Saturday, July 28, 2012

Lagu Mana Tengku Razaleigh Hamzah?

IFTAR POLITIK

Orang-orang ini yang melakukan pengkhinatan kepada parti dan pecah amanat terhadap rakyat dan pengundinya apabila mereka meninggalkan parti dan mengoyakkan lambang yang membawa kemenangan mereka dalam pilihan raya umum ke-12 lalu mungkin tidak perlu ditanya lagi mengenai nasib mereka pada pilihan raya akan datang.

Hujung jatuh mereka sudah dapat diramalkan awal-awal lagi, selepas ini mereka akan jadi seperti kerangka layang-layang atau wau yang putus tali dan tersangkut didahan tinggi. Mereka tidak akan dipeduli sesiapa lagi.
Tengku Razaleigh meletakkan dirinya dalam berteka-teki.

Mereka akan kering begitu saja dan tinggallah kerangka di atas dahan kering itu yang tidak sudi pun disentuh dan disapa sesiapa, hatta burung hantu. Ada sekurang-kurang tujuh atau lapan orang yang kini hayat politiknya macam wau terdangkut di dahan tinggi.

Antara mereka ialah Inchek Ibrahim Ali, (Pasir Mas) yang bertanding atas lambang Pas. Sebelum ini beliau berjanji akan bersetia dan menyokong Mursyidul Am Pas, kemudian berpaling tadah sambil memancar kencing kepada tokoh spritual Pas itu. Setiap hari dan masa beliau disumpah dan dihina oleh penyokong dan ahli Pas.

Yang lainnya ialah wakil rakyat 9/10 yang bertanding atas tikit PKR di Kulim - Bandar Baru. Hanya semata-mata kerana untuk menjaga elaun dan mendapat sedikit upah wakil rakyat 9/10 ini sanggup mengkhinati dan pecah amanat kepada partinya. Untuk menunjukkan dia benar hampir setiap kali bercakap dalam dewan bergubal dan bersalut pembohongan demi pembohongan.

Yang lain lagi, Abu Zaharin, Cina bernama Teng Beng, Wee Chee Keong dan lain-lain. Sudah pasti selepas ini mereka tidak akan bertanding lagi dan kalau pun bertanding peluang untuk menang setipis kulit bawang merah. Kalau bawang besar kulitnya tebal sikit.

Atas perbuatan mereka itu bukan saja rakyat dan pengundi yang memberi undi kepada mereka, membenci dan 'murih merana' tetapi saya rasa kerusi di parlimen yang mereka duduki juga ikut sama menyampah dan menyumpah mereka. Bangunan parlimen juga benci meluat melihat muka mereka dan mendengar suara mereka melakukan pembohongan dan fitnah di dewan yang mulia.

Kalaulah pintu pagar parlimen dapat bercakap dan bergerak pasti, mereka ini akan dikejar hingga ke Chow Kit Road oleh pintu pagar parlimen. Usahkan ahli parlimen lain, cicak dan lalat yang tersesat masuk dalam bangunan parlimen juga melarikan diri apabila ternampak wajah mereka bimbang takut berjangkit penyakit munafik mereka. Buruk...sekali.

Biarlah mereka dalam bungkusan sejarah buruk dan busuk. Dunia politik selamanya akan menyebut dan mengenang mereka sebagai seorang politician munafik dan oportunis. Kalau mereka mati perbuatan mereka itu tetap akan disebut dan dijadikan sepadanan hidup manusia politik. Demikianlah mereka akan dikeji bagaimana orang mengeji para diktator dan penjenayah agama dan makhluk lainnya.

Usah sebut dan kenang mereka lagi. Tetapi bagaimana dengan seorang lagi ahli Parlimen yang kedudukan dan pendiriannya kini tidak menentu. Hitam pun tidak putih pun bukan. Dia dimaksudkan itu Tengku Razaleigh Hamzah ahli Parlimen Gua Musang. Kedudukan Razaleigh menjadi tanda tanya, apakah dia akan bertanding lagi dalam pilihan raya akan datang ataupun bagaimana?

Kalau bertanding apakah dia akan terus menggunakan lambang dacing atau pun lambang lain? Umno seakan memberi laluan kepada Razaleigh. Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed ketika ditanya mengenai hal Razaleigh mengatakan tidak ada masalah kalau Razaleigh berhasrat terus bertanding atas tikit Umno. Umno sendiri mahukan kepada Razaleigh kerana dia mampu mengekalkan kerusi Gua Musang dan memberi mata kepada Umno Kelantan.

Itu perkiraan Umno terhadap Razaleigh. Umno membuat perhitungan begitu kerana parti itu merasa takut dan terus mengenang zaman kehebatan Razaleigh sebelum ini. Walhal kalau pun Umno mempertaruhkan Razaleigh belum tentu lagi anak raja itu dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi sebanyak tujuh atau lapan kali itu. Perlu diingati dalam pilih raya 1999 Razaleigh menang dengan majoriti jauh lebih rendah dengan dicapai sebelum ini.

Kenapa Umno begitu takut dan bimbang dengan Razaleigh? Di Gua Musang Umno ada banyak tokoh yang boleh diletak untuk menggantikan Razaleigh. Keadaan Razaleigh di Gua Musang kini tidak ubah seperti Quran buruk di mana masih ada pengaruh dan keramat tersendiri. Sampai bila Umno mahu menjaga Quran buruk berkenaan?

Itu dipihak Umno dalam melihat Razaleigh. Tetapi bagaimana dengan pendirian dan prinsip ahli parlimen itu sendiri. Satu masa beliau dilihat tidak sejalan dengan Umno, tetapi di dalam masa lain masih mengharap kepada Umno. Pada ketika lain beliau mengeluarkan kenyataan negatif mengenai Umno Kelantan dan keupayaan Mustapa Mohamed sebagai ketua.

Sebaliknya dimasa lain dia tetap mahukan Umno menang di Kelantan. Semasa merasmikan mesyuarat PIBG di Paloh beliau dilapor berkata menyeru orang ramai supaya memberi kemenangan kepada Umno. Sikap dan pendirian Razaleigh ini membingunkan sesetengah orang.

Bagaimana pun yang pastinya beliau ada agenda dan 'buah kilas' tersendiri. Beliau tentu sudah ada perhitungan untuk diri dan politiknya. Cuma bagi saya, saya nampak bekas menteri kewangan itu begitu sayang dengan Umno walaupun dia mengetahui Umno tidak sayang kepadanya. Apa yang dinanti oleh Razaleigh ialah keputusan pilihan raya umum nanti. Ada sesuatu yang beliau berharap kepada keputusan pilihan raya itu. Keputusan pilihan raya akan menjawab segala teka teki mengenainya.

Pada hemat saya Razaleigh menanti Umno tidak mendapat keputusan dua pertiga. Keputusan itu nanti akan ditafsirkan sebagai kelemahan Najib Razak sebagai pemimpin. Waktu inilah nanti Razaleigh akan muncul bagaikan dewa dari langit akan menawarkan diri untuk menyelamatkan Umno. Jadi boleh disimpulkan Razaleigh kini sedang menahan luka di pergentingan. Dan beliau layak untuk berbuat demikian memandangkan ketulusan dan keikhlasan perjuangan dalam Umno. Jika ahli dan penyokong Umno sayang dan cintakan Umno, Razaleighlah yang perlu memimpin parti itu.

Masalahnya apakah telahan dan ramalan beliau itu akan menjadi kenyataan. Bagaimana pula kalau selepas ini Umno menang cemerlang atau pun hilang kerajaan sama sekali. Dia garis mana ketika itu untuk Razaleigh berdiri? Kita tunggu sajalah kerana detik penentu itu bakal muncul juga? [wm.kl.11:30 pm 28/07/12]

2 comments:

Fakhrurrazi Ahmad said...

yang kulim tu 101% laa tuan sayuti..bukan 9/10..hehe

zul said...

Fakhrurazi ... 9/10 tu maknanya drp 9 dia cakap, 10 tak leh pakai. Seingat saya kias ni bukan drp MSO tapi drp aruah ust Fadzil Noor.. :)