Friday, September 11, 2015

Kamaruddin dan Muhammad Taib sertai PKR

KENYATAAN

Seperti mana yang telah dibayangkan semalam, dua orang penting Pas akan meninggalkan parti agama itu, pagi ini ia telah menjadi kenyataan. Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar dan Muhammad Mohd Taib telah diumumkan kemasukan mereka ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kamarudin Jaafar.
Muhammad Mohd Taib.
Pengumuman itu dibuat oleh presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu majlis ringkas di ibu pejabat parti berkenaan di Damansara yang dihadiri pimpinan tertinggi PKR.

Penyertaan kedua mereka ini walaupun sudah dijangka oleh Pas tetapi memberi kesan psikolgis yang tinggi kerana mereka tidak memilih PAN, parti baru yang diasaskan tetapi memilihi PKR.

Kamaruddin sebelum ini adalah Setiausaha Agung Pas dan pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Urusan Harakah, akhbar rasmi Pas. Dalam muktamar lepas beliau tidak mempertahankan jawatannya sebagai ahli jawatankuasa kerja Pas.

Sementara Muhammad Taib pula adalah pemegang jawatan Naib Ketua Penerangan Pas sessi lalu. Beliau keluar daripada Umno dan memilih Pas kerana menjangka parti itu bakal menjadi sebuah parti progresis dan alternatif kepada Umno. Namun ternyata pergolakan dalam Pas, penyingkiran golongan profesional menyebabkan beliau mulai tawar hati dan tidak yakin dengan Pas.

Sehubungan penyertaan mereka, kedua-dua mereka diberi jawatan penting. Kamaruddin diberi tanggungjawab untuk memperkukuhkan PKR dengan dilantik sebagai Pengarah Politik dan Dasar. Kamaruddin sudah pasti diharap akan merangka dan menggariskan dasar PKR yang jelas yang sekaligus menjadi idelogi parti berkenaan.

Selama ini PKR dilihat parti yang tidak ada ideologi (liberal) dan bergerak atas semangat untuk menuntut keadilan dan kebenaran, bersama dengan tuntutan membebaskan Anwar Ibrahim yang dianiaya di penjara. Kamaruddin juga merupakan rakan sepejuangan Anwar semasa dalam Abim dan seorang rakan setia Anwar sepanjang masa.

Manakala Muhammad Taib pula diberi tanggungjawab untuk membina kekuatan PKR di kawasan luar bandar khususnya mendekati dan membela nasib peneroka Felda. Dengan pengalamannya yang ada kepadanya selaku bekas MB Selangor dan Menteri, beliau diharap dapat menarik perhatian rakyat kepada PKR.

Penyertaan kedua veteran politik itu sudah pasti akan menyuntik semangat dan kekuatan kepada PKR. Signifiken kepada kehadiran mereka adalah untuk memperkukuhkan parti itu yang dilihat seperti kehilangan arah sejak Anwar diringkukkan dalam penjara. Kemunculan pemimpin muda yang diberi peluang melonjakkan parti itu dilihat kurang berjaya.

Tahniah dan syabas kepada Kamaruddin dan Muhammad Taib. [wm.kl.12:07 t/hari 11/09/15]

No comments: