Monday, September 7, 2015

Kerajaan Kelantan berhabis duit kerana bayar saman

MEMERHATI

Sejak Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat tiada berbagai masalah atau perkara berlaku di Kelantan. Ia menimpa bukan pihak-pihak tertentu sahaja di negeri itu tetapi melibatkanh seluruh rakyat. Parti itu dan kerajaan Kelantan yang dipimpinnya selama 25 tahun juga berhadapan dengan berbagai masalah dan kerenah.

Apakah ia satu kebetulan, selepas ketiadaan Nik Aziz?  Kalau kebetulan, kenapa?


Salah satu perkara atau musibah besar selepas ketiadaan Allahyarham Nik Aziz ialah negeri itu dilanda bah besar - bah emas yang dianggarkan lebih besar daripada bah tahun 1969. Beberapa jajahan di negeri itu di bahagian Hulu, tenggelam dan dilanda bah menyebabkan ratusan rumah penduduk hancur atau pun musnah sama sekali. Nilai harta benda yang musnah puluhan jutaan ringgit.

Bahana itu juga menjadi perhatian dunia dan disifat terbesar dan terburuk dalam sejarah Kelantan.
Bah di akhir Disember itu memberi pengajaran dan alamat jelas kepada mereka yang memerhati. Ia memberi keinsafan kepada yang mahu mengambil iktibar daripadanya.

Walaupun sudah lebih lapan bulan kejadian itu berlaku, tetapi hingga ke hari ini masih ada mangsa yang belum mempunyai kediaman sempurna. Mangsa masih bergulat dengan masalah masing-masing. Berpuluh mangsa masih tinggal dalam khemah tanpa kemudahan asas sewajarnya. Pengganti Nik Aziz menjanjikan dalam tempoh enam bulan sahaja masalah banjir itu akan selesai. Nampaknya jangkaan itu jauh meleset. Janji belawak bangar.

Musibah bah itu memberi pengajaran untuk semua tanpa mengira siapa yang bermukim di Kelantan dan juga di luar Kelantan. Ia juga seolah-olah menguji sejauh mana kecekapan kerajaan Pas yang berlandaskan Islam dalam menguruskan bencana seperti itu. Banjir itu seolah-olah satu "exam" besar buat Pas Kelantan. Ternyata dalam "exam" itu ianya tidak lulus cemerlang. Kalau tanpa bantuan NGO dan Umno mungkin mangsa banjir masih menderita. Kelemahan pengurusan kerajaan Pas Kelantan terserlah dengan bencana itu.

Apakah pimpinan mengambil perhatian di atas apa yang berlaku, atau melihatnya seperti tikus melihat besi semata-mata? Atau cukup dengan menerima ia takdir Allah yang perlu dihadapi dengan doa dan solat hajat sahaja. Bahawa peristiwa yang berlaku itu sedikit pun bukan disebabkan kesalahan manusia? Pemerintah?

Itu yang melanda negeri Kelantan seluruhnya, tetapi musibah lain yang berlaku selepas ketiadaan Nik Aziz ialah macam mana kerajaan Pas berhadapan dengan berbagai masalah dan kejadian memalukan. Pemergian Nik Abdul Aziz seperti mengundang seribu masalah kepada Pas dan kerajaanya?

Salah satu ialah kerajaan Kelantan berdepan dengan tindakan saman oleh pihak tertentu. Dalam bahasa orang kampungnya kerajaan diheret ke mahkamah. Dizaman Tokguru memerintah kerajaan Kelantan boleh dikatakan tidak diheret songsang oleh mana-mana pihak ke mahkamah. Dan kalau pun ada yang cuba hendak membawa kerajaan pimpinan Tokguru ke mahkamah, tetapi ia berjaya dilengsai di luar mahkamah.

Tindakan saman ini mungkin tidak menjadi kepelikan kalau yang menyaman ialah kerajaan negeri atau agensi-agensinya. Sebaliknya yang menyaman ialah individu atau pihak tertentu terhadap agensi atau kerajaan Kelantan.

Pun begitu tindakan kerajaan kena saman oleh rakyat atau pihak-pihak tertentu ini adalah perkara lazim. Kerajaan Malaysia pimpinan UBN juga tidak terkecuali. Tetapi kelaziman ini seharusnya dielakkan dan tidak terjadi di Kelantan. Ini kerana kalau ia berlaku di Kelantan ia memberi persepsi lain. Ia akan diketawakan oleh orang.

Kelantan berbangga dengan kepimpinan secara Islamnya. Pengurusan menurut Islam mestilah telus, terbuka dan jujur atau dipercayai. Seharusnya sebuah kerajaan yang mengamalkan prinsip Islam dan bercita-cita besar hendak laksanakan hudud dan sanggup pula mengangkat "bai'ah bida'ah" patut terelak daripada kejadian-kejadian yang boleh menimbulkan persepsi buruk.

Bila kerajaan disaman, apa lagi kerajaan kalah ia memberi reputasi buruk kepada kerajaan itu sendiri. Bukan sahaja terpaksa mengeluarkan wang membelanja kos mahkamah, kena bayar ganti rugi tetapi maruah kerajaan dinamakan Islam itu juga terjejas. Orang akan persoalkan macam mana sebuah kerajaan Islam yang berteraskan kepada prinsip keadilan, kebenaran bersadarkan hukum-hukum Allah boleh disaman, atau diadukan kepada mahkamah atas sebab-sebab tertentu. Persepsi buruk timbul disini.

Apakah semasa dizaman Tokguru keburukan dan masalah-masalah itu sudah ada, tetapi ia tidak didedahkan kerana menjaga air muka Tokguru? Kalau begitu bermakna orang yang melindungi itu bersifat munafik.

Hari ini khabarnya sebuah syarikat milik kerajaan negeri, iaitu Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) telah diperintanh oleh Mahkamah Persekutuan membayar ganti rugi kepada seorang individu (syarikat) bernilai lebih RM2 juta. Individu berkenaan tuan milik sebuah syarikat perkayuan telah mengemukakan saman kepada KPK, menuntut ganti rugi kerana dikatakan melanggar terma perjanjian kontrak dengan KPK.

Katanya kes ini sudah lama berlaku tetapi ia tidak diselesaikan dengan baik menyebabkan individu atau syarikat berkenaan terpaksa mengheret kerajaan negeri ke Mahkamah. Mulanya kerajaan Kelantan diperintah membayar sekitar RM1 juta sahaja, tetapi kerana kedegilan akhirnya mahkamah memerintah bayaran sebanyak RM2 juta, termasuk faedah 4% setahun. Difahamkan juga cek untuk pembayaran itu sudah dikeluarkan hari ini?

Selain daripada kes itu khabarnya masih ada lagi beberapa kes melibatkan KPK yang juga membabitkan kegagalan memenuhi perjanjian. Tindakan mahkamah sedang dijalankan. Tuntutan yang dikemukakan bernilai jutaan ringgit juga.

Sebelum ini Kolej Islam Sultan Islam Putra (Kias) yang merupakan institusi pendidikan dibawah YIK telah kalah dalam tuntutan saman oleh seorang kakitangannya yang dipecat tanpa mengikut peraturan. Sebanyak RM200,000 Kias diperintah oleh Mahkamah Perusahaan membayar ganti rugi itu. Ada cadangan agar kes itu diselesai secara anak beranak tetapi ada pimpinan yang agah dan angkuh mencabar agar pegawai itu bawa kes itu ke mahkamah.

Natijahnya Kias terpaksa membayar sejumlah itu. Bayangkan kalau pendekatan musyawarah diadakan wang RM200,000 itu boleh diselamatkan mungkin boleh digunakan untuk membiayai kakitangan Kias bersama Exco membuat lawatan ke Uganda.

Satu lagi kes dalam mahkamah ialah tuntutan oleh sebuah syarikat Dae Hanguru Infra Sdn Bhd dari Korea yang dibatalkan perjanjian kontrak membina lebuh raya rakyat. Khabarnya syarikat itu menuntut ganti rugi sebanyak RM230 juta. Sebelum ini ada cadangan agar pembatalan itu dibuat secara baik, berunding dengan syarikat berkenaan tetapi tidak dilayan. Tetapi kerana kedegilan syarikat itu dibuang begitu sahaja kerana teruja dengan janji sebuah syarikat lain kononnya lebih berkemampuan untuk membina lebuh raya berkenaan.

Walhasil syarikat berkenaan itu juga ditohok kerana masalah kewangan dan nilai yang disebut harga lebih mahal daripada syarikat dari Korea itu.

Semua kes-kes membabitkan saman bernilai jutaan ringgit itu boleh diselesaikan di luar mahkamah sekiranya kerajaan negeri peka dan sedia mendengar nasihat. Tetapi kerana pihak yang diberi tanggungjawab atau terbabit dengan kes-kes itu memandang mudah menyebabkan akhirnya ia terheret ke mahkamah.

Kenapa perkara ini semua berlaku, ialah kerana kerajaan Kelantan hari ini tidak mempunyai pakar perunding yang cekap dalam kes-kes sebegitu. Di sini bukan saya hendak mengangkat Husam Musa, tetapi satu hakikat tidak dapat dinafikan Husam semasa menjadi Exco dan jurucakap kerajaan dizaman Tokguru dahulu banyak menyelesaikan kes-kes mahkamah membabitkan kerajaan Kelantan.

Biarlah kalau ada orang jeluak mendengar nama Husam tetapi hakikat dan keistimewaan yang ada kepada insan ini tidak boleh siapa nafikan. Orang yang menafi hakikat ini adalah mereka yang berhati busuk dan dengki sahaja. Mereka juga boleh diibaratkan musuh kepada kerajaan legasi Tokguru Nik Abdul Aziz.

Atas inisiatif dan kebijaksanaan Husam dalam berunding menyebabkan sesetengah kes yang hendak dibawa ke mahkamah ditarik balik atau dibatalkan. Salah satu perundingan yang mungkin tidak ramai diketahui umum ialah bagaimana Husam berjaya menyekat kes injuksi pilihan raya membabitkan kawasan DUN Chempaka dimana Tokguru menjadi calonnya yang dibawa oleh Umno.

Umno mempunyai bukti kukuh berlaku kesalahan mengikut tatacara ditetapkan SPR di DUN itu dan hendak membawa kes itu ke mahkamah. Tetapi kerana kecekapan Husam perundingan dilakukannya menyebabkan Umno membatalkan hasratnya untuk membawa kes itu ke mahkamah. Kerana usaha dan kebijaksanaan yang tidak pernah didedahkan itu juga maka Tokguru terselamat dari menanggung malu.

Satu lagi yang menyerlahkan bukan sahaja kecekapan Husam tetapi boleh dianggap pengorbanannya apabila berjaya menyelamat air Kelantan diswastakan buat kali kedua. Kegagalan penswastaan air kepada syarikat Thames Water sebelum itu, menyebabkan kerajaan Kelantan mengalami kerugian ratusan juta. Ekoran itu apabila ada cadangan untuk menswastakan air Kelantan sekali lagi menyebabkan Husam bertegas agar penswastaan air yang kedua tidak diteruskan.

Sudah tentu sekiranya bukan kerana ketegasan Husam yang menasihat Tokguru, Kelantan akan bergelumbang dengan masalah penswastaan air kali kedua yang mungkin boleh menyebabkan Kelantan bankrup.  Perbalahan Husam dengan dua tiga individu sehingga individu berkenaan sanggup memfitnah Husam sehingga ke dalam muktamar, dan membawa cerita buruk kepada Tokguru, adalah disebabkan tindakannya menghalang penswastaan kali kedua.

Tetapi jasa dan juga pengorbanan Husam itu tidak pernah dinilai ataupun tidak diketahui pun oleh kebanyakan orang. Sekiranya kerajaan Kelantan ada orang-orang yang prihatin, berpengetahuan dan cekap dalam perundingan seperti Husam ini sudah tentu kejadian-kejadian seperti disebut tadi, kerajaan Kelantan disaman dan terpaksa bayar tidak akan berlaku. Wang rakyat juga banyak boleh diselamatkan. [wm.kl.9:03 pm07/09/15]

No comments: