Melayu Punah Kerana Banyak Hero
TADI sewaktu menanti giliran untuk pemeriksaan kesihatan di Pusat Khidmat Dun Hulu Klang saya didatangi seseorang yang mengenali saya. Dia kenal dan tahu saya sebagai seorang penulis. Dia mendakwa pernah membaca tulisan-tulisan saya. Jadi peluang berjumpa itu diambil untuk menyarankan kepada saya supaya menulis bagaimana hendak memberi kesedaran kepada orang Melayu supaya bersatu dan tidak berpecah belah.
Katanya orang Melayu memang hendak bersatu. Orang Melayu sedar baik dan untungnya bersatu. Dan orang Melayu juga tahu musibah jika tidak bersatu. Cuma lagi menurutnya bagaimana kaedah untuk orang Melayu boleh bersatu, dia sendiri buntu dan tidak tahu bagaimana formulanya. Ikhlas katanya kekadang air matanya meleleh di tikar sembahyang tatkala mengenangkan keadaan bangsanya yang keretakan menanti terbelah.
Saya hanya membungkamkan diri saja. Menjadi pendengar setia dan insaf. Apa yang dirasai itu sudah lama berladum dalam jiwa saya. Kalbu saya sudah banjir dengan rasa kesal dan terkilan atas nasib, fiil dan kelakuan orang Melayu yang cerdik-cerdik bodoh itu.
Terus terang saya katakan saya sudah kecewa berusaha untuk menyatukan orang Melayu, dengan kadar kudrat yang diberikan Allah kepada saya. Namun tidak berhasil. Justeru saya mengambil sikap biarlah apa nak jadi kepada orang Melayu. Kalau Melayu hendak berlawan, berperang sesama sendiri sampai membunuh pun tidak mengapa. Berperanglah... Perasaan ini lahir kerana rasa kecewa dan fed-up saya kepada apa yang ingin saya lihatkan tidak menjadi. Dan tentulah sikap saya itu juga kerana saya Melayu yang mudah berputuas asa.
Mungkin saya akan dikatakan seorang berjiwa kecil. Biarlah... jiwa saya kecil. Mereka yang berjiwa besar sudah sampai masanya untuk tampil dan berada di barisan depan untuk menangani masalah perpecahan Melayu ini. Menghuraikan nafsu politik Melayu yang sudah tidak siuman itu. Nah marilah...majulah... dan sahutlah seruan itu.
Saya percaya orang yang membisikan itu juga beperasaan begitu. Tetapi dia tidak sekecewa saya, mungkin. Dia masih menyimpan harapan untuk melihat bangsanya hidup aman damai dan bermaufakat untuk keberkatan masa depan. Kenapa saya berkata begitu, kerana dia masih rajin berusaha dan mengajak ke arah itu. Masih rajin bercakap ke arah itu. Tetapi kalau saya sudah malas, dan apa yang saya hendak lihat ialah perang sabil bangsa Melayu.
Apabila saya bersendirian kata-kata dan harapan orang itu bermain dalam kepala saya. Entah kenapa dia mengusik hati saya. Betapa saya dapat merasakan harapan itu terlalu tinggi dan suci. Dia mempunyai jiwa yang syahadu. "Saudara tulislah agar Melayu bersatu, carilah kaedah dan formulanya...," begitu pesannya kepada saya dengan nada hampir merintih. Pesanan itu terngia-ngia di kepala.
Apabila saya merenung ke dalam dan ke luar melihat nasib Melayu ini, terfikir kepada saya kenapa keadaan Melayu jadi begini. Berpecah dalam kelompok-kelompok tersendiri. Entah kenapa terlintas dalam kepala sebabnya sangat mudah, kerana politik ya, kerana perebutan kuasa ya.. tetapi kemuncaknya ialah kerana Melayu banyak hero. Orang Melayu hari ini sudah banyak sangat orang yang berani yang ingin menjadi juara dan hero.
Orang berani ini semua bangkit atas alasan dan pengakuan hendak mempertahankan Melayu dan agama kononnya. Semua berlawan dengan senjata dan modal yang sama. Jadi bila banyak sangat hero maka orang Melayu kabur tidak tahu mana satu hero tulen untuk didokongnya. Inilah menjadi puncanya. Hero ini pula menawarkan pelbagai kehebatan masing-masing. Kononnya memiliki kuasa sakti dan kekeramatan tersendiri. Semuanya ada tangkai dengan hanya mengtakan 'sim silabim adabrakadabra" semuanya akan beres.
Masing-masing mengaku dialah yang betul, yang benar dan bijaksana. Jadi selagi hero-hero ini tidak dibunuh secara hidup-hidup maka selama itulah kehidupan orang Melayu akan bercemperian. Nasib orang Melayu akan jadi macam ribut yang melayang dan beterabangan tanpa hala tujuan dan pedoman yang jelas kecuali dipandukan nafsu sekarahnya saja.
Hero-hero ini sudah menjadi kepala ribut sebenarnya. Kepala ribut yang gila mengganas. Ia bertiup tanpa ada arah yang satu lagi. Umpama angin ribut yang akan mencabut segala apa yang ada di hadapannya. Jadi dalam keadaan hero Meayu yang macam angin ribut yang gila ini, sukar untuk Melayu bersatu atau tidak bercakaran sesama sendiri. Ia akan terus berlaku sehinggalah masing-masing keletihan...
Kepada yang bertanya tadi, saya telah memberi jawaban melalui anologi ini. Ertinya selagi musim ribut ini berterusan jangan kita cuba hendak hadang pertemburan dan pencakaran ini. Biarkan ia... Jika kita menghadangnya ia akan landa dengan diri kita sekali. Apabila musimnya sudah habis dan kegilaan sudah reda maka ia akan berhenti dengan sendirinya.
Sesudah ia berhenti nanti maka saat itu kita akan melihat daun-daun kayu yang keguguran kerana dipukul ribut. Batang yang bertunggang langgang kerana dicabut ribut. Pokok kayu kecil besar akan 'keluyahan' menjadi lumat dan hilang rupa wajah kerana diasak ribu menggila itu. Nah ketika itulah kalau masih ada kudrat tersisa untuk kita yang sudah lama insaf ini mampir untuk membangun dan menyempurnakan semula keadaan. Dan menyusun sebuah keruntuhan itu tentu memakan masa yang lama.
Kepada yang menimbulkan persoalan ini, diucapkan terima kasih. [wm.kl. 6:37 pm 19/06/11]
2 comments:
satu perkara yang aku perhatikan. orang melayu suka bunuh pemimpin mereka. berlawan memang pada mula pakai hujjah, dah kalah buang peraturan perlawan.
Kalau HAMAS dan FATAH di Palestin boleh bersatu untuk kesatuan umat, kenapa kita Malaysia yang tidak ada peperangan sukar utk bersatu...mungkin nak tunggu musibah besar baru nak bersatu?satu kecelakaan besar bagi umat Islam di negara ini..persoalannya,sampai bila politik melayu harus begini?itulah bahananya bila berkiblatkan politik dan demokrasi ciptaan barat...kembalilah bersatu wahai umatku,cari titik persamaan antara kita..berpolitiklah cara Islam,InsyaAllah,negara kita akan sentiasa dibawah naugan-NYA..baik UMNO maupun PAS,buang ego masing2..kuasa politik hanya sementara..ianya hanya jalan,bukan destinasi...fikirkan!!!
Post a Comment