpati besar kepada Israel dan tentunya akan menjadi iktibar dan sejarah untuk bangsa kita sendiri. Manalah tahu dengan berlakunya perhimpunan itu ia akan mendekatkan sesama kita bagi mengukuhkan kedudukan kita dan menjaga keamanan Malaysia yang disayangi ini. [wm.kl 9:00 am 08/01/08]

3 comments:

razali hakim said...

rakyat Malaysia - tak kira bangsa,agamaa dan fahaman politik -kena bersatu dan menentang kekejaman rejim Zionis keatas penduduk Palestin.sudah ramai yang menjadi korban.malah bayi dan kanak-kanak kecil turut menjadi korban serangan Zionis yang bertalu-talu.

Ibnu Ali said...

Salam.

Dulu PAS & UMNO pernah duk sekali dalam Syarahan Perdana anjuran ABIM.

Almarhum Ust Fadzil, memberi ucapan juga DR Mahathir. Menandatangani bersama membantu Palestin.

Kita boleh bersatu dalam hal Palestin.

Mungkin kali ini, semua parti poltik boleh bersatu untuk berkumpul di Stadium Shah Alam bersama rakyat Malaysia. Menyatakan bantahan terbuka kepada israel dan Amerika. Anjurkan tandatangan bantahan hingga 20 juta Rakyat.

Samad said...

Bukan mudah nak boikot barangan US dan israel sebab terlalu banyak dan hampir keseluruhannya digunakan oleh kita di sini. Dalam usaha memboikot ini, kita harus benar-benar bersedia dan kuat untuk menolak produk mereka, bukan sekadar cakap je. Ia juga memerlukan campurtangan pihak tertinggi yang melibatkan hubungan diplomatik. Walau bagaimanapun, sebagai orang Islam yang menentang sekeras-kerasnya tindakan israel, kita cubalah setakat yang mampu untuk memboikot produk US dan israel...