Thursday, May 7, 2015

PRK Permatang Pauh penentu nasib PKR, Pas

JENGUK PMG PAUH                                                                      

Sekejap lagi seramai 71, 252 pengundi Permatang Pauh akan keluar untuk menunaikan tanggungjawab kenegaraan mereka yang dikehendaki oleh sistem demokrasi negara ini. Mereka akan keluar untuk memilih wakil baru mereka ke Parlimen. Walaupun ada empat nama disenaraikan untuk dipilih, tetapi pertarungan (pemilihan) sebenarnya berlaku antara Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada PKR dan Suhaimi Sabudin daripada BN.

Suasana ceramah PKR di tapak Ekspo.
BN berusaha keras untuk merampas kerusi Permatang Pauh. Kerusi itu sejak tahun 1982 ia diwakili oleh Anwar Ibrahim yang kemudian bertukar kepada Wan Azizah pada tahun 1999. Tahun 2008 sekali lagi ia berpindah kepada Anwar.

Bolehlah dikatakan kerusi Permatang Pauh milik Anwar dan Azizah secara peribadi. Permatang Pauh merupakan kerusi penuh simbolik dan menjadi sentimental value buat mereka. Kerusi itu juga menjadi simbol kekuatan PKR dan Pakatan Rakyat.

Lantaran itu BN berusaha keras untuk merampas kembali kerusi berkenaan. Bagi BN kejayaan merampas kerusi Permatang Pauh bukan sahaja setakat menafikan hegemoni Anwar di situ, tetapi ia juga bakal memberi kesan buruk kepada masa depan PKR dan juga Pakatan Rakyat seluruhnya yang terheret sama Pas yang mengira dia terselamat dan sihat kalau tidak lagi bersama Pakatan Rakyat.

Kewajiban BN di Permatang Pauh bukan sahaja untuk merampas kerusi itu tetapi memporak perandakan agenda Anwar bersama rakyat untuk mengambil pemerintahan negara ini. BN mahu menutup pintu dan lubang ke Putrajaya yang menjadi idaman Pakatan. Itulah maka UBN melakukan apa sahaja untuk merampas kerusi berkenaan. Kemenangan di Permatang Pauh seperti mereka berhasil mencabut tiang bendera Pakatan Rakyat.

Apakah BN berjaya kali ini?

Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Kadir di Rumah Kelantan.
Dalam pemerhatian saya lebih 24 jam di kawasan pilihan raya itu, kelamrin dan semalam menunjukkan ia sengit dan amat mencabar bagi PKR. Sebagai penyandang kerusi berkenaan, PKR atau Pakatan Rakyat lebih berasa teruji berbanding dengan BN. Bagi BN kalah sudah dalam tangan, menang belum tahu. Dan kalau menang, kemenangan juga ia akan merubahkan senario politik Pakatan Rakyat, kalau pun tidak terus carik dan lumat.

BN bersungguh kali ini kerana dua kali penguasa mereka mengosongkan kerusi berkenaan yang berselindung di sebalik tektikal mahkamah dan undang-undang namun tetap masih belum berjaya. Hakikat pilihan raya itu diadakan ialah untuk mengubur Anwar Ibrahim, selepas mereka tidak berjaya untuk meleburkan Anwar seperti Altantuya Shaarribuu. Politiking ini dan permainan ini kena difahami betul-betul. Pilihan raya Permatang Pauh bukan gelanggang untuk menunjuk jambul, atau pun keng siapa paling keras, tetapi ia menjadi medan memburu masa depan yang optimistik.

BN berasa lebih selesai berbanding dengan empat pilihan raya lalu di kerusi itu. Ini kerana mereka mempunyai kekuatan apabila rakan PKR, Pas ada sedikit melakukan "peliwatan" politik kepada PKR. Seperti mana diketahui Pas bukan sahaja tidak sedia menyokong Wan Azizah tetapi mereka menentang secara terang-terangan dengan menggunakan alasan berstatus "ubi setelor" kononnya Wan Azizah menolak Hudud.

Golongan ahli syurga dalam Pas telah meletakkan Wan Azizah sebagai bukan ahli syurga? Kempen secara Abu Jahal dan Abi Lahad dilakukan di tempat-tempat tertentu. Ada pengundi yang dikenal pasti penyokong Pas diugut jika keluar mengundi, apa lagi kalau mengundi Wan Azizah. Dalam satu kes 11 keluarga di Kubang Semang diberi amaran jangan keluar mengeluar. Tetapi keluarga ini tidak menghiraukan, mereka bukan saja akan keluar mengundi tetapi ikut memberi wang untuk belanja kempen PKR.

Walaupun ada usaha untuk oleh beberapa pemimpin Pas mengeluarkan kenyataan bagi mengharmoniskan keadaan, tetapi ia tidak berhasil. Sikap mendiamkan diri Presiden Pas, menyebabkan tidak ada penyelesaian sehingga ke saat ini. Keriuhan yang dimulakan beberapa hari menjelang hari penamaan calon oleh sekumpulan budak-budak cabuk Pas adalah perasmian kepada tindakan itu.

Abdul Hadi terus menjadi badak ketiduran di lebuh raya sahaja dalam menghadapi pilihan raya berkenaan. Sekiranya ada penyelesaian tuntas sudah pasti tunjuk perasaan upahan di Kubang Semang petang semalam tidak akan berlaku. Apakah Abdul Hadi merestui? Beliau harus berani menjelaskan keadaan dan menyatakan pendirian. Bermain politik seperti syaitan bisu, bukan satu politik yang bijaksana dan memperolehi keredhaan.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh bagi saya adalah perasmian yang Pas bersiap sedia membungkus tungku lekai, tikar bantal untuk meninggalkan Pakatan Rakyat dan mengungsi ke daerah baru. Dalam hubungan rumah tangga Pas dengan Pakatan Rakyat parti agama itu hanya mencari "capin" sahaja untuk berpisah. Untuk apa Abdul Hadi bersepi dan tidak berani berterus terang. Bukankah Islam itu sendiri mengajar tegas, ikhlas dan telus?

Beberapa kesimpulan yang dapat saya tarik dari pengamatan dan tinjauan semalam, PKR seakan bersendirian berhadapan dengan BN dalam pilihan raya kali ini. Dan satu kenyataan yang pahit untuk dinyatakan, bahawa PKR bukan sahaja berdepan dengan BN, tetapi bersekali dengan Pas. DAP walaupun menyatakan sokongan padu, dengan menggerakkan jentera pilihan raya membantu Wan Azizah, tetapi ia terbatas di kawasan pengundian Cina sahaja. Nasib Wan Azizah terletak ditangan pengundi Cina seramai 16,583 atau kira-kira 22.87 peratus dari keseluruhan pengundi.

Dalam tinjauan semalam sokongan Cina masih kepada PKR walaupun ada dakwaan daripada pemimpin BN, yang pengundi Cina sudah mulai berubah sikap. Dalam satu majlis ceramah di tapak Espo, ramai kelihatan anak-anak muda Cina hadir dan ini menampakkan pengundi Cina masih bersama PKR. Tidak ada himpunan besar BN dianjurkan dan ianya dihadiri orang Cina.

Sebenarnya BN sendiri sangat berharap kepada berlaku perubahan undi Cina. Mereka tidak memerlukan banyak, cukup sekadar 20 peratus hingga 30 peratus sahaja perubahan undi Cina. Dengan pernambahan itu dicampur dengan undi Melayu yang dibanci berpihak kepada mereka lebih 50 peratus BN boleh menang dengan majoriti bawah 1,000. Apa lagi kalau benar pengundi Pas bersama mereka, harapan untuk menang cerah.

"Esok kita akan saksikan, apakah orang Cina keluar mengundi atau tidak. Kita harap mereka tidak keluar mengundi, dan kalau itu berlaku kita ada harapan. Sebaliknya kalau ramai orang Cina keluar mengundi, jam 11 pagi kita sudah boleh tutup kedai," kata seorang broker politik UBN dari Kuala Lumpur.

Menang atau kalah Wan Azizah juga bergantung kepada sikap pengundi Melayu daripada Pas. Pas mendakwa mereka mempunyai 10,000 pengundi di Permatang Pauh. Sekiranya lebih separuh pengundi itu tidak keluar ia memberi pukulan maut kepada Wan Azizah. Apa lagi kalau mereka keluar dan mengundi BN, cukup suku daripada itu maka kerusi Permatang Pauh akan hanyut.

Saya sangsi juga dengan dakwaan Pas yang konon ada 10,000 pengundi itu. Kalau benar mereka ada kekuatan undi sebanyak itu kenapa Pas tidak gentlemen meletakkan calonnya. Mencabar sesama sendiri bukan perkara pelik dan ganjil bagi Pas. Bukankah untuk kerusi DUN Sungai Aceh dulu Pas ikut letakkan calon walaupun kerusi itu hak PKR? Inilah yang dikatakan politik Abdullah bin Ubai.

Mulanya ketara Pas Pulau Pinang khasnya di DUN Permatang Pasir  yang menjadi kerusi Pas, tidak memberi sokongan kepada Wan Azizah. Mereka langsung tidak membuka bilik gerakan dan menyokong aktiviti kempen PKR. Tetapi sejak kelmarin daripada risikan di luar bilik gerakan berlaku sedikit pemulihan terhadap sikap pengundi Pas ini.

Semasa saya melewati di kawasan itu petang semalam kelihatan ada petugas kempen PKR terdiri daripada muslimat Pas berjalan mengunjungi rumah-rumah pengundi. Perkembangan itu memberi gambaran sedikit postif yang Pas tidak akan bertindak seperti mana di saran oleh kumpulan tertentu. Atau mungkin juga tindakan itu kerana Pas malu mata dan untuk tidak dikatakan jahat?

Apa yang boleh saya simpulkan disini, berdasarkan senario semalam Wan Azizah masih boleh menyelamatkan kerusi berkenaan dengan majoriti bawah 5,000 undi. Walaupun ada pimpinan PKR dari Terengganu konfiden PKR boleh menang sampai 8,000 majoriti, tetapi saya meragui figure itu. Sekiranya angka itu berjaya di raih atau lebih daripada itu, ia menjadi satu suntikan semangat besar kepada Pakatan Rakyat untuk menguasai Malaysia dalam pilihan raya akan datang.

Majoriti besar yang bakal diperolehi Wan Azizah itu juga ia membuktikan penolakan kepada politik sempit daripada kumpulan anak cucu Abdullah bin Ubai dalam Pas, yang berusaha keras untuk memancung Azizah dan Anwar dan memecah mencilkan Pakatan. Mungkin majoriti besar menyebabkan orang tua mereka akan berfikir 44 kali untuk meninggalkan Pakatan Rakyat dan berdakapan disiang hari dengan Umno.  Jadi kalau mahu melihat "ikan keli dalam besen" pastikan Azizah mendapat majoriti besar. Pasti selepas ini ada orang buat pusingan U.

Saya yakin kalau kalau Pas tidak membuat onar, majoriti setinggi itu mampu diperolehi. Tetapi dengan adanya ulah daripada Pas dan sikap presiden menjadi seperti badak ketiduran di lebuh raya, ia agak mustahil untuk diraihkan. Kesimpulannya PKR khasnya Wan Azizah dalam menghadapi pilihan raya kali ini dalam situasi sangat mendukacitakan, apa ia tidak dihormati oleh rakan sendiri.

Seperkara perlu disedari sentimen dan pemilihan atas rasa kesian dan simpati sudah tidak menjadi sentimen besar dalam pilihan raya kali ini. Keadaan ini memberi kesan tidak baik kepada Wan Azizah. Manakala kalau PKR menang, apa lagi menang besar, bermakna PKR sudah boleh berdikari tanpa mengharap simpati dan air jampi Pas lagi untuk pilihan raya akan datang.

Pilihan raya Permatang Pauh yang sedang berjalan ini memberi beberapa implikasi dan natijah tersendiri. Sekiranya Wan Azizah kalah, ia akan menamatkan hubungan PKR dengan Pas menerusi Pakatan Rakyat. Kemungkinan ini akan jadi lebih cepat lagi kalau muktamar Pas Jun nanti kepimpinan Pas dimonopoli oleh ahli syurga.

Kekalahan Dr Wan Azizah juga membawa impak kepada Pas sendiri. Dengan mengira kemungkinan apa yang disebut nanti Pas akan bercemperaian, kerana hampir separuh penyokong dan ahli Pas khasnya generasi "Y" tidak menyenangi agenda yang diusahakan sesetengah pemimpin Pas kini yang ingin bergabung dengan BN.

Bagi BN pula kalau mereka menang, ia adalah kemenangan kepada kepimpinan Najib Razak. Kemenangan di Permatang Pauh itu menjadikan kemenangan berganda sebagai perisai untuk mempertahankan Najib daripada diserangi oleh Mahathir Mohamad selepas baru mengapai piala di Rompin. Kerana itu Zahid Hamidi berkerja bermati-matian untuk mencapai kemenangan bagi dihadiahkan kepada bosnya, Najib dan Rosmah. Kejayaan Zahid merampas Permatang Pauh akan mendekatkan beliau dengan kerusi TPM.

Kekalahan Wan Azizah di Permatang Pauh juga secara tidak langsung ia memberi kesan buruk kepada masa depan Pas sendiri. Di samping Pas bergembira kerana berjaya mengambuskan Anwar, tetapi Pas tidak boleh selesa, bahawa musuh selepas ini yang akan diburu Umno ialah Pas. Pas perlu memahami siapa dan apa Umno itu dalam kancah politik negara ini. Umno bagaikan seekor anjing terjempit, ataupun bagaikan Salentia. Selama lebih setengah abad beribu sejarah kebejatan Umno sudah ditulis dan dihafalkan.

Mata saya meramalkan Azizah dikira mampu mempertahankan kerusi Permatang Pauh, tetapi dengan majoriti kurang separuh daripada apa yang dicapai Anwar dalam PRU 2013 lalu. Kecil atau besar majoriti itu bergantung kepada peratus keluar mengundi. Kegagalan atau keengganan pulang kira-kira 7,000 pengundi luar boleh membawa padah kepada PKR. Hendaknya apa yang berlaku di Telok Intan tidak akan berulang di Permatang Pauh.

Apapun, berapa majoriti tidak penting bagi PKR, yang penting menang kerana kemenangan itu juga untuk membolehkan jawatan ketua pembangkang yang diidamkan oleh Abdul Hadi Awang di isi dengan Wan Azizah.

Apakah Abdul HAdi tidak memberi komitmen sepenuhnya di Permatang Pauh kerana beliau bermimpi untuk menjadi ketua pembangkang di parlimen? Jangan marah? Mat Maslan pun steady sahaja bila bercanda dengannya. Atas semangat Pakatan Rakyat, impian Hadi itu jauh panggang dari api. Itu realitinya. Walaupun Azizah tidak pandai berhujah, tetapi kelemahan Abdul Hadi tidak pandai berpolitik. Jadi mereka dalam kedudukan seri. 1 : 1.

Kepada pengundi di Permatang Pauh selamat menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin. [8:15 am 07/05/15]
Post a Comment