Tuesday, September 22, 2015

Apakah mesyuarat meja bulat buka ruang kepada Pas untuk bersama Umno?

MENANTI PUTUSAN

Sudah hampir pasti Pas tidak akan bersama duduk di meja bulat dalam merangka pakatan baru pembangkang. Alasan Pas mudah sahaja kerana dalam perundingan itu ia disertai sama oleh DAP dan Amanah. Pas kata dia tidak boleh bersama pengkhianat. Bagi Pas, Amanah dan DAP adalah pengkhianat.

Persidangan meja bulat sedang berlangsung tanoa Pas.
Susah juga kalau orang baik tidak mahu menjadi pemandu kepada orang jahat. Bagaimana pun tindakan Pas itu betul pada sudut politik tirusnya.

Apabila Pas tidak bersama apakah pembentukan pakatan pembangkang itu akan terjadi. Kalau terjadi ia akan disertai oleh DAP dan PKR. Amanah yang yang sedang dalam proses penubuhan itu juga akan menyertainya. Bahkan kewujudan Amanah itu pada prinsipnya untuk menjadi pengganti Pas yang sudah dibaca kecenderongannya untuk bersama Umno.

Amanah dibentuk bukan sekadar melempiaskan kekecewaan puak yang kalah dalam pertandingan, tetapi menjadi benteng mengelakkan robohnya kesatuan pembangkang. Dalam konteks ini yang khianat ialah Pas bukan Amanah atau DAP.

Awal-awal lagi orang sudah melihat Pas tidak lagi bersama Pakatan apabila parti itu sengaja membuat onar sehingga menyenakkan hati DAP dan terus-terusan mengutuk Amanah. Pelan untuk meruntuhkan ukhwan dalam Pas yang kemudian meruntuhkan Pakatan Rakyat yang dilakukan sejak bertahun berjaya.

Soalnya kini sekiranya Pas tidak bersama Pakatan itu, PKR khasnya, apakah kesudahan dengan kerajaan di Selangor. Apa akan jadi dengan kerajaan Pakatan di Selangor? Ini perkara yang penting dan dinanti-nantikan perkembangannya. Apakah Pas kelak akan bertindak sampai meruntuhkan sebuah kerajaan?

Jalan lain tidak ada lagi, maka Pas harus memutuskan juga hubungan dengan PKR di Selangor sekiranya usaha untuk mendamaikan Pas dengan DAP dan Amanah gagal. PKR tidak boleh mengambil keputusan untuk bersama Pas hanya atas alasan memerlukan sokongan Pas bagi menyelamatkan kerajaan Selangor.

Kerajaan Selangor bukan berhutang nyawa dengan Pas. Tanpa DAP dan beberapa orang pro Amanah dalam DUN Selangor kerajaan itu boleh runtuh juga. Dalam kata lain kerajaan Selangor juga memerlukan tambahan darah dari DAP.

Walaupun ada pemimpin PKR mahu terus bersama Pas untuk mengukuhkan kerajaan Selangor tetapi ia tidak dapat berbuat begitu kerana kata pemutus ialah majoriti dalam parti. Saya yakin dan percaya PKR tidak bersedia untuk meninggalkan DAP dan Amanah kemudian bersekongkol dengan Pas. Kecualilah ada pra syarat lain?

Tampak sangat kalau ada pemimpin PKR itu mahu berkerjasama dengan Pas untuk mengukuhkan kerajaan Selangor bahawa ia mengambil keputusan itu bukan kerana masa depan pembangkang tetapi kerana kedudukan peribadinya. Sudah ada perasaan di kalangan sesetengah pemimpin PKR merasai sayang kepada jawatan sehingga melupaikan agenda asal untuk menumbangkan BN. Sebab itu mereka berjinak dan sangat menjaga hati Pas.

Dalam pada itu saya tidak fikir PKR akan memutuskan hubungan dengan DAP. Kerana dalam kira congok politik berkawan dengan DAP bagi PKR lebih baik dari berkawan dengan orang baik seperti Pas. Dalam membela dan memperjuangkan nasib Anwar, DAP lebih kedepan berbanding dengan Pas. Apakah PKR melupai hakikat itu? Kalau PKR sudah mengenepikan insan mereka kepada Anwar, PKR boleh saja bersekutu dengan Pas, sebab Pas juga tidak suka kepada Anwar.

Kita tunggulah hasil mesyuarat yang sedang berlangsung pagi ini. Dipercayai lewat petang akan ada kenyataan akhbar menceritakan perkembangan mesyuarat tersebut. La tahzam. [wm.kl.10:11 am 22/09/15] 

No comments: