Bertempat di Shah Alam malam tadi telah berlangsung forum bertajuk, Pas dan Masa Depan Politik Islam di Malaysia yang menampilkan tiga anak bekas pimpinan tertinggi Pas sebagai ahli panel. Mereka ialah anak bekas dua presiden Pas, Yusuf Rawa, Mujahid Yusuf dan Fadzil Mohd Noor, Faiz Fadzil manakala seorang lagi anak bekas Mursyudil Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Tiga ahli panel bersama moderator, Dr Hamzah. Foto AA. |
Pas itu sudah tentu tujuan pengajur ialah untuk merungkai atau pun mendedahkan watak dan gaya perjuangan bapa mereka masing-masing kepada umum, khasnya kepada para perwakilan yang akan membuat pemilihan pemimpin Pas minggu depan.
Tetapi sedikit menjadi persoalan apakah kaitan dengan politik Pas masa depan? Apakah masa depan Pas kini kabur atau pun berada di persimpangan, justeru mereka ditampilkan untuk membuka "azimat" dipakai bapa-bapa mereka yang berjaya meletakkan Pas atas peta dunia selama ini? Bahawa mereka diminta berkongsi saksiah orang tua mereka yang berjaya menjanakan Pas?
Khabarnya anak presiden Pas kini, juga turut sama sama diundang, tetapi tidak hadir kerana ada halangan lain. Tidak wajar pun kalau anak presiden hadir, apa lagi untuk memperkatakan kehebatan bapanya, kerana bapanya masih menjadi presiden dan sedang berusaha mempertahankan kedudukannya. Ketidakhadiran itu sesuatu yang patut.
Sayang majlis malam tadi tidak begitu banyak maklumat yang diperolehi daripada putera-putera perjuang Pas itu. Apa yang sempat diceritakan mengenai detik-detik manis, kejayaan, tetapi tidak disebut mengenai kegagalan dan masalah serta tribulasi mencabar dihadapi ketiga-tiga tokoh Pas itu.
Ini kerana masa sangat terhad. Tiga jam untuk berforum seperti itu dengan melibatkan ada lontaran soalan dari bawah tidak mencukupi. Forum sebegitu seharusnya berlangsung dalam suasana dan masa lebih panjang, paling tidak empat jam. Selepas ini hendaknya forum melibatkan putera pejuang atau mereka yang dekat dengan bekas tokoh Pas diadakan lebih kerap lagi bagi memberi maklumat dan juga pengetahuan macam mana orang dulu-dulu berjuang dan menjalinkan ukhwah sesama sendiri.
Dalam skop ini bukan sahaja anak-anak kepada Yusuf Rawa, Fadzil Noor atau Nik Abdul Aziz, tetapi anak-anak kepada bekas pemimpin Pas lain seperti Mohd Asri Muda, Zulkefli Muhammad, Burhanuddin Helmi, Abdul Samad Gol Ahmad Miangi, Pak Yahya Joned, Nakhaei Ahmad dan lain-lain juga perlu dipanggil.
Dengan cara itu kita bukan sahaja dapat mengenali hati budi dan saksiah mereka dari orang yang hampir dengan mereka, tetapi secara tidak langsung terus merapatkan mereka dengan gelanggang perjuangan orang tua mereka, iaitu Pas.
Sayang usaha sebgini kurang diperhatikan oleh Pas menyebabkan Pas gagal menjadi sebuah parti mempersaudarakan semua orang dan ia lebih kepada eksklusif sesama sendiri sahaja.
Bagaimana pun matlamat penganjur sedikit sebanyak terhasil menerusi forum malam tadi. Dengan mengira ia untuk memberi pencerahan dan memperlihatkan bentuk dan gaya kepimpinan ketiga-tiga almarhum. Menerusi forum ringkas malam tadi, sedikit sebanyak para hadirin dapat mengetahui tatabudi mereka dari keturunannya sendiri.
Nik Omar juga mewarisi bakat ayahnya. |
Terutamanya Nik Omar yang sebelum ini jarang turun ke gelanggang sebegitu (politik), memberi gambaran yang baik kepada umum mengenai saksiah perjuangan ayahandanya, mengenai pendekatan dan prinsip Tokguru Nik Abdul Aziz.
Kesudiannya hadir malam tadi memberi peluang terbaik untuk mendengar atau melihat Nik Aziz dari suluhan mata anaknya sendiri yang sedari kecil lagi mengekori Nik Aziz ke majlis-majlis ceramah politik dan kuliah agama. Sebelum ini yang banyak bercakap dan dirujuk mengenai Nik Aziz ialah adik kepada Nik Omar, Nik Muhammad Abduh. Justeru kehadiran Nik Omar malam tadi menambahkan lagi khazanah umum mengenai Tokguru Nik Aziz.
Walaupun Nik Omar tidak setangkas adiknya dalam politik, yang ada kalanya cerita-cerita darinya (Nik Abduh) boleh dipertikikan, tetapi beliau dapat menghuraikan dengan baik dan bercerita dengan penuh kejujuran mengenai kelebihan yang ada kepada ayahnya. Nik Omar adalah paling layak menceritakan apa yang berlaku di balik tabir perjuangan ayahnya.
Soalan yang dikemukakan oleh moderator Dr Hamzah, yang ingin mengetahui dimanakah kehebatan Tokguru Nik Aziz sehingga disayangi orang ramai dan dapat mengekalkan Kelantan selama 25 tahun dengan beliau menjadikan MB selama 23 tahun, dapat dijawab dengan baik dan padat oleh Nik Omar. Jawaban dan alur perbicaraan Nik Omar menampakkan kematangan dan dia juga bersedia kalau "disintuk limaukan" untuk mengganti ayahnya.
Menurut permerhatian Nik Omar ada tiga tunggak atau sifat utama yang meletakkan Tokguru Nik Aziz sebagai hebat dalam konteks berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai MB selama 23 tahun dan sekaligus mengekalkan Kelantan dibawah Pas selama lima penggal. Sifat dan prinsip unggul itulah menyebabkan Umno Kelantan mati kutu berdepan dengan Pas.
Pertama katanya, menurut Nik Omar ayahnya seorang yang warak. Kewarakan ini menyebabkan beliau senantiasa menjaga dirinya daripada terlibat dengan kemungkaran, kekufuran dan juga perkara-perkara subahat yang boleh merosakkan imam. "Ayah sangat mementingkan soal ini," kata Nik Omar.
Kewarukan Tokguru itu katanya berlaku dalam keluarganya, dan apa yang dipraktikan dalam keluarga itulah diamalkan dalam pentadbiran. Sebaba itu katanya, sebaik sahaja Pas menjadi kerajaan beliau mengarahkan agar wang kerajaan negeri yang disimpan dalam bank konvensional dikeluarkan dan disimpan ke dalam bank Islam.
Umum tahu hasil tindakan itulah menyebabkan bank berkonsepkan Islam berleluasa di Kelantan dan memaksa bank-bank konvensional ikut sama mempraktikan perbankan secara Islam, yang menghindarkan dari riba, tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di Kelantan.
Selain warak, Tokguru juga kata Nik Omar seorang yang zuhud. Zuhud ini bukan beliau tidak mahu kepada dunia, tetapi tidak memandang kepada kekayaan dunia. Dalam kata lain Tokguru Nik Aziz tidak menjadi kekayaan dunia sebagai tujuan dan matlamat. Beliau meletakkan dunia dalam tangannya bukan dihatinya. Sifat zuhud inilah menjadiakn beliau sederahana dalam segi berpakaian dan sebagainya, tidak bermewah dalam hidup, kerana itu bukan matlamat utama.
Menurut Nik Omar lagi, betapa Tokguru tidak mempedulikan kepada dunia, kekayaan dan sebagainya, sampai beliau tidak tahu berapa gajinya sebagai MB, kerana itu tidak penting. Hal ini sampai ke akhirat hayatnya. Ini bererti Tokguru tidak mengambil tahu mengenai kekayaan yang ada kepadanya dan wang bukan sesuatu yang diingat dan dikenang.
Menurut Nik Omar kalau dia mahu guna wang untuk sesuatu dia akan bertanya kepada pegawainya, dan pernah satu hari pegawainya berkata tidak ada wang dalam akaun, dijawabnya, kalau tidak ada tak apa kita tunggu nanti ada. Nah, begitu sekali zuhudnya Tokguru Nik Abdul Aziz beliau tidak pernah tahu berapa wang ada.
Satu lagi sifat Tokguru yang meletakkan beliau menjadi hebat ialah, istiqamah. Menurut Nik Omar tokguru tidak pernah tukar kerusi tempat duduknya dalam berusrah dengan keluarga. Dan begitulah juga dia istiqamah dengan prinsip perjuangannya. Ada dua perkara yang Tokguru mempertahankan (istiqamah) iaitu mengenai royalti minyak dan juga hukum Hudud. "Kedua perkara ini ayah tidak pernah berganjak sampai ke akhir hayatnya", tegas Nik Omar.
Sebelum itu Nik Omar menjelaskan ayahnya seorang yang "bengkeng" (garang), tetapi walaupun begitu dia disayangi semua orang termasuk yang bukan Islam. Kenapa... kerana beliau menyanjung orang dan tidak sesekali memperlekehkan apa juga pandangan dari sesiapa juga. Dalam pentadbiran dan tindakan politiknya Tokguru mengambil kira pandangan semua orang, sebab mempercayai setiap orang itu mempunyai kelebihan masing-masing.
Sesuatu yang menarik malam tadi ialah apabila Nik Omar menjelaskan penerimaan atau pandangan Tokguru terhadap tiga pimpinan Pas di Kelantan, Ahmad Yaakub, Mohd Amar Nik Abdullah dan Husam Musa.
"Tokguru pernah menyebut kepada ambo mengenai ketiga orang ini. Katanya Ustaz Mat (Ahmad Yaakub) dalam bab pentadbiran khususnya hubungan dengan istana, manakala Nik Amar pula dalam bab ceramah, kalau Nik Amar ceramah terkencing orang Umno, sementara Husam pula, dia bukan sahaja material untuk Kelantan tetapi untuk Pusat juga. Ambo ingat kata-kata Tokguru ini."
Memahami apa yang dimaksudkan oleh Tokguru menurut Nik Omar itu, Tokguru menerima ketiga-tiga orang ini sebagai pemimpin masa depan dan mereka ada kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Saya yakin dan percaya Nik Omar jujur menuturkan apa yang disebut oleh Allahyarham ayahandanya itu.
Selain itu menyentuh bab wasiat dan amanah, kata Nik Omar, beliau tidak menyebut amanah dan wasiat tertentu yang ditinggalkan Tokguru secara khusus tetapi menyimpulkan setiap percakapan, perbuatan dan perjuangan Tokguru itu adalah wasiat dan pesaka yang perlu diwarisi. "Kalau kita semua menyayangi Tokguru dan menghormatinya, maka semua wasiat itu hendaklah dipatuhi," katanya.
Dua orang lagi panelis yang membicarakan mengenai bentuk kepimpinan dan sifat bapa mereka rasanya tidak perlu saya sentuh di sini kerana sebelum ini Mujahid dan Faiz pernah tampil dalam forum bersama dimana mungkin mereka juga sudah menyebut sepintas lalu akan stail, prinsip dan sifat kepimpinan ayah mereka. [wm.kl.10:23 am 30/05/15]
No comments:
Post a Comment