Thursday, May 28, 2015

Nik Amar jangan berpolitik seperti "gogat"

RENCANA                                                                                        

Pernyataan atau mesej Mohd Amar Nik Abdullah (Nik Amar), bahawa Pas bersedia untuk berjuang bersendirian sesuatu kenyataan yang kurang bijak dan tidak mencerminkan pemikiran politik global atau pun politik maufakat yang kontradik dengan kehendak generasi baru kini.

Mohd Amar Nik Abdullah
Pernyataan berupa harapan itu menggambarkan Nik Amar atau Pas Kelantan ego dan berasakan selesa dengan apa yang ada di Kelantan sekarang ini. Pandangan Nik Amar itu tidak merupakan pandangan bersifat politik dan dilihat lebih bersifat individualistik.

Nik Amar dalam satu kenyataan yang dilaporkan, menyebut Presiden Pas boleh mencadangkan dalam muktamar, agar Pas keluar daripada Pakatan Rakyat. Kenyataan Nik Amar itu bernada berharap agar Pas mengambil jalan sunyi bersendirian daripada berkolobrasi dengan DAP khasnya dalam menghadapi BN.



Jika Nik Amar tidak ada niat ke arah untuk melalui jalan sunyi bersendirian, untuk apa beliau membuat pernyataan atau bayangan itu? Tentu ia mempunyai maksud dan tujuannya. Apakah benar apa yang saya difahami Nik Amar bersama Ahmad Yaakub sudah ada menyediakan nota persepakatan dengan Umno? Justeru untuk melaksanakan itu maka Pas perlu meninggalkan rakan lama yang telah berjasa kepada politik Pas itu? Sekiranya Nik Amar mempercayai kepada janji-janji Umno, maka beliau akan kecewa.

Ingin saya sebutkan disini pandangan bekas seorang pemimpin Umno yang dihulurkan kepada Najib Razak untuk penilaian Nik Amar dan Ahmad Yaakub bahawa pemimpin Umno itu telah memberi pesanan berupa nasihat kepada Najib Razak agar jangan sesekali membawa masuk Pas ke dalam rumah Umno. Kata pemimpin itu biarlah Pas bergeliwat dan berserabut di luar sana, kerana cara itu lebih menguntungkan Umno. Nik Amar dan Ahmad Yaakub kena faham nasihat dan muslihat ini.

Memang kita memahami kalau Nik Amar berasa cuak untuk Pas terus mengekalkan hubungan dengan DAP. Mungkin sikap pemimpin DAP, terutama Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang tidak habis-habis menyerang presiden Pas di atas "kebongolan" cara berpolitik presiden Pas itu, maka menyebabkan Nik Amar berasakan wajar kalau Pas berpisah dengan DAP. Nik Amar juga mungkin terasa dengan kritikan pemimpin DAP ke atas kegagakan kerajaan Kelantan mengatasi masalah mangsa banjir.

Boleh jadi juga Nik Amar sudah terlalu "sikir" telinganya mendengar hentaman pemimpin DAP dua beranak itu. Namun kalau pun itu sebabnya, sekiranya Nik Amar mempunyai penghayatan politik lebih jauh untuk survival dan kemajuan Pas beliau tidak mengemukakan isyarat berkenaan. Rasanya Nik Amar tahu akan untung laba dalam pilihan raya kalau Pas terus kekal bersahabat dengan DAP. Dan mengenai teguran berhubung kegagalan atasi banjir sepatutnya beliau redha dengan teguran itu kerana ianya satu kenyataan yang nyata.

Jadi kenapa beliau seperti membenci DAP? Apakah beliau membuat bayangan itu kerana mencari pengaruh menjelang muktamar awal bulan depan. Beliau mengira dengan memainkan isu membencikan DAP, beliau akan dapat meraih salah satu kerusi Naib Presiden? Kita tahu Nik Amar yang telah ternafi untuk sekali lagi bertanding merebut jawatan timbalan presiden Pas kerana dilanggar oleh orang-orang Tuan Ibrahim Tuan Man, sangat memerlukan jawatan itu.  Ramai yang tidak tahu apa yang berlaku di Kelantan yang Nik Amar sudah dilanggar "todak".

Kalau benar begitu, sebenarnya Nik Amar tidak payah memainkan isu membenci DAP. Dalam konteks Kelantan sendiri beliau tidak sukar mendapat undi penuh walaupun Husam Musa juga mempertahankan jawatannya. Husam bukan penganggu kepada beliau kerana Husam bertanding atas sifat mempertahankan kedudukannya. Nik Amar sepatut lebih jilan dalam soal ini dan beliau juga perlu duduk bersama Husam demi membangun Kelantan.

Atau pun bagi perkiraan Nik Amar, PAS, khasnya PAS Kelantan tidak memerlukan DAP. Situasi di Kelantan kehadiran DAP tidak memberi apa-apa impak kepada PAS dan mengubah status quo PAS. DAP bagi PAS Kelantan dalam perkiraan Nik Amar mungkin ibarat melukut di tepi gantang sahaja.

Kalau begitulah tanggapan dan bacaan Timbalan Menteri Besar itu ia tidak suatu pandangan profesional, dan ia menggambarkan beliau tidak menerima konsep politik global. Memang peranaan dan pengaruh DAP tidak dapat mengubah keadaan di Kelantan. Ada atau tidak ada DAP, sama sahaja bagi PAS. PAS boleh menang secara bersendirian di Kelantan kandati tanpa DAP.

Tetapi Nik Amar terlupa kepada hakikat PAS diluar sana yang memerlukan kepada sokongan DAP. Kawasan-kawasan campuran di luar Kelantan, seperti di Perak, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, yang dimenangi oleh PAS dan PKR, dalam pilihan raya lalu adalah sumbangan daripada DAP atas semangat untuk menumbangkan UBN. Untuk mengekalkan kerusi berkenaan PAS masih memerlukan sokongan dan kerjasama dengan DAP. DHPP tidak cukup kuat untuk membantu PAS.

Sepatutnya Nik Amar mengarifi hal ini dan tidak menilai kepentingan DAP dalam konteks Kelantan semata-mata. Beliau harus jenguk ke luar pintu dan bukan mengintai di jedela. Sebagai orang bakal menjadi pemimpin barisan ketiga Nik Amar patut berfikir lebih jauh dan terbuka dan mengambil kira persimpangan-persimpangan politik Pas di semua tempat bukan terfokus kepada Kelantan sahaja. Nik Amar harus melepaskan pakaian dan pemikiran kedaerahannya, tetapi menjadi figure nasional.

Cara Nik Amar berpolitik itu adalah cara lama yang sempit. Cara dimana zaman arwah ayahanya berpolitik yang cuba menafikan orang-orang bukan Melayu. Nik Amar mungkin tidak memikirkan kepada perkembangan dan nasib PAS di luar Kelantan. Sikap mementing diri sendiri ini adalah sikap cara berpolitik "gogat", atau jejentik.

Gogat yang ditelur kemudian membesar di dalam kelontong nyiur tidak pernah berasa dunia lain luas dan indah melainkan kelontong nyiur itu sahaja, sehinggalah ia tumbuh sayap kemudian keluar dari kelontong nyiur. Tetapi apabila Nik Amar bersikap demikian nampaknya dia lebih dahsyat daripada gogat. Kesimpulannya Nik Amar belum ketumbuhan sayap politik.

Sikap dan semangat ditunjukkan Nik Amar itu juga tidak mencerminkan kehandalan politik yang dipraktikan oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Maslahat yang dianjurkan oleh Nik Aziz agar berbaik-baik dengan bukan Melayu untuk mendakwah mereka tidak diteruskan oleh Nik Amar. Ertinya di sini Nik Amar cuba memansuhkan pendekatan politik Tokguru Nik Aziz.

Kalau inilah pandangan dan apa yang dikehendaki Nik Amar ertinya PAS akan tetap kekal di atas landasannya sebagai gerakan dakwah semata-mata. PAS tidak dapat menguasai banyak kerusi kalau sikap negatif Nik Amar itu dijadikan amalan. Sikap ini juga menunjukkan Nik Amar menolak realiti politik di Malaysia ini. Mungkin dengan mengambil sikap politik "betap" beginilah maka beliau mula melaungkan slogan retorik PAS, yang mana PAS tidak mengharap kepada kemenangan kerusi semata-mata tetapi lebih kepada keredhaan Allah.

Nik Amar dan mereka sewaktu dengannya masih belum dapat menghuraikan antara kemenangan dengan keredhaan. Dalam kata lain, beliau masih tidak dapat memisahkan antara asap dengan api, asap yang memedihkan mata tetapi api yang membakar kulit. Bahawa dalam kerigidan hukum itu adalah kelonggran khilifiahnya.

Kalau demikian pegangan Nik Amar dan disetujui PAS, rasanya elok kalau Nik Amar memberi bayangan kepada presiden PAS agar mencadangkan dalam muktamar kelak PAS keluar dari mengambil bahagian dalam pilihan raya. PAS tidak menyertai pilihan raya dan berstatus sebagai gerakan haraki. PAS boleh jadi seperti jemaah tabligh , atau Hizbul Tahrir, atau pun arwah Arqam. Jemaah-jemaah berkenaan tidak menyibuk diri dalam pilihan raya tetapi mereka juga turut memberi sumbangan kepada pembangunan Islam khasnya dari sudut kerohanian dan pengamalan sunnah.

Cadangan sebegitu lebih tepat dan sesuai dengan apa yang Nik Amar kehendakkan itu. Tiada guna kalau PAS menyertai pilihan raya tetapi tidak mahu berkolobrasi dengan orang lain kerana penyertaan secara bersendirian itu tetap tidak akan membawa kejayaan. Adalah dibimbangi kalau Nik Amar berjaya menduduki salah satu kerusi naib presiden dia tidak menukar falsafah politiknya itu ia akan meletakkan PAS surut ke bekalang hidup dalam buana kegogatan. [wm.kl.11:23 am 28/05/15] 

No comments: