Friday, May 22, 2015

Hari ini genap 100 hari Tokguru Nik Aziz meninggalkan kita

PROLOG JUMAAT                                                                                              

Hari ini, 3 Syaban 1436 genap 100 hari Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meninggal kita semua. Ahad lepas saya bersama isteri semasa pulang ke Kelantan sempat singgah menziarahi pusara Allahyarham di Pulau Melaka. Suasana di permakaman menjelang tengah hari itu, lenggang dan sunyi sahaja.

Pusara Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Situsinya tidak seperti pada hari pengembumiannya dahulu dimana puluhan ribu manusia tertumpu ke situ. Segenap ruang dan celah di perkuburan itu dipenuhi dengan manusia. Semuanya hadir untuk memberi penghormatan terakhir dan menghantar jasad Tokguru ke liang lahad. 

Di bawah bangsal kecil menghadapi ke pusaranya, dua orang lelaki yang khyusuk berdoa. Mereka datang dari Melaka. Menurut mereka baru kini kesempatan untuk menziarahi pusara Tokguru selepas terlepas untuk hadir di hari pengembumian dulu. Kedua kelopak mata mereka kelihatan basah!

Ketika ini pohon samak yang sebesar pemeluk orang tua yang merimbuni dan memberi bayangan perteduhan pusara Tokguru itu sedang berbuah. Segenap ranting kelihatan kemerahan dengan buah yang sudah ranum. Berbagai-bagai jenis burung singgah dan memakan buah samak yang lazak itu.


Adat-adat ziarahi pusara.
Mereka keriuhan dengan pelbagai bunyi, seolah-olah menyambut kedatangan kami laki bini. Keriuhan beburung itu menjadikan suasana pemakaman itu hidup dan mereka seolah-olah menjagai pusara Tokguru. Seolah-olah mereka berzikir mengingati murabbi dan mujadid yang tiada itu.

Meskipun sunyi, tetapi persekitaran kawasan tenang dan mendamaikan. Suasana bersih dan kemas. Jelas pemakaman itu diberi perhatian jitu. Sebuah pintu kecil dibina yang jaraknya kira-kira 10 kaki dari pusara Tokguru. Pintu ini bagi memudahkan orang yang menziarahi masuk ke perkuburan berkenaan. Pagar juga dicap, begitu juga papan tanda pemakaman itu diberi sinar baru.


Di samping pintu itu berdiri papan tanda setinggi lebih sepuluh kaki yang menjelaskan adat-adat dan peraturan menziarahi pusara Tokguru. Difahamkan adat-adat itu adalah apa yang diajar dan disuruhkan Tokguru bila setiap kali kita menjenguk pusara. Tokguru melarang melakukan apa-apa perbuatan yang biadaah semasa menziarahi tanah perkuburan.

Papan tanda ini telah diberi sinar baru.
Mungkin mereka yang baru menjenguk ke pusara itu akan timbul sedikit pertanyaan apabila melihat pusara Tokguru dipagar atau diserukupi dengan jejak besi yang dilebelkan dengan perkataan "Pagar Ini Untuk Sementara Waktu Sahaja". 

Pintu kecil untuk masuk ke  perkuburan.
Saya difahamkan serkup besi itu dibina menjadi pagar untuk mengelakkan berlakunya bidaah. Ini kerana ada pengunjung yang mempercayai sesuatu dan taksub mengambil tanah atas perkuburan Tokguru untuk tujuan yang tidak diketahui. Jadi bagi mengelakkan perkara itu berlaku dibina pagar itu.

Saya dan isteri mengabdikan gambar dipusara Tokguru.
Di atas pusara Tokguru diletakkan dua buah batu sungai (batu hidup) sebesar kepala lutut, satu dipacak di bahagian kepala dan satu lagi di bahagian kaki. Dua atau atau tiga ranting pokok bunga (puding) juga sudah mula tumbuh dan mengembang daun barunya.

Bagi saya mengunjungi pusara Tokguru sepertilah mengunjungi rumahnya seperti sebelum ini. Sebegitu balik ke Kelantan bila ada ke sempatan saya akan mengunjungi rumahnya, dan waktu paling sesuai ialah menjelang waktu Solat kerana dapat berjemaah dengannya.

Di dahan samak ini penuh dengan beburung.
Atau pun bila tidak kesempatan untuk bersolat di rumahnya saya akan singgah di pejabatnya, atau di mana-mana majlis yang dihadirinya. Kini rutin itu tidak ada lagi. Jejak kaki ke Kelantan semacam kosong.

Apa yang mampu terbuat hanya menyinggahi pusaranya. Insya-Allah selagi ada daya dan setiap kali pulang ke Kelantan saya akan menyinggahi pusara Tokguru, walaupun tidak lagi dapat berbicara dengannya cukuplah mendengar kicauan dan nyanyian burung di atas dahan samak itu. Kedatangan itu sebagai simbol kecintaan ini masih terus belengah.

Tokguru aku merindumu dan setiap kenangan kita tidak akan kulupakan. Dan janji ku untuk memnyudahkan memoir bersamamu sudah pun selesai dan mendapat sambutan. Kisah sukaduka, manis masam, lucu dan tegang kita sudah dihadam sebahagian daripada orang-orang yang menyanjungimu. Tokguru Dalam Mataku, adalah budi kecilku buatmu. Al Fatihah. [wm.kl.8:57 am 22/05/15]

No comments: