Monday, July 30, 2012

Mencari Batu Tergantung Dalam As Sahkarah

CATATAN MUSIR UMRAH (4)

Banyak bungkah-bungkah bangunan dan monumen-monumen di Baitulmaqdis yang boleh dijadikan mercu tanda atau sebagai wajah pengenalan kota berkenaan. Semua bangunan purba yang terdapat di situ layak untuk dijadikan mercu tanda. Ini termasuklah tembok-tembok ketinggian mencecah lebih 35 meter dengan ketebalan 10 hingga 15 meter yang dibina di zaman beberapa kerajaan yang menguasai tanah suci itu sejak ribuan abad lalu. 

Keindahan dan kehebatan As Sahkarah.
Sesuai dengan kota yang penuh dengan ketamadunan dan sejarah agama, maka apa juga monumen yang terdapat di situ boleh dianggap sebagai mercu tanda Baitulmaqdis atau pun sebagai identiti bandar suci yang sangat dirindui itu. Apa tidaknya semua khazanah sejarah itu unik, artifek dan monumen-monumen yang masih wujud mempesona dan mengkagumkan tiada kedapatan di tempat lain.

Apa pun Qubbat As Sahkarah atau Dome of the Rock atau pun Kubah Batu adalah paling wajar dijadikan mercu tanda berbanding dengan menara-menara kuil, gereja ataupun lain-lain bangunan. Ketinggian dan rupa bentuknya mudah disambar mata, bumbungnya yang bersadur emas terpilih itu boleh dianggap sebagai mentari Baitulmaqdis. Tatakala mentari dalam perjalanan pulang ke lubuk tidurnya ia akan memanah bumbung kubah itu menyebabkan pantulan cahaya kekuningan akan menyirai dan jatuh ke segenap laman di Al Haram Al Syarrif. Pemandangan ini sungguh indah dan syahud serta mengharukan rasa hiba. Mungkin inikah syurga?

Secara umum As Sakharah telah melalui tiga zaman atau tiga periode pemerintahan; iaitu zaman Islam, perang Salib, penguasaan sementara British dan zaman kependudukan Israel kini. Cis Isreal.
Kewujudannya mengambil tempat sebagai seni bina Islam termahal dan terawal di dunia. Sejarah pembinaan modennya bermula pada tahun 687 Mesihi sehingga tahun 691 Mesihi oleh Khalifah Abdul Malik Marwan, khalifah kerajaan Ummayiah. Ia dibina selepas setengah abad kewafatan Rasulullah s.a.w. Saya tidak dapat hendak berilusi apa kata dan komen Rasulullah kalau baginda melihat akan kecantikan dan keagungannya?
 
Qubbat As Sahkarah terletak di dalam satu kawasan, Al Haram As Syarrif yang dianggarkan seluas 1,500 hektar. Di dalam ini juga tedapatnya masjid Al Aqsa yang berkedudukan kira-kira 80 meter dari laman kubah Sahkarah. Masjid Al Aqsa adalah masjid suci ketiga dan terpenting dalam Islam. Tiga entiti atau komponen ini; Al Haram Al Syarrif,  masjid Al Aqsa dan As Sahkarah sukar dipisahkan. Ia adalah 'triniti' yang membentuk kompleks agung itu.

Yang jelas, As Sahkarah adalah satu entiti yang memiliki sejarah dan kelebihan tersendiri yang tidak ada kepada masjid Al Aqsa. Bahkan sejarah keagamaan inilah menjadikan kawasan Al Haram As Syariff  itu sebagai tempat suci yang mana diiktiraf oleh Quran tempat suci ketiga bagi Islam. Jika tidak wujud Qubbat As Sahkarah di situ, Al Haram Al Syariff tidak mempunyai apa-apa erti dan keawliatannya.

Di sini saya hendak menceritakan mengenai kelebihan dan keistimewaan Qubbat As Sakharah terlebih dahulu kemudian saya akan memberi gambaran mengenai suasana dan keadaan lapangan Al Haram Al Syariff pada catatan lain. InsyaAllah ia akan dirangkumi dengan catatan atau lakaran rasa terhadap masjid Al Aqsa serta kisah-kisah atau kesan-kesan sejarah lain terdapat di sampingannya yang sungguh mengharukan.

Banyak kekeliruan mengenai kubah yang juga dikenali dengan Kubah Baru ini sebenarnya yang sengaja dipesongkan oleh penentang agama Allah yang benar, Islam. Saya mengira orang Yahudi cuba memesongkan kerana ada tujuan dan strategi tertentu. Satu masa dan sterusnya Yahudi begitu mengidam untuk menguasai tapak masjid al Aqsa kerana mempercayai di situlah terletakkan tapak Kuil Solomon (Nabi Sulaiman) yang menjadi pujaan mereka. Jadi apabila mereka mengalihkan pandangan dengan menamamakan As Sahkarah sebagai masjid al Aqasa menyebabkan pemerhatian dan penjagaan umat Islam akan terfokus kepada kubah batu itu. Dalam masa sama mereka terus berusaha untuk menawan dan merampas masjid Al Aqsa.

Saya sendiri dulu menganggap Kubah Batu ini sebagai masjid Al Aqsa. Sekeping gambar yang saya beli di Sarajevo, Bosnia-Hezegovina, (2003) memberi caption ia sebagai masjid Al Aqsa. Sehinggalah seorang tetamu datang ke rumah yang melihat gambar itu memberi penjelasan bahawa yang tertera itu bukan masjid Al Aqsa tetapi As Sahkarah.

Keizinan Allah membenarkan saya mengujungi Baitulmaqdis dua minggu lepas memberi kesempatan kepada saya untuk menjamah dengan fizikal kubah berkenaan dan merasai akan keajaibannya dengan jiwa sendiri. Kesempatan itu juga memberi peluang untuk saya mengenali kedudukannya serta mengetahui beberapa rahsia yang sulit yang ada di sekelilingnya. Pengenalan saya kepada Sahkarah kini bukan secara zahiriah tetapi menerusi naluri spritual juga. 

Paling bertuah saya masuk sendiri ke dalam kubah berkenaan yang berbebntuk bulat pesegi yang saya anggar keluasan atau saiznya 250 atau 350 meter. Ada beberapa kesan sejarah yang terlindung di bawahnya. Yang paling bernilai ialah tempat di mana Rasulullah mendirikan solat sebelum baginda 'mikraj' ke langit. Tempat ini terletak di dalam sebuah gua kecil yang posisinya menurun ke bawah. Untuk turun ke gua ini perlu melalui beberapa anak tangga. Dipercayai dan dianggap di situlah tempat Rasulullah bersolat sebelum mikraj – naik ke langit.

Hampir setiap hari gua kecil berkeluasan 20 kali 30 meter ini dipenuhi dengan pelawat yang mengambil kesempatan meninjau dan mendirikan solat hajat, berdoa dan bermunajat. Ia dianggap sebagai lokasi mustajab untuk berdoa. Rasanya elok sesiapa yang hendak menjadi calon dalam pilihan raya atau pun bagi mendapat jodoh mengunjungi Baitulmaqdis dan berdoa di sana!
Kehadiran saya itu menjawab persoalan dan teka teki selama ini yang mengatakan di bawah As Sahkarah terdapat batu yang berkedudukan tergantung. Kononnya batu itu mulanya berada dalam jarak tinggi dengan bumi tetapi menjadi semakin rendah dan hampir mencecah bumi kerana terlalu berat menanggung dosa umat manusia.Lebih 'obiuse' lagi di zaman kanak-kanak ada saya mendengar cerita apabila batu itu mencecah bumi maka kiamat pun akan berlaku. Oh... batu itu semacam suis kiamat pula!

Versi keagamaan pula dan banyak diceritakan di dalam hadith, kononnya batu itu juga mahu mengikut Nabi 'mikraj' ke langit tetapi ditahan oleh Jibrail kerana bimbang tidak mampu menghadapi cabaran dalam perjalanan menemui Tuhan. Saya tidak pasti batu mana yang disebutkan itu. Kerana tidak mungkin batu yang membentuk gua berkenaan yang dimaksudkan itu. Kalau batu (gua) itu ia merupakan komponen yang besar dan bukan bersiri individul.

Bahagian dalam kubah itu yang dianggap sebagai inti Sahkarah kini sedang dalam proses pembinaan. Kedapatan besi-besi serta peralatan pembinaan di dalamnya, bercerangahan. Kawasan sekeliling juga ditutup. Mungkin dari belah dalam kita akan dapat melihat batu yang dikatakan. Memang dari sebuah tingkat cermin dapat dilihat akan suasana di dalamnya atau lebih tepat sebagai lantai ia adalah batu. Sekali lagi dipercaya atas batu inilah tempat Nabi kita berdiri kemudian ghaib.

Dari maklumat lain, katanya batu itu memang asalnya tergantung tidak tersentuh bumi. Tetapi akhirnya ia dibina foundation atau tongkat konkrit untuk menahannya dari jatuh. Para pembesar Islam yang mengujungi ke tempat itu dikatakan tidak berani untuk berada di bawahnya kerana bimbang takut menghempap kepalanya. Gambaran ini menunjukkan batu itu tergantung? Sejauh mana benar walah’hualam kerana saya tidak nampak akan batu yang dimaksudkan itu, kecuali masuk ke dalam gua tempat dimana Rasulullah bersolat sebelum mikraj.

Kubah As Sahkarah yang ada kini adalah tambahan kepada kubah asal yang diperbuat dari kayu yang mana arahan pembinaannya dibuat oleh Syadina Ummar Khattab. Pembesaran dan pembinaanya modennya dilakukan pada zaman pemerintahan Ummayiah. Bermula di sinilah ia dibina dengan penuh aritistik sekali menjadikan ia satu-satu kubah yang terindah dan tercantik didunia seperti mana yang ada kini.

Kedudukannya atau posisinya di dalam Al Haram As Syaarif begitu strategik. Ia berada di muka pintu besar daripada 12 pintu yang terbentuk di tembok itu. Semua pintu berbentuk pintu gerbang mempunyai nama masing-masing. Beberapa pintu telah ditutup atau dibina baru kerana mengalami keretakan atau runtuh.

Nama-nama pintu itu ialah; Iron Gate, Counsul Gate, Cotton Merchant’s Gate, Abolution Gate, Chain Gate, Gate of Remission (pintu utama), Gate of the Prives, Gate of Mercy, Gate of Delness, Margibi Gate, (gate ini laluan masuk untuk bukan orang Muslim). Setiap di muka pintu ini tercegak binatang Israel dengan senjata yang mengawal dan memeriksa setiap orang yang hendak bersujud di rumah Allah itu.

Sebaik melangkah masuki menjaguk ke kawasan itu bumbungnya yang kuning keemasan menyilau ke dalam mata dan hati menyebabkan jantung kita akan berdegup kencang dan tertegun beberapa saat. Kehebatan dan keagungan daya cipta manusia menjadikan kita insaf dan tertunduk kepada ke besaran Allah.

Saat masuk keadaanya di dalamnya agak tidak terurusan. Mungkin disebabkan kebetulan proses pembaikpulihan bahagian tengah sedang dilakukan. Debu bertaburan di mana-mana sahaja. Karpet juga sudah ada yang lusus dan agak lama tidak bertukar ganti. Hanya kaum wanita dibenarkan mendirikan solat di bawah kubah ini. Pada hari Jumaat kaum wanita akan memenuhi kubah ini dan melimpah ke sekeliling sehingga hampir rapat dengan laman masjid Al Aqsa yang dikhas untuk kaum lelaki.

Para jemaah akan berhimpun atau bertompok di tepi-tepi mihrab-mihrab kecil yang dibina di sekeliling kawan As Sahkarah. Mihrab itu dulu merupakan tempat para imam muktabar membawa kitab dan mengajar. Imam Ghazali dikatakan pernah mengajar di salah satu mihrab berkenaan. Terdapat sekurang-kurang enam mihrab kecil, al-Silsilah, an-Nabwaj, al-Mikraj, al-Khalili, an-Nahawiah dan sebuah mimer bernama Burhan ad-Din.
 

Menurut seorang pengurus Al Haram Al Syariff mereka mempunyai wang terhad untuk menjaga dan menguruskan As Sahkarah. Biaya yang diperolehinya dari derma tidak mencukupi untuk menanggung kos pengurusan yang agak besar juga. Apa yang mereka dapat lakukan mengikut kemampuan yang ada. Keperluan kini sangat terdesak untuk membaik pulih atau merawat As Sahkarah. Kurang pasti pula sebanyak mana dana diberikan oleh UNESCO untuk penyelangaraan dan memelihara As Shakarah? Khabarnya As Shakarah antara bangunan sejarah dan antik yang dipedulikan UNESCO.

Penguasa binatang Yahudi menurutnya tidak membantu dan tidak akan membantu. Apa yang mereka tahu mengawal setiap pintu masuk ke Al Haram Al Syarrif 24 jam. “Yang boleh membantu ialah kaum Muslim... dan bantuan itu katanya adalah kewajiban kerana walaupun Sahkarah terletak di Baitulmaqdis tetapi dari segi spritual dan historikalnya ialah adalah milik semua umat Islam tidak kira di mana mereka berada,” ujarnya. Iya sekiranya Sahkrah runtuh atau Al Aqsa jatuh ke tangan Israel seluruh umat Islam di dunia ini perlu bertanggungjawab dan merasa malu.

Seperti saya nukilkan dalam “puipen” saya mengenai Sahkarah... “kau adalah pujaanku yang hilang kesekian lama, aku memburu dan mencari.. pertemuan ini tidak lebih dari menggantungkan rasa riduku kepadamu. Kapan lagi aku kemari? Aku sendiri sendiri pandir mengenainya... tetapi wajah mu terus termimpi-mimnpi dalam mindaki.” 

Bersambung...
[wm.kl.1;50 t/hari 30/07/12]


Bahagian dalam As Sahkarah dilihat dari tingkat bercermin.
Anak tangga untuk turun ke bawah gua.
Pemandangan dalam gua tempat Rasulullah solat sebelum mikraj.
Pemandangan bahagian dalam As Sahkarah.
Syiling As Sahkarah indan dan memegunkan.
Lagi pemandangan bahagian atas As Sahkarah.
Mihrab-mihrab kecil di laman As Sahkarah.
Lapangan dari Sahkarah ke masjid Al Aqsa.
Bergambar kenangan dengan dua sahabat, Rushdan dan Fauzi.



Post a Comment