Sunday, September 20, 2015

Amanah tidak perlu penasaran untuk berbaik dengan Pas?

BUAH FIKIR

Dua puak yang berbalah dalam Pas sehingga menyebabkan parti itu kini terbelah dua perlu bersiap sedia yang mereka tidak akan menghadapi pilihan raya umum ke-14 kelak secara bersama. Hakikat itu mereka harus fahami awal-awal lagi agar tidak terkilan dan menyesal dikemudian hari. Dua puak itu ialah yang kekal bersama Pas dan puak satu lagi yang keluar meninggalkan parti itu dan menubuhkan parti baru bernama Parti Amanah Negara (Amanah).

Walaupun pada asasnya mereka mempunyai nawaitu yang sama untuk menumbangkan BN, tetapi nawaitu itu kini tinggal angan-angan sahaja. Niat bersama yang dipasak dalam parti itu sejak berdekad lampau kini sudah relai dan terburai. Pas seakan sudah berpatah arang berkerat rotan dengan golongan bekas ahlinya itu jauh sekali sedia memenuhi pakatan atas tujuan untuk menumbangkan BN.  

Hari ini, setelah berada diluar Pas, bekas ahli Pas yang menyertai Amanah itu masih berharap mereka akan menjalani kerjasama dengan Pas untuk mencapai apa yang dihajatkan itu. Mereka mengajak Pas mengamalkan politik terbuka dan berpolitik secara profesional bukannya mendendami di antara satu sama lain. 

Ada kenyataan dan pelawaan ke arah itu dibuat oleh Amanah. Apa yang dinamakan pembentukan Pakatan 2 cuba hendak memanggil sama Pas agar berada dalam Pakatan itu apabila Pakatan Rakyat pertama kini sudah hancur. DAP telah mengistyharkan Pakatan Rakyat telah hancur apabila Pas berkeras untuk menerima usul agar memutuskan kerjasama dengan DAP. Bertindak dari usul itu DAP mengambil sikap balah dengan Pas.

Sebelum tindakan Pas itu, DAP terlebih dahulu mengesahkan yang mereka enggan bekerjasama dengan Pas atas alasan Pas bukan sebuah parti politik yang jujur dan ikhlas. Ini dirujuk kepada pemimpin tertinggi parti agama itu. DAP tidak mempercayai dan hilang keyakinan kepada ketua parti berkenaan. Tindakan DAP itu sangat memalukan ahli Pas.

Bergaduh dalam politik tidak akan sampai ke jalan mati. Bekas ahli Pas, PKR dan DAP masih berusaha untuk memperkukuhkan pembangkang. Mereka yakin BN tidak dapat dihancurkan dengan kekuatan dan kepaduan dalam pembangkang. Lantaran itu mereka masih menaruh harapan kepada Pas untuk bersama. 

Bagaimana pun pelawaan itu ditolak keras oleh Pas dengan menegaskan mereka akan bersendirian dan tidak akan bergabung dengan kumpulan yang mengkhianati perjuangan. Pas menyifatkan puak Amanah adalah puak yang mengkhianti parti tersebut dan mendesak agar mana-mana wakil rakyat Amanah meletakkan jawatan kerana mereka menang atas tikit Pas. 

Bukan itu sahaja isu bai'ah bidaan diungkit dan dimainkan oleh Pas secara meluas. Sampai kini Pas yang marah dengan tindakan ahli yang meninggalkan parti itu cuba menjatuhi hukuman terlebih awal daripada ketentuan Allah kepada mereka yang meninggalkan Pas itu.

Penolakan Pas untuk bergabung dengan pembangkang itu ditunjukkan dalam beberapa kenyataan oleh beberapa peimpinnya. Sikap Pas kini jelas mereka tidak mungkin bersama Pakatan lagi. Cadangan untuk diadakan meja bulat bagi membincang pembentukan Pakatan 2 tidak akan dihadiri oleh Pas.

Apa yang berlaku itu jelas. Justeru pihak Amanah tidak perlu menghabiskan air liur mempelawa Pas agar berkerjasama dan berada dalam Pakatan 2. 

Mungkin tindakan yang diambil oleh Pas itu dianggap politik babil dan bebal. Tetapi sebenarnya Pas ada motif tersendiri kenapa mereka bersikap demikian. Saya yakin dan percaya pimpinan Pas bukan semuanya bertaraf lembu politik semata-mata, tetapi ada yang bertaraf lebih baik dari itu.

Dalam hal ini saya nampak Pas sengaja mencipta sutuasi begitu kerana mengharap sesuatu atau pencapaian yang lebih baik dalam pilihan raya akan datang. Pas mahu tinggal kawan lama kerana mengimpikan menjelma dan hadir kawan baru. Apa yang dapat dirasakan disini Pas perlu menunjukkan pendirian dan sikap sebegitu untuk menyakinkan Umno. Kalau Pas tidak bersikap keras dan babil begitu menyebabkan Umno akan berfikiran lain.

Secara mudah sahaja kenapa Pas enggan bekerjsama dengan Amanah atau DAP, atas matlamat untuk menghancurkan BN, ialah kerana mereka sayang kepada BN. Pas kini sudah menyedari bahawa perlu mereka bergabung dengan Umno dan mengukuhkan BN. Dengan cara itu sahaja lah untuk Pas terus mengecapi sisa-sisa kemenangan yang dimiliki kini.

Adalah amat mustahil Pas akan menang sekiranya ia bertanding bersendirian. Usahkan untuk menambahkan kerusi yang sedia ada, untuk mengekalkan pun dilihat sukar. Pas menang dulu adalah kerana gabungan tenaga profesional yang banyak menggerakkan parti tetapi mereka kini sudah meninggalkan Pas. 

Ini kena difaham sebaik-baiknya oleh Amanah maupun PKR dan DAP. Pas bukan bodoh sangat untuk dia memecahkan sebuah persepakatan tanpa membina persepakatan lain. Mungkin para ustaz dalam Pas bersangka baik dan seronok dengan sikap Pas yang ingin mendapat keredaaan Allah, tetapi harus disedari dalam Pas masih ada tukang rancang (mater mind) yang dihantar oleh Umno menyelinap ke dalam parti tersebut.

Sekiranya ada pendapat mengatakan perpecahan dalam Pas ialah kerana dicatur oleh musuh, saya mempercayainya. Pas tidak akan mudah "bertanggal manggal" sesama sendiri kalau bukan dihasut oleh musuh. Orang yang beriman dan mukmim itu tidak akan berpecah kalau tidak ada orang ketiga di antara mereka. 

Makanya, baik Amanah dan orang-orang dalam Pas yang tidak menyedari apa yang sedang dicaturkan musuhnya, usaha berangan-angan untuk bersama lagi. Amanah perlu memperkuat dan memperbesarkan partinya bagi menghadapi pilihan raya kelak. Mengharap akan wujud kerjasama atau Pakatan 2, PKR, DAP, Amanah dan Pas samalah mengharapkan tanduk dari kepala kucing.

Amanah atau bekas Pas jangan sangat bernostalgia dengan parti lamanya itu sebab bimbang lama kelamaan boleh jadi meroyan. Gila. [wm.kl.10:08 pm 20/09/15]

No comments: