Dr Mohd Hatta, tahniah atas keberanian. |
Saya meminta agar Nik Amar dapat dinasihati supaya tidak menjadi terlalu buruk dan huduh dengan menimbulkan perkara itu. Biarlah kalau hendak menjadikan sesuatu isu sebagai bahan polemik dan mempopularkan diri, carilah isu yang waras dan tidak menunjukkan kecetekan telaga politik kita.
Isu bai'ah itu bagi saya ia bukan isu yang waras. Ia isu terperibadi dan rahsia Pas. Dan isu itu bukan persoalan sebenar dalam perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara. Ia adalah isu terpencil dan bersifat individual yang mana bila diketengahkan menjadi bahan gelak orang lain.
Peraturan (bai'ah) itu juga sebenarnya strategi politik Pas yang tidak patut didedahkan. Sebelum ini bila ada dakwaan Pas buat bai'ah, Pas bermati-matian, atau dalam bahasa sekarang "giler giler" buat penafian. Jadi apabila ia didedahkan dengan penuh ghairah bermakna Pas seperti mahu membungkus nangka tetapi terlupa menutup pelernya sendiri.
Ahmad Yaakub, lihat juga diri sendiri. |
Cara Nik Amar itu sungguh berani (baca juga angkuh) seolah-olah dia tahu apa yang ada dalam hati Dr Hatta. Dia juga telah menjatuhkan hukum sebelum perbicaran diadakan. Yang berhak membuat pengesahan mengikut perundangan sama ada talak itu berlaku atau tidak, hanya mahkamah. Islam kaya dan luas dengan pelbagai juzu dan cabang hukum. Islam itu adalah agama menyenangkan bukan menyusahkan. Islam memaaf bukannya menyerang dan memfitnah secara sambrono.
Dalam banyak kejadian hari ini, penganut Islam "komoh" menjadikan Islam sempit dan rigid. Suka mempermain-mainkan Islam. Menggunakan peraturan Islam pada tempat dan ruang yang tidak sewajarnya. Konsekuensi Islam sudah dirosakkan. Sebab inilah Islam menjadi rendah, diketawakan dan adakalanya hilang maruah di kalangan bukan Islam.
Begitu senang menghukum perkahwinan seseorang itu termansuh hanya dengan sebuah peraturan dibuat oleh parti politik. Kalau pun pada majlis angkat bai'ah itu Dr Hatta ada, sama-sama melafazkan apakah Nik Amar atau sesiapa sahaja tahu akan niat Dr Hatta pada masa itu? Siapa boleh menjamin yang Dr Hatta beriktikad dengannya? Apa-apa yang bersifat khofi berada dalam hati, tidak dapat diduga sesiapa.
Saya rasa bukan sahaja Dr Hatta, tetapi Nik Amar dan orang lain juga tidak akan menjadi isteri sebagai sandaran politik. Bukankah lafaz bai'ah itu satu rukun agama yang ditambah oleh Pas bukan sesuatu yang dimaktub dalam rukun utama Islam? Mereka yang tahu hukum nikah kahwin dan jatuh talak memahmi perkara itu dan tidak akan mudah mempermain-mainkannya. Bai'ah yang diperbuat itu juga bagi saya bidaah kerana ia ditambah dengan sesuatu yang bersifat buruk dan keji.
Dari satu segi perundangan, tambahan dibuat dalam surat lafaz bai'ah itu seperti mana yang dibuat oleh bakal wakil rakyat Pas termasuk Ahmad Yaakub itu suatu penghinaan kepada kaum wanita termasuk isterinya. Mereka mengadaikan darjat isteri hanya kerana ingin menjadi calon. Jelas mereka berpegang kepada bai'ah itu mereka yang cetak agama. Mempermain-mainkan agama dan tidak ada nilai keagamaan sebenarnya.
Isteri sama sekali tidak mengetahui yang mereka dijadikan gadaian menerusi bai'ah itu. Ketidak adilan seorang suami terhadap isterinya berlaku dalam hal ini dan dimanakah duduknya Pas sebagai parti Islam itu? Ini dimaksudkan bai'ah itu karut marut. Bai'ah seperti ini sudah tentu akan ditentang oleh pejuang hak asasi manusia dan wanita.
Kenapa sampai begitu sekali. Inilah dikatakan fahaman ahli-ahli Pas mengenai bai'ah itu sebagai sesat kerana meletakkan politik parti melebihi dari segala-galanya. Di sinilah juga maka sesetengah orang kesal dan sedih apabila Pas mencampur adukkan elemen politik dengan peraturan (munakahat) syariah agama.
Bagi orang cerdik dan menghormati hukum-hukum dan nilai sebuah perkahwinan, dia tidak akan ikhlas dan tergamak bertaklik atas kehendak dan paksaan politik. Mereka tidak akan tunduk kepada kehendak politik sehingga mengadai sebuah perkahwinan. Dan dalam politik orang boleh berpura-pura mematuhi sesuatu yang tidak masuk akal, sebagai muslihat. Dia akan berbuat untuk menyelamatkan diri. Dunia politik penuh dengan hipokrasi dan bila diambil agama, maka banyak peraturan-peraturan agama dibidaahkan. Contohnya mengenai bai'ah taklik cerai isteri itu.
Selepas memberi tahu tujuan itu kepada exco berkenaan, saya tidak ada niat untuk mengulas dalam blog ini isu berkenaan. Bagi saya isu itu bukan perkara pokok dan boleh membangunkan akal politik yang sihat. Jauh sekali isu bai'ah itu satu pembaharuan pemikiran dan fizikal dalam politik. Membahas dan menerima bai'ah Pas itu satu ketololan bagi saya.
Tetapi semalam apabila melihat dan mendengar Ahmad Yaakub juga berbuat perkara sama dalam televisyen menyebabkan saya tidak boleh diam, kena membuat posting ini. Semalaman saya tidak lena tidur terbayang wajah Ahmad Yaakub. Untuk apa Ahmad Yaakub memberi ulasan kononnya taklik ke atas isteri Dr Hatta itu berlaku dan sah. Untuk apa?
Sepatutnya beliau sebagai seorang ulama muktabar dan pemimpin politik tidak menyentuh hal itu, dan mendiamkan diri sahaja. Beliau tidak perlu menyambung mulut dalam perkara-perkara tidak menguntungkan agama, sebaliknya menguncikan mulut.
Apakah Ahmad bermaksud hendak menjaga akidah Dr Hatta dan hal urusan rumah tangganya. Dr Hatta sudah memesan agar tidak perlu menjaga urusan rumah tangganya. Sebagai lelaki beragama Islam dan profesional, saya yakin beliau tahu soal berumah tangga dan tanggungjawabnya serta adat dan hukumnya. Jangan merendahkan daya agama Dr Hatta gara-gara kita bergelar ustaz. Lebih baik kalau Ahmad menjaga urusan pentadbirannya di Kelantan terlebih dahulu yang masih "berkucar lembel".
Apa yang afdal Ahmad lakukan ialah menyerahkan perkara itu kepada Dr Hatta. Dia tidak payah mengulas dan memperakui bahawa Ketua Hakim Syariah, Daud Mohamad juga mengesahkan perkara itu. Apakah tujuannya? Bukankah tujuannya hendak mengaib dan menekan perasaan Dr Hatta laki bini. Apakah hukum kalau begitu cara dan nawaitunya? Cis.
Sebaiknya Ahmad boleh berkata begini sahaja; "soal Dr Hatta kita serah kepadanya. Terpulang kepadanya, sebab yang menanggungnya adalah dia bukan orang lain. Dosa mengenai itu terpikul atas pundaknya." Ahmad sebagai pemimpin Pas sudah terlepas dari tanggungjawab itu. Itu sebijak-bijaknya. Apabila Ahmad mendedahkan perkara itu dengan tujuan dan motif politik, maka beliau sendiri menjadi busuk?
Banyak perkara lain yang lebih besar daripada isu Dr Hatta itu yang boleh dibangkit dan patut ditangani oleh Ahmad Yaakub. Misalnya perihal pentadbirannya masih berpolot dengan selut dosa dan noda masih berlambak dan tidak terurus dengan baik. Perkataan "sila uruskan" masih belum diurus? Ini yang patut diuruskan dulu.
Apakah Ahmad berasa sudah selesa dan tugasnya sebagai ketua pimpinan sudah beres? Bukankah banyak perkara yang dipertikaikan di Kelantan. Rakyat masih belum berpuas hati dan desakan masih berterusan. Selama dua tahun mentadbir Kelantan belum ada sebarang perubahan besar dilakukan oleh beliau melainkan musibah besar, banjir emas itu.
Kalau boleh disusun dan sebut antara masalah yang belum selesai, yang mana lebih perlu diutamakan dan penting dari isu bai'ah itu, ialah masalah dihadapi mangsa banjir. Ratusan mangsa banjir masih masih lagi tidur dalam khemah kerana tidak ada rumah. Apakah kerana kerajaan sesudah menyediakan tapak, tetapi rumah tidak ada, ia sudah dianggap selesai. Bukan begitu Mat oi? Kalau begitu mentadbir "Pok Kok Buta" pun boleh menjadi MB.
Masalah-masalah lain juga masih bertepek wek. Masalah sampah, longkang tersumbat, denggi dan sebagainya belum ada jalan penyelesaian. Di Kota Bharu sampah kini bertimbun, longkang makin membusuk. Apakah kerana rakyat Kelantan sudah biasa dengan bau busuk, maka ia dihalalkan.
Demikian juga dengan pembinaan lebuh raya, perumahan rakyat dan kakitangan kerajaan. Semuanya hanya siap lakaran di atas kertas sahaja. Pembersihan tapak lebuh raya bukan untuk membina jalan tetapi untuk "tankedarah" balak?
Lebih mencabar lagi masalah pentadbiran. Sehari ke seharian kantung kerajaan negeri berkurangan. Idea untuk menjana wang tidak ada langsung. Apa yang dilakukan ialah dengan menjual aset-aset milik kerajaan untuk perbelanjaan. Setinggi mana bukit kalau ditebas dan ditarah ia akan lenyap dan rata juga.
Harta milik PKINK satu persatu dijual dan diperoses untuk dijual. Hotel perdana yang merupakan hotel bertaraf tiga bintang pertama di Kelantan dan menjadi mercu tanda Kelantan sudah lama terjual. Yang terbaharu pula Perdana Resort juga dalam proses untuk dijual gadai. Beberapa hartanah lain, bangunan dan tanah juga sudah dijual dan digadaikan.
Paling baharu ialah bagaimana syarikat PMBK yang menguruskan sawit, PMBK Sawit telah pun dibubarkan. Bukankah satu masa dahulu PMBK Sawit adalah penjana kewangan tambahan terbesar kepada Kelantan, kenapa ia dibubar dengan diserahkan kepada Ladang Sungai Terah. Suatu masa dulu sebahagian ladang Sungai Terah juga dijual kerana untuk menampung perbelanjaan pengurusan.
Tidak cukup dengan itu Komplek Perkayuan Kelantan (KPK) juga kata ekuitinya sudah dipegang oleh syarikat asing. Ia bukan hak kerajaan lagi. Banyak kejadian-kejadian jual gadai yang sedang berlaku. Apapun satu perkara yang sangat mencabar dan kontras dengan apa yang dilakukan Ahmad dan Nik Amar sekarang ini ialah ketelusan dalam pentadbiran.
Tujuan mereka persoalkan mengenai bai'ah Dr Hatta kononnya hendak menjaga akidah dan keIslaman bekas Pengarah Pilihan Raya Pas itu. Orang akan nampak tinggi sungguh akan kepedulian Ahmad kepada Islam. Ia menggambarkan seorang praktis Islam nombor wahid dan kelas A. Itu yang diberi tahu kepada orang tuli.
Tetapi ada dalam perkara-perkara lain kelihatan beliau lepas tangan dan seakan membiarkannya. Paling baharu ialah kejadian penebangan balak di luar kawasan pembinaan lebuh raya di hutan simpan Ulu Sat. Gara-gara itu Pejabat Perhutanan telah menyita balak. Katanya beberapa orang pegawai kerajaan termasuk CEO sebuah syarikat milik kerajaan yang Ahmad Yaakub jadi pengerusinya ditangkap dan disiasat oleh SPRM.
Kejadian ini sesuatu yang memalukan dan kontradik dengan pentadbiran Ahmad Yaakub yang kononnya bersih dan tidak suka kepada rasuah.
Betul, ia dilakukan oleh orang lain, tetapi Ahmad sebagai MB dia kena bertanggungjawab atas pencerobohan itu. Setiap apa yang berlaku dalam negerinya dia menjadi penanggungjawabnya. Tetapi kenapa hal-hal ini tidak didahulukan? Lebih bersikap nampak kuman di Kuala Lumpur dengan gajah di Kota Darunaim?
Begitu juga dengan tuduhan peribadi ke atas dirinya, mengenai pembinaan rumah anak-anaknya yang dijadikan kompleks keluarga bernilai jutaan ringgit. Katanya sudah tiga buah rumah siap dan dua lagi dalam proses pembinaan. Serentak dengan isu ini timbul isu pemilikan kerata mewah oleh timbalannya yang dibeli dengan harga murah daripada harga biasa. Burung tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengada.
Isu ini lebih besar dan memberi damge besar kepada Pas berbanding dengan isu peribadi Dr Hatta itu. Ahmad sepatut menyelsaikan isu-isu berkenaan terlebih dahulu. Beliau harus menafikan apa yang berlaku sebab ia terbuku dalam kepala rakyat. Umno sedang mencatat dan mengumpul segala itu untuk diletupkan bila sampai masanya kelak. Apa yang berhimpun dalam Pas kini menjadi bom jangka yang melabakan Umno.
Jangan pula kerana isu-isu pembinaan rumah, penebangan balak tidak ikut peraturan, isu TMB beli kereta dengan harga murah tidak membabitkan jatuh talak kepada isteri maka ia disenyumkan begitu sahaja? Isu itu semua menjadi percakapan dan kesannya menyebabkan orang hilang kepercayaan kepada kepimpinanya dan Pas Kelanan sekaligus.
Ahmad Yaakub tidak boleh setakat berkata, inysa-Allah inysa-Allah untuk mengatasinya tetapi harus bertindak dengan tegas. Beliau harus berani untuk mengambil tindakan termasuk memecat mana-mana pegawai kerajaan hatta exco atau timbalannya yang telah mencemarkan pentadbiran dan kredibilitinya. Mungkin dalam hal ini Ahmad bersih dan tidak berbuat dosa besar tetapi kerana ia dilakukan oleh orang lain tetapi kerana dia adalah ketua, maka noda itu turut terkena sama.
Kata orang, ayah yang mendokong anak yang berak busuknya akan terlekat dan sampai kepada ibu juga.
Sekiranya langkah Ahmad dan Nik Amar membesar-besarkan isu peribadi Dr Hatta itu untuk membendung orang keluar Pas ia adalah satu kesilapan. Hari ini khasnya generasi mudah sudah arif dan faham dengan politiking Pas yang menggunakan agama sebagai modal politik. Mungkin dizaman pasca zaman batu dahulu, isu agama sangat laku dan termakan sehinggakan ada suami menceraikan isteri kerana fahaman politik. Tetapi isu sedemikian tidak akan diterima pakai lagi.
Jikalau itulah maksud dan motif Ahmad disebalik memainkan isu bai'ah Dr Hatta itu maka dia akan kecewa dan Pas akan gagal untuk mempertahankan kerajaan Kelantan. Dr Hatta biarlah ia pergi bersama GHB jangan tambah pengkhiantan ke atasnya lagi. Sudah banyak pengkhiatan dilakukan ke atas bekas Bendahari Pas ini, keretanya dibakar, gambarnya dipijak dan dimaki hamun siang malam di media baru, dia juga dituduh hendak menggulingkan presiden dan sebagainya lagi. Kini ditekan jiwanya dengan perkahwinan pula. Cukuplah.
Cuba tenangkan hati seketika dan ingat kepada lelaki ini. Setiap kali ada pilihan raya kecil yang berdiri di bawah terik mentari sampai berpeluh meleleh ke leher, dagu dan betis sambil mengibarkan kain berwarna hijau dan bulat ditengah, adalah lelaki ini. Dr Hatta tidak pernah meminta pangkat, kedudukan dan dipuji kerana apa yang dia buat itu satu infak kepada parti.
Tetapi kita yang berhati perut kenanglah budi yang sedikit ini. Kalau dia berdosa mengikut kitab tafsiran Ahmad dan Nik Amar dan Pas Malaysia, itu biarlah dia berlalu dengan dosa-dosanya. Semoga jangan kita menjadi ahli Neraka yang berada dibawahnya kelak. Nauzubalik... Mungkin adakala Dr Hatta menangis mengenangkan apa yang diperlakukan kepadanya, tetapi air mata itu tidak pernah tertumpah di telepak tangan kita. Jadi kita tak tahu mengenainya.
Terbaik baik Ahmad dan Nik Amar berusaha memperkuatkan Pas Kelantan dan mempertahankan kerajaan peninggalkan Nik Aziz itu. Apakah Ahmad dan Nik Amar sudah ada perancangan itu yakitu dengan bersedia bergabung dan berkongsi kerusi dengan Umno? Bagus. [wm.kl.11:25 am 03/09/15]
No comments:
Post a Comment