Monday, September 14, 2015

Pimpinan Ahmad Yaakub sudah tidak diyakini?

SEBUKA MATA

Pekeliling yang jadi viral dalam Fb.
Beberapa jam lalu tersebar sekeping surat perkeliling yang dikeluarkan oleh pejabat MB Kelantan yang mengarahkan ketua-ketua jabatan di negeri itu agar membuat semakan dan pemeriksaan terhadap kaki tangan masing-masing yang terlibat dengan sebarang kegiatan yang bercanggah dengan dasar kerajaan dan terlibat dengan parti baru - Parti Amanah Negara (PAN).

Antara jabatan yang terlibat dengan pekeliling itu ialah, Pusat Ka
jian Strategi yang merupakan badan kajian politik untuk Pas, Tabung Amanah Tok Kenali, merupakan tabung pendidikan, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Urusan Belia dan Sukan dan Urusan Pembangunan Wanita, Keluaraga dan Kebajikan, Urusetia Penghulu dan Institiut Pemikiran Tokguru.

Surat arahan itu bertarikh 9 September 2015 dan arahan itu perlu diselesaikan pada 23 September 2015. Yang menanda tangan surat pekeliling itu ialah Setiausaha Politik MB, bernama Wan Mohd Roslan Wan Mamat.

Adalah dipercayai hasil siasatan dan semakan itu akan diserahkan kepada MB, Ahmad Yaakub sebaik beliau kembali dari menunaikan fardu Haji. Mungkin juga arahan itu dikeluarkan MB sebelum beliau berangkat ke Tanah Suci.

Arahan berkenaan memberi tafsiran bahawa satu tindakan membersihkan kakitangan jabatan-jabatan berkenaan dilakukan menunjukkan ada sebilangan kakitangannya melanggar dasar parti. Apa yang dibimbangi ialah penyertaan ke dalam parti baharu yang diasaskan oleh GHB.

Arahan itu akan diterjemahkan bahawa kepimpinan Ahmad Yaakub hari ini sudah berada dalam keadaan kritikal sehingga ia sudah tidak dipercayai oleh kakitangannya sendiri. Gambaran ini sesuatu yang buruk kepada pentadbiran Ahmad Yaakub bersama Mohd Amar Nik Abdullah.

Arahan itu juga dibuat mungkin kerana belaku banyak ketirisan maklumat kerajaan. Perkara yang perlu direnungi ialah kenapa kakitangan bersifat tidak amanah mungkin mereka tidak tahan dengan borikrasi dan tidak tahan dengan sikap pilih kasih dalam pentadbiran.

Sekiranya pemberishan itu untuk mengambil tindakan kepada mereka yang melanggar dasar kerajaan, semakan itu bukan sahaja terhad di kalangan kakitangan jabatan-jabatan berkenaan, tetapi ia perlu dibuat di peringkat Exco, wakil rakyat dan syarikat-syarikat milik kerajaan juga perlu disemak dan disiasat.

Apa juga yang boleh dianggap sebagai melanggar dasar kerajaan ialah apa-apa perbuatan yang tidak menunjukkan aspirsi Kerajaan Membangun Bersama Islam; bersikap tidak telus, tidak adil dan tidak benar serta menzalimi rakyat, mereka adalah dianggap sebagai pesalah. Misalnya pemilikan kereta mewah oleh wakil rakyat Kelantan merupakan satu tindakan melanggar dasar dan prinsip kerajaan negeri.

Memberi projek atau kontrak kepada kroni juga merupakan satu tindakan bercanggah dengan kerajaan Membangun Bersama Islam.

Demikian juga keputusan menjual aset-aset kerajaan kononnya mengalami kerugian dan membina keupayaan baharu kepada syarikat berkenaan, sedangkan usahanya diragui juga boleh dianggap sebagai melanggar dasar kerajaan.

Begitu juga pemberian tander dan kontrak yang meragukan juga merupakan tindakan yang melanggar dasar kerajaan negeri. Sekiranya arahan itu bersifat menyeluruh dan ikhlas, semakan dan tindakan ke atas mereka dikatakan melanggar dasar kerajaan negeri tadi perlu dikenakan ke atas pelakunya.

Tanpa mengenakan tindakan ke atas mereka yang melakukan tindakan dan perbuatan itu sebaliknya hanya memfokuskan kepada mereka meyertai parti baharu ia suatu tindakan yang sangat tidak adil, dan arahan itu jelas bermotif politik.

Tindakan itu lebih bermotif untuk kepentingan politik dan bukan kepentingan rakyat.

Tindakan sebegitu juga boleh disifat usaha membuang hama tetapi tidak sama membuang "mempirah" sedangkan "mempirah" itu lebih kejam dan teruk daripada hama.

Misalnya mereka yang bertindak menyertai parti GHB, tidak memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan seperti mana dilakukan oleh orang yang menebang balak di luar kawasan ataupun meluluskan tander konsensi dengan harga jauh lebih murah daripada harga biasa.

Orang yang membuat atau menstrukturkan syarikat milik kerajaan kononnya untuk menambahkan keupayaannya sedangkan ia memusnahkan syarikat berkenaan juga boleh dianggap sebagai melanggar dasar-dasar Kerajaan.

Sementara sehubungan dengan perkeliling berkenaan dipercayai akan ada beberapa orang yang berkhidmat di jabatan atau agensi kerajaan itu akan dipecat selepas ini. Dalam kata lain pembersihan dilakukan itu bukan memantapkan kerajaan tetapi mengukuhkan akar politik orang yang berkuasa di Kelantan waktu ini. [wm.kl.11:17 am 14/09/15]

No comments: