Sunday, May 24, 2009

Menumpah Rasa

Bangsa Politik Kumpulan Yang Rakus!

PERKARA ini sudah lama bersarang dalam kepala saya. Tetapi biarlah kali ini saya meluahkannya. Mudah-mudahan ia mendapat manfaat dan membuka pintu hati kita semua untuk merenungnya dan yang memberi kebaikan kepada kita.

Apa yang dimaksudkan itu, mengenai telatah dan sikap orang-orang politik yang pada saya begitu rakus, kejam dan kurang memiliki perasaan kemanusiaan. Apakah ini termasuk dalam rukun-rukun politik di mana kita tidak perlu memadang orang lain dan harus melihat ke dalam diri sendiri saja. Termasuk dalam paksi 4C?

Perkaranya, mengenai kegalakan kita memperkatakan soal pilihan raya tidak mengira tempat, masa dan suasana. Biasanya bila ada kematian wakil rakyat maka semua akan bercakap hal pilihan raya di kawasan itu. Bila hendak diadakan dan siapa yang akan bertanding, atau parti itu bertanding atau tidak menjadi topik hangat. Jadilah kematian itu berita hangat dalam media dan di mana-mana saja.

Sikap sebegini bagi saya sudah melampau. Kita ini seolah-olah kita tidak merasai apa-apa perasaan pun atas takdir Allah yang mematikan seseorang hamba-Nya itu yang antara lain bertujuan menginsafkan kita semua. Seolah-olah kematian itu disambut dengan rasa gembira kerana ia memberi peluang berlakunya pilihan raya kecil.

Kenapa kita begitu obses kepada hal-hal ini? Sedihnya mayat wakil rakyat itu belum pun dikafan dan disembahyangkan lagi, masih tergolek di pembaringan tetapi soal pilihan raya di kawasan yang ditinggalkan itu sudah diperkatakan. Seolah tindakan menyegerakan mengadakan pilihan raya itu lebih penting dan wajib daripada menyegerakan pengkebumian mayat wakil rakyat berkenaan.

Bukakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukan masa 60 hari untuk mengisi mana-mana kawasan yang kosong. Atau pun jika perlu selepas penggal parlimen memasuki ruang 2/3 ia tidak perlu diadakan lagi? Masa itu panjang, bukan enam hari. Apakah tidak boleh warga politik mengunci mulut daripada bercakap mengenai pilihan raya sehinggalah beberapa hari?

Misalnya biarlah kematian berlangsung selama seminggu setidak-tidaknya barulah boleh bercakap fasal pilihanraya itu. Biasanya seminggu itu keluarga si mati telah menyelesaikan segala hal-hal si mati. Perkara ini boleh diatasi kalau beberapa pihak ada perasaan kemanusiaan tinggi sesama manusia lain.

Pertama pihak speaker yang menjadi tanggungjawab memaklumkan kekosongan itu kepada SPR, saya rasa boleh memainkan peranaan untuk mententeramkan hal ini. Speaker jangan melayan pertanyaan wartawan berhubungan perkara ini dan jelaslah dengan baik, misalnya kita akan bercakap perkara ini dalam tempoh beberapa hari lagi.

Kecuali dalam keadaan tertentu bolehlah speaker menjelaskan misalnya kalau kebetulan sidang DUN hendak diadakan pada masa itu, di mana beliau boleh segera memaklumkan kepada pihak-pihak tertentu.

Kedua SPR, selepas menerima pemakluman itu tidak bolehkah tunggu sehari dua sebelum membuat tindakan untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pilihan raya di situ. Kadang-kadang pemakluman rasmi belum dibuat lagi tetapi SPR sudah bercakap mengenainya. Nampak sekali sikap aktif SPR dalam hal ini sehingga seolah-olah tidak merasa simpati kepada keluarga si mati.

Dan ketiga ialah pihak-pihak parti politik terbabit yang mungkin hendak menyertai pilihan raya baru itu. Tidak bolehkah kunci mulut tidak membuat kenyataan sehingga selepas seminggu misalnya. Hal ini boleh dilakukan kalau ketua parti itu sendiri bijaksana dan tahu bagaimana henak mengelakkan soal itu ditimbulkan.

Rasanya kalau ketiga pihak ini faham dan ada perasaan peri kemanusiaan maka tidak nampaklah politik kita rakus dan zalim kepada keluarga si mati.

Memang yang mati tidak mengetahui apa-apa urusan dunia lagi. Tetapi kena ingat mereka ada keluarga, ada anak dan ada isteri yang bersedih dan berdukacita atas kematian itu. Mereka perlu diberikan semangat dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Dengan membincangkan soal pilihan raya seolah mereka tidak dipedulikan.

Kalau perlu SPR boleh membuat peraturan secara tidak rasmi bagi mengekang kerakusan ini. Maksudnya jadikan amalan bahawa soal piliahn raya di mana-mana kerusi yang kosong selepas berlaku kematian boleh dibincangkan selepas beberapa hari kematian. Tetapkan dalam tempoh tertentu hendaklah tidak diperkatakan apa-apa mengenai termasuk spekulasi calon atau pengganti aruah itu.

Rasanya kalau dapat berbuat begitu politik kita lebih dihormati dan menampakkan bahawa kita mempunyai daya simpati dan perasaan kemanusiaan yang tinggi. Akal budi kita juga terserlah sebagai manusia yang bertamadun. [wm.kl. 2:00 pm 25/05/09]

4 comments:

Unknown said...

tuan mso,

Urusan kepimpinan bukan satu benda kecil. Kalau kita membaca sirah, sejurus selepas wafatnya Baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat sudah berkumpul untuk memilih khalifah pengganti. Secara perbandingannya, wajar kematian ADUN disambut terus dengan soal pengganti dan PRK. Cuma, kena betul bahasanya, supaya tidak jadi murahan dan boleh dimanipulasi.

Keluarga Pak Su memang faham dan tiada masalah apa-apa.
Malah kalau Pak Su dapat berkata-kata lagi, pasti arwah mengizinkan.

al-fatihah

Azman said...

Salam Tuan,

Banyak perkara saya tidak bersetuju dengan pendapat Tuan, tetapi di dalam hal ini saya sependapat dan menyokong 100% pandangan Tuan.

Terima kasih.

Azman Mohd Isa

AlHadi Tok Ayah Su (atas) said...

Nak bersetuju pun tidak tak mahu setuju pun tidak,ini kerana pernah berlaku dalam sejarah diawal islam dimana ketika apa yang berlaku dihari kewafatan Rasullah,Mohammad S.a.w para sahabat mengabaikan pengkebumian jenazah baginda sementara urusan perlantikan Khalifah didahulukan, ini bererti menunjukkan betapa pentingnya perlantikkan ketua dibuat secara secepat mungkin,cuma disegi adatnya adalah tidak baik disegi menghormati sensitivi kaum keluarga simati yang masih dilanda kesedihan dan kepiluan,jadi fikir fikirkan !

aqilfarihin said...

ada gak perasaan setuju kata2 pak mso...tp sbb manusia ini yg berbcara...KAMU SAJA LAH YG ELOKNYA, BAIK NYA BAGUSNYA!!