KENYATAAN MEDIA
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menyifatkan
pengumuman dibuat Wilfred Bumnbiring di Tauran semalam bakal mengubah landskap
politik negara ini. Perkembangan itu juga disifatkan sebagai kejayaan agenda
reformasi yang diseramai 10 tahun lalu.
Mohamed Azmin Ali |
KEADILAN melihat perkembangan
politik Negeri Sabah sebagai kejayaan agenda reformasi yang disemai lebih 10
tahun yang lalu dan kini menyaksikan hasilnya dengan kebangkitan rakyat Sabah
yang berani meruntuhkan tembok ketakutan dan kezaliman; lalu menuntut reformasi
yang tulen.
Dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort
pastinya mengubah landskap politik Sabah dan menzahirkan iltizam politik rakyat
Sabah untuk mencetus serta melaksanakan agenda perubahan.
KEADILAN mengalu - alukan pengumuman Datuk Seri
Panglima Haji Lajim Haji Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing
yang meletakkan semua jawatan dari parti masing-masing; UMNO dan UPKO serta
kesediaan mereka untuk bersama Pakatan Rakyat dalam usaha melakukan perubahan
dalam sistem kenegaraan.
Kita juga menyambut baik iltizam mereka untuk
menjana kekuatan rakyat bagi melakukan perubahan di Negeri Sabah. Makanya
kerana komitmen yang jelas di kalangan pimpinan Negeri Sabah yang berani
mengambil risiko; KEADILAN tidak teragak-agak untuk bersama-sama mereka demi
rakyat Sabah.
Kerjasama yang disepakati bersama Pakatan Rakyat
merupakan titik permulaan kepada perubahan politik Malaysia dalam Pilihan Raya
Umum ke 13. Slogan 'Ini kali-lah' menandakan angin perubahan telah sampai ke
bumi Sabah. Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan
Negeri Sabah serta menikmati hasil kekayaan Negeri yang selama ini diagihkan
secara tidak adil oleh pentadbiran UMNO - Barisan Nasional (BN). Rakyat Sabah
juga perlu menolak UMNO - BN yang mengkhianati semangat pembentukan Malaysia.
Dua pengumuman penting yang bersejarah itu
menjadi bukti betapa rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan
Dato' Seri Najib Tun Razak dan BN. Tambah pula, pentadbiran Dato' Seri Najib
hanya sekadar menabur janji dan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, ianya
ditandai kegagalan untuk menepati janji.
Tekad rakyat Sabah untuk bersama
Pakatan Rakyat pada hari ini adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka
terhadap agenda Pakatan Rakyat untuk melaksanakan perubahan. Mereka yakin
dengan dasar - dasar Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga dan
perlaksanaannya akan menepati dan memenuhi hasrat dan cita - cita murni rakyat
Malaysia yang mahukan urus tadbir yang baik serta pengagihan ekonomi yang adil
kepada semua rakyat.
KEADILAN turut mengalu -
alukan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah
(APS) serta kesediaannya bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat untuk menjana
arus perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke 13.
Ini menandakan keyakinan
rakyat Sabah kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai peneraju utama dalam
Pakatan Rakyat yang insha Allah akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri
Malaysia yang ke 7. Semoga kebangkitan rakyat Sabah pada hari ini akan
menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya Kerajaan Rakyat Negeri Sabah dalam
Pilihan Raya Umum ke 13.
Salam reformasi
Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden
[wm.kl.3:55 pm 30/07/12]
No comments:
Post a Comment